Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label PDRM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PDRM. Papar semua catatan

30 Oktober 2017

POLIS MULA BURU 9 DRAGONS


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

"Saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Ditanya mengenai lokasi sindiket tersebut, Mohamad Fuzi memaklumkan perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan.

"Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.

"Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

"Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM. Tetapi saya minta jangan ada dakwaan menyatakan terdapat anggota polis 'dibayar' untuk melindungi kegiatan ini," katanya.
Share:

14 April 2017

NEGERI PERAK JADI TRANSIT PENGEDARAN DADAH PIL KUDA?


PERAK : Polis sedang menyiasat sama ada negeri Perak dijadikan laluan masuk atau transit bagi pil kuda untuk diedar ke tempat lain berikutan penemuan dadah jenis tersebut yang banyak di negeri itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pada 2015 sebanyak 3,246 biji pil dirampas sebelum berkurang kepada 2,591 pil tahun lalu dan setakat ini, tahun ini sebanyak 180,000 biji dirampas. “Kenapa begitu banyak pil kuda ditemukan di Perak. 

Adakah permintaan untuk pil kuda bagi penagih sekitar Perak meningkat atau penagih telah berubah kepada dadah jenis lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Katanya rampasan dadah jenis pil kuda bernilai RM3.6 juta oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muallim itu adalah yang terbesar di Perak sejak lima tahun lalu.

Share:

21 Februari 2017

ANAK KIM JONG NAM TIDAK MENDARAT DI KLIA2, STAFOC BERSIAP SIAGA!


Lebih 100 petugas media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak 5 petang tadi hampa apabila anak lelaki Kim Jong-nam, Kim Han Sol, 21, tidak muncul di lapangan terbang berkenaan.

Menurut sumber, Han Sol dijangka tiba di klia2 dari Macau dengan menaiki pesawat AirAsia AK8321.

Bagaimanapun, kelibat Han Sol tidak kelihatan biarpun pesawat yang membawanya selamat mendarat di klia2 kira-kira jam 7.33 malam tadi.

Difahamkan, Han Sol akan datang ke Malaysia bagi melakukan pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya.

Polis dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya memberi masa dua minggu kepada ahli keluarga Jong-nam bagi menuntut mayat berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di klia2 mendapati, polis tidak meletakkan anggota mereka di luar balai ketibaan berkenaan termasuk di ruang ketibaan orang kenamaan.

Sementara itu, berlaku sedikit kekalutan dalam kalangan petugas media apabila masing-masing berlari menuju ke ruang lobi lapangan terbang selepas salah seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat Han Sol.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat mengesahkan kelibat lelaki bertopi serta memakai topeng muka itu.

Setakat jam 10 malam tadi, petugas media sudah mula beredar meninggalkan Balai Ketibaan klia2 selepas kecewa dengan penantian sejak petang tadi.

Namun, kira-kira 30 petugas media kebanyakannya dari agensi berita antarabangsa terutama Jepun, China dan Korea Selatan masih menunggu di balai ketibaan berkenaan.


Kemunculan sekurang-kurangnya 20 pegawai dan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman yang menaiki empat kenderaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur 1.40 pagi menarik perhatian media yang masih setia menunggu perkembangan terkini kes bunuh Kim Jong-nam.

Pasukan khas berkenaan dilihat mengawal sekitar IPFN dengan bersenjata lengkap dan dibantu pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Turut kelihatan berada di IPFN ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Sehingga jam 2.30 pagi, anak Jong-nam, Kim Han-sol,21 yang dikatakan akan datang ke negara ini untuk pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya masih belum kelihatan di IPFN.

Terdahulu, lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang tadi bagi menunggu kehadiran Han-sol.
Share:

31 Oktober 2016

JUMPA EMPAT MAYAT SUDAH BUSUK DALAM SEMAK


KELANTAN : Empat mayat yang dijumpai siang tadi dipercayai dibunuh dengan kepala ditutupi plastik serta terdapat beberapa kesan tikaman di badan sebelum dicampak dalam semak di sini Kampung Tanjung Hilir, Bekelam dekat sini.

Kesemua mangsa dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu lengkap berpakaian.

Dipercayai ke semua mangsa dibunuh sekitar tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.‎

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mayat berkenaan dioercayai dibunuh dengan kejam di tempat lain sebelum dicampak ke dalam semak di sini selain tidak menolak kemungkinan dilakukan kumpulan dengan lebih daripada seorang suspek.

Mayat terbabit ditemui seorang penduduk yang kemudiannya membuat panggilan kecemasan kepada anggota polis Bachok kira-kira jam 6.45 petang.

Kita percaya empat mayat dibunuh dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu diikat kepala dengan plastik dan setiap mayat mempunyai dua tikaman di bahagian perut dan dada selain ada beberapa calar dipercayai akibat pergelutan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Tanjung Hilir,di sini, hari ini.

Abd Rahman berkata setakat ini identiti, jantina dan warganegara ke empat suspek belum dapat dipastikan namun salah seorang daripada mangsa mempunyai tatu di bahagian lengan sebelah kanan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes  itu pernah dilaporkan sebelum ini bermotifkan dendam.

Kesemua mayat berkenaan diperiksa anggota Polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kota Bharu sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Beliau meminga orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Usaha memburu suspek akan dijalankan secepat mungkin dan menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
Share:

20 Oktober 2016

LEGA PDRM DAH TANGKAP PEMBUNUH SUAMI


Balu mangsa yang maut ditikam di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu, Kuala Terengganu, berharap suspek akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejamnya.

Noriah Lah, 34, yang sarat mengandung anak sulung dan dijangka bersalin bulan depan, berkata kematian suaminya Mohd Shukri Husin, 34, yang juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan begitu dirasai tetapi beliau perlu menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Lega dengan penangkapan suspek utama kes itu hari ini, Noriah berkata, sejak insiden Ahad lepas, beliau tidak lena tidur kerana bimbangkan suspek yang masih belum ditangkap.

"Alhamdulillah, kak (Noriah) rasa lega (dengan penangkapan suspek), harap dia (suspek) dapat balasan yang setimpal untuk arwah ni. Cuma kena kuatkan semangat, kita yang hidup kena teruskan hidup," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Kok Keli di sini, hari ini.

Suspek berusia 29 tahun berasal dari Manir, Kuala Terengganu itu berjaya diberkas polis tengah hari tadi ketika sedang berjalan di Jalan Jeram, Manir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi Ahad lalu, suspek dipercayai telah bertindak agresif dengan menikam Mohd Shukri sebanyak enam kali sehingga maut.

Insiden tersebut dikatakan bermula apabila mangsa hadir ke pejabat di situ bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.

Setelah tembelang suspek yang sudah berkahwin diketahui, dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan tersebut.
Share:

27 September 2016

PELAKON DRAMA DAN ANAK DATUK TANAM GANJA SEGAR BUGAR


Seorang pelakon drama dan seorang anak 'Datuk' adalah antara tiga lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu

"Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai tiga pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100 sentimeter, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, turut dirampas adalah bahan dan peralatan menanam pokok ganja, empat pistol angin pelbagai jenis, dua senapang angin pelbagai jenis, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon.

"Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000," katanya.

Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak empat bulan lepas.

Katanya dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama
Share:

17 September 2016

TERGAMAK BUAT BAYI SAMPAI MACAM TU..


Seorang lelaki terkejut apabila menemui mayat bayi yang sudah busuk dan berulat ketika sedang memunggah tong sampah berhampiran kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada pagi Sabtu.

Pekerja pembersihan di hospital tersebut Nor Hanizam Idris, 46, berkata dia menemukan mayat bayi itu selepas bungkusan plastik yang berada di atas tong sampah terjatuh ke atas lantai.

Katanya, semasa kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bersama rakannya.

"Semasa saya sedang memunggah sampah antara tiga buah tong, terdapat satu bungkusan plastik telah terjatuh ke atas lantai dari salah sebuah tong itu.

"Saya terkejut apabila melihat objek yang terkeluar dari bungkusan itu menyerupai bayi dan sejurus selepas memeriksanya, saya dapati objek tersebut merupakan mayat bayi yang cukup
sifat namun telah busuk dan berulat," katanya ketika ditemui di sini pada petang Sabtu.

Tambahnya,beliau pada mulanya tidak pasti dengan objek yang dijumpainya kerana saiz bayi itu yang masih kecil.

"Selepas rakan-rakan mengatakan objek itu adalah mayat bayi, saya terus bergegas membuat laporan polis di pondok polis hospital," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya ke lokasi penemuan  mayat itu yang terletak di luar bangunan kafeteria hospital tersebut.

Katanya, mayat bayi itu belum dikenal pasti jantina dan bangsanya dan telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat pada Isnin ini.

Sementara itu, beliau berkata seorang pengawal keselamatan hospital memaklumkan bahawa dia ada ternampak seorang lelaki dan wanita bertengkar berhampiran tempat mayat itu dijumpai pada pagi Isnin lepas.

Sum berkata pihaknya sedang mengesan saksi-saksi yang melihat kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Share:

26 Ogos 2016

VAN PUTIH KEMBALI MENGHANTUI IBU BAPA DAN KANAK-KANAK


Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika ternampak van putih di lokasi mencurigakan susulan kes cubaan culik kanak-kanak berumur 10 tahun di Kampung Datuk Keramat di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ada kes cubaan menculik membabitkan empat lelaki dengan dua daripadanya memakai pakaian wanita menggunakan van putih.

"Setakat ini ada satu kes cubaan culik dilaporkan oleh suspek menggunakan van putih, membabitkan cubaan culik seorang murid perempuan Sekolah Rendah Agama Al Akram, Kampung Datuk Keramat, dalam perjalanan ke sekolah," katanya.

Dalam kejadian 1.50 tengah hari Selasa lepas, kanak-kanak itu dihampiri sebuah van putih, di dalamnya ada sekumpulan empat individu, dua daripadanya lelaki yang menyamar dengan memakai pakaian wanita, keluar dari kenderaan dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam van berkenaan.

"Seorang daripada lelaki berpakaian wanita itu mengacukan pisau ke arah kanak-kanak itu namun mangsa dilepaskan selepas meronta dan menyepak serta menumbuk muka kedua-dua lelaki itu yang kemudiannya lari dengan van berkenaan," katanya.

Kanak-kanak itu kemudian berlari masuk ke kawasan sekolah dan menceritakan kejadian kepada guru.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian dibuat oleh seorang guru wanita sekolah berkenaan.

"Nombor pendaftaran van itu tidak pasti kerana tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan tak tahu ia pergi ke arah mana," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, guru turut membuat laporan polis ada satu lagi cubaan culik membabitkan kanak-kanak sekolah sama, pada 5 Ogos lalu, oleh dua lelaki menggunakan motosikal cuba menarik tangan seorang daripada dua beradik perempuan berumur tujuh dan 10 tahun yang sedang berjalan ke sekolah berkenaan kira-kira 1.50 tengah hari.

"Pembonceng motosikal menarik tangan kanak-kanak berumur tujuh tahun tetapi kanak-kanak berkenaan meronta dan menjerit menyebabkan lelaki berkenaan melepaskan tangannya dan melarikan diri dengan motosikal Yamaha 125.

“Kedua-dua murid perempuan itu kemudian berlari masuk ke dalam masjid Al Akram yang berdekatan dengan sekolah," katanya.

Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan untuk kedua-dua kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, pihaknya meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan.
Share:

8 Ogos 2016

PEROMPAK TEMBAK PEKERJA STESEN MINYAK DI DANAU KOTA


Seorang pekerja sebuah stesen minyak warga Bangladesh cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian samun di Jalan Genting Klang.

Difahamkan mangsa terkena satu daripada tiga das tembakan yang dilepaskan suspek. Bagaimanapun menurut jurucakap polis, tindakan suspek untuk melarikan diri gagal selepas dia ditahan orang ramai dan pekerja stesen minyak berkenaan.

"Setakat ini mangsa seorang pekerja warga Bangladesh dikejarkan ke Hospital Colombia Asia, Setapak, untuk rawatan lanjut manakala suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan pada kakinya semasa ditangkap orang awam," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api, (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supritendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif dijangka membuat sidang media berkenaan kes itu pada Isnin.

Kejadian samun bersenjata api ini berlaku dalam jarak 300 meter dari lokasi V Kandasamy atau Kanna 43, yang ditembak mati ketika sedang memandu di Jalan Danau Kota, pada 27 Julai lalu.
Share:

4 Ogos 2016

NAMAWEE NAK KELENTONG LAGI..


Penyanyi dan pengarah filem, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee mendakwa klip video lagu 'Oh My God' yang menjadi viral baru-baru ini bukan dimuat naik olehnya.

Sebaliknya, klip video itu telah dicuri dan dimuat naik di media sosial oleh penggodam ketika ia masih dalam proses suntingan.

“Video yang kamu lihat bukan saya muat naik. Sebab kami masih belum habis sunting. Lagu ini bukan saya punya tapi ia milik sebuah syarikat filem Taiwan. Saya hanya penulis sahaja, ketika itu kami sedang berbincang dengan syarikat Taiwan itu untuk padam babak-babak yang sensitif dalam video muzik tersebut.

“Tapi sebelum tarikh kita nak muat naik (secara rasmi), ada penggodam yang mencuri video itu dan muat naik di YouTube dan Facebook. Ia bukan datang dari akaun Namewee. Kamu boleh semak. Kalau kamu kata saya yang bersalah, ini tak adil,” katanya melalui sebuah video bertajuk ‘Pengganas’ yang dimuat naik di akaun Youtube, hari ini.

Sebelum ini, beberapa NGO Islam Pulau Pinang membuat laporan polis berhubungan video tersebut yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan polis mengesahkan menunggu Namewee pulang ke tanah air untuk ditahan bagi siasatan lanjut.

Dalam rakaman video bertajuk ‘Oh My God’ itu, Namewee dan tiga pelakon lain dilihat menyanyi dan menari di beberapa rumah ibadat di sekitar Pulau Pinang termasuk masjid.

Dalam pada itu, Namewee turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak polis Pulau Pinang bagi siasatan lanjut kes tersebut.

“Saya juga harap kamu semua boleh hormat lagu saya ini yang mahu menghantar mesej memupuk keharmonian dalam agama yang berbeza. Malaysia negara yang berbilang kaum. Saya harap kita jangan gaduh-gaduh lagi.

“Tujuan saya tulis lagu ini ialah untuk menceritakan ketidakupayaan manusia dan kepentingan agama kerana agama tempat manusia bergantung. Lagu ini tidak ada bahasa kasar, lucah dan tidak menghina serta mempermainkan mana-mana agama,” katanya.

Jelasnya, keempat-empat pelakon di dalam video tersebut memakai pakaian daripada empat agama berbeza termasuk pendeta, sami, Nabi Isa (Jesus) dan orang Arab yang sedang bercuti di Pulau Pinang demi membawa mesej keamanan.

“Kamu jangan hanya nampak masjid saja dalam video itu. Tengok betul-betul. Kami juga ada pergi ke tokong Buddha, kuil India, tokong dan gereja. Walaupun kami tak ada surat kebenaran tapi kami telah bertanya orang yang berkuasa di sana sebelum penggambaran termasuk di masjid itu.

“Hari itu, kami 'shooting' sekejap sahaja, tak buat bising dan ikut peraturan masjid. Lagipun masjid itu tidak pernah kata kita tak boleh buat rakaman. Kami nampak ramai pelancong di sana yang rakam video dan tangkap gambar kerana masjid itu bukan masjid semata-mata. Ia juga destinasi pelancongan bersejarah. Jadi, kami rakam video macam pelancong lain juga,” jelasnya.

Penyanyi yang berasal dari Muar, Johor itu juga menafikan pelakon dalam video tersebut meminum arak dan bermain judi.

“Pelakon dalam MV dilihat main UNO dan poker (permainan kad) tapi mereka sebenarnya bukan berjudi kerana tiada duit. Hanya untuk hiburan saja. Air yang mereka minum bukan arak tapi sirap ais.

“Pistol yang mereka bawa itu pistol air kami beli tepi jalan. Semua benda kamu nampak dalam video itu lawak sahaja,” katanya.

Beliau turut menuding jari kepada pihak media memburukkan namanya dan sesetengah individu yang nakal mengedit serta memuat naik kembali videonya dengan sari kata yang salah hingga menyebabkan masyarakat salah faham terhadap dirinya.

“Kepada semua umat Islam dan kawan-kawan Melayu saya. Sudah bertahun orang salah faham dengan saya. Kalau selama ini anda rasa saya menghina agama Islam dan Malaysia, ia adalah kerana pihak media Malaysia selalu burukkan nama saya.

“Dulu video dan lagu saya tak ada sari kata. Jadi ada orang yang nakal suka buat sari kata yang salah dalam video saya dan muat naik sekali lagi. Sampai semua orang benci dan salah faham dengan saya.

“Lagu baru saya itu saya masukkan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris yang profesional. Saya harap kamu boleh faham dan baca betul-betul ,” katanya.
Share:

30 Julai 2016

NAMAWEE BIKIN HAL LAGI..


Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung sebuah video lagu penyanyi dan pengarah tempatan, Namawee yang menjadi viral kerana didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata ekoran video klip lagu 'Oh My God' itu, pihaknya menerima beberapa laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan polis akan memanggil Namawee untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal, sebahagian rakaman video lagu itu dilakukan di Masjid Terapung di Tanjung Bungah dan laporan polis pertama yang diterima ialah pada 27 Julai oleh jawatankuasa masjid berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Video klip memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral sejak semalam dan telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata perbuatan empat lelaki dalam video klip berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati orang Islam kerana mencemar imej masjid, sebagai tempat beribadat.

"Menurut pengerusi Masjid Terapung yang membuat laporan polis berhubung video itu, beliau memaklumkan rakaman yang dipercayai dilakukan di masjid tersebut memaparkan mereka berkelakuan tidak senonoh dengan menari dan menyanyi di dalam masjid.

"Tindakan empat lelaki itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara," katanya.

Mior Faridalatrash berkata selain itu, mereka turut menjadikan beberapa rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja dipercayai di sekitar negeri ini sebagai tempat rakaman nyanyian dan tarian dalam video berkenaan.

Katanya selain Namawee, polis juga akan memanggil beberapa individu termasuk mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, katanya.
Share:

28 Julai 2016

TREND TEMBAK ALA ALA FILEM GENGSTER SEMAKIN MENJADI JADI


Polis tidak menolak kemungkinan kejadian pengurup wang yang mati ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini, ada elemen kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata: “Hasil maklumat polis mendapati latar belakang mangsa ada terbabit dengan kegiatan kongsi gelap.

Beliau enggan mengulas lanjut perkara itu namun menurutnya, mangsa mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan pada 2014.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk minum bersama anak saudaranya di Setapak Sentral dan polis akan melihat secara keseluruhan aktiviti dan perniagaan mengurup wang mangsa.

Sebanyak 18 tembakan dilepaskan dua daripada empat lelaki bermotosikal mengakibatkan mangsa berumur 43 tahun yang memandu kereta Honda Accord, maut serta-merta, kira-kira 3.35 petang.

Siasatan awal di tempat kejadian menjumpai 18 kelongsong peluru jenis 9mm dipercayai digunakan ketika kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ada 12 kesan tembakan pada cermin sebelah kiri dan empat pada cermin kanan kereta.

“Mangsa yang terkena 10 tembakan cedera parah di kepala, badan serta paha meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, pengurup wang itu baru dua minggu membeli kereta selepas mendapati ada pihak mengekorinya.

Menurutnya, mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.

"Baru dua minggu dia beli kereta Honda Accord itu. Dia tukar kereta selepas mendapati ada pihak memantau pergerakannya," katanya.


Share:

19 Julai 2016

AKSI KEJAR MENGEJAR BERAKHIR DENGAN TRAGEDI


JALAN KUCHING : Seorang pemandu kereta yang dikejar polis bertindak agresif menghimpit motosikal ditunggang seorang anggota polis trafik hingga terjatuh cedera parah.

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, suspek dikejar beberapa anggota trafik yang menunggang motosikal di Jalan Kuching berhampiran susur kompleks perumahan kerajaan di sini.

Akibatnya, mangsa, Konstabel Wan Mohd Fazly Wan Soho, 27, patah tangan dan mengalami kecederaan teruk di muka.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sentul Leftenan Muda Mohd Nor Ali berkata, mangsa terbaring di bahu jalan akibat kejadian kemalangan itu.

“Mangsa mendakwa dihimpit kereta menyebabkan dia hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa patah tangan kiri selain mengalami luka pada muka, kedua-dua tangan dan kaki. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya.

Difahamkan doktor masih melakukan pemeriksaan sama ada mangsa mengalami kecederaan pada paru-paru dan tulang rusuk.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Share:

13 Julai 2016

AADK PANTAU PENJUALAN KEREPEK DAN REMPEYEK DAUN KETUM


Bagi meraih keuntungan, kini ada yang menjual snek daun ketum, sama seperti kerepek atau rempeyek daun bayam.

Perkara itu dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah yang dilakukan di Pulau Pinang.

"Cara penghasilannya ialah dengan mencelup daun ketum ke dalam tepung dan digoreng hingga rangup untuk dimakan seperti snek," kata Pengarahnya Mohammed Nazer Mustafa.

Beliau khuatir kaedah ini akan merebak ke Kedah, negeri yang mempunyai kawasan tanaman ketum terbesar di negara ini.

"Kita khuatir produk baru ini akan menjadi 'test market' sebelum diperluaskan ke kawasan lain. Mereka mungkin nak uji untuk mengetahui ada permintaan tinggi atau tidak," katanya.

Beliau menyarankan kerajaan segera meletakkan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang menanam pokok ketum.

"Sekarang kita tak boleh ambil tindakan terhadap pengusaha ketum kerana menanam ketum bukan kesalahan. Jika memetik daun ketum baru kesalahan.

"Antara taktik yang pengusaha ketum gunakan ialah individu yang mahu membeli ketum, mereka perlu memetiknya sendiri, jadi pengusaha tidak akan dikenakan tindakan undang-undang," jelasnya.

Mohammed Nazer berkata, ada 81 pengusaha ketum di Kedah, 40 di Padang Terap, Kubang Pasu (17), Kota Setar dan Pokok Sena (13), Baling (10) dan Sik (1).

Malaysia meletakkan kesalahan penyalahgunaan ketum mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya tetapi bagi kebanyakan kes, pesalah hanya didenda.
Share:

12 Julai 2016

POLIS BURU SUSPEK SAMSENG JALANAN BERNAMA ‘KEMIK’


Seorang lelaki suspek samseng jalanan yang dikenali dengan panggilan ‘Kemik’ kini diburu polis berhubung kes tetak seorang pemandu kereta Honda City, dalam kejadian di Jalan Buluh Gading, di sini, pada 7 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, ‘Kemi’ atau nama penuhnya M.Suhaimi Mohd, 31, yang beralamat dari Kampung Kubang Jela, di sini, dipercayai suspek utama dalam insiden terbabit.

Jelasnya, polis yakin suspek yang memiliki rekod jenayah lampau dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan itu, masih berada di daerah ini lagi.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang paip itu terus bersembunyi selepas kejadian dan langsung tidak pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Jela, di sini.

“Bagaimanapun, polis yakin suspek masih berada di sekitar kawasan ini dan gerakan mengesannya kini sedang dipergiatkan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Suffian berkata, sepanjang tempoh siasatan, polis menahan dua lelaki iaitu penumpang kereta berusia 30 tahun dan abang suspek utama berusia 39 tahun yang merupakan pemilik kereta terbabit, bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati, parang panjang digunakan suspek menetak mangsa merupakan miliknya yang memang sengaja dibawa dan disembunyikan di celah kusyen kereta.

Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mengetahui atau mengenali suspek utama ini agar dapat menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-40041039.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang lelaki cedera ditetak dengan parang panjang gara-gara membunyikan hon kepada pemandu kereta yang memotong keretanya, dalam kejadian di Jalan Buluh Gading, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa bersama isteri dan dua anaknya yang menaiki kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari Kemaman menghala ke Besut untuk menziarahi saudara mereka.

Insiden dipercayai berlaku selepas mangsa membunyikan hon keretanya selepas suspek mencelah dan memotong kereta yang dinaiki mereka.

Bengang dengan tindakan itu, mangsa keluar dari keretanya dengan memegang sebilah parang panjang dan berlaku pergelutan, sebelum suspek bertindak liar dengan menyerang dan menetak mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa berusia 42 tahun cedera di lengan kiri akibat ditetak, selain luka di kepala.
Share:

28 Jun 2016

SAMSENG `TAIK KUCING` MALU JADI BAHAN VIRAL


Tendang, tumbuk, maki hamun, tetapi akhirnya minta maaf dan mahu bayar ganti rugi selepas perbuatannya ‘viral’ di laman sosial Facebook.

Itu dilakukan pembuli jalanan yang menyerang seorang lelaki yang dalam perjalanan menghantar enam pelajar tahfiz menghadiri Majlis Khatam Al Quran dan jamuan berbuka puasa berhampiran Bulatan Duta-Segambut, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Zul Fadlain Abdullah, 38, berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu pembuli jalanan itu memotong keretanya dari belakang hingga berlaku pelanggaran.

"Pemandu kereta itu bertindak memotong kereta saya dengan cara merbahaya. Akibatnya kereta kami bergesel di bahagian kiri.

"Saya yang terkejut dengan kejadian itu segera memberhentikan kereta,” katanya.

Menurut Mohd Zul Fadlain, lelaki itu kemudian keluar dari kereta dalam keadaan marah sebelum bertindak menendang lampu keretanya hingga pecah.

“Lelaki itu turut memecahkan cermin sisi kereta saya," katanya.

Katanya, dia kemudian menurunkan cermin pintu kereta untuk berbincang dengan lelaki terbabit.

“Namun lelaki itu sebaliknya mengajak saya bergaduh sambil mengeluarkan kata-kata cacian.

“Dia kemudian menumbuk saya beberapa kali di bahagian lengan dan muka sebelum melarikan diri," katanya.

Susulan itu, Mohd Zul Fadlain membuat laporan polis di Balai Polis Sentul di sini.

Katanya, dia dihubungi lelaki terbabit yang meminta maaf serta mahu menyelesaikan perkara itu termasuk membayar ganti rugi.

"Bagi saya, dia perlu diberi pengajaran setimpal berikutan perbuatannya amat melampau apatah lagi di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Suspek menyerah diri di balai polis dan bakal didakwa di mahkamah," katanya.
Share:

7 Jun 2016

ORANG RAMAI DI SARAN JANGAN MUDAH PERCAYA DENGAN SKIM CEPAT KAYA PELABURAN EMAS


Dengan menjanjikan pulangan lumayan, sebanyak 56 syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf aktiviti perniagaannya dipercayai telah mengaut keuntungan lebih RM500 juta de­ngan menipu wang orang ramai.

Kesemua syarikat tersebut termasuk beberapa yang dikenali ramai dipercayai mengaut keuntu­ngan tersebut dalam tempoh enam bulan sahaja.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, kesemua syarikat terbabit telah menjalankan pelbagai bentuk pelaburan tanpa kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, antara jenis pelaburan yang dikesan dijalankan syarikat-syarikat terbabit ialah pelaburan komoditi, pelaburan emas dan tukaran matawang.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu-individu di sebalik syarikat-syarikat berkenaan yang sebahagian besarnya menawarkan pelaburan emas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, siasatan polis telah mengenal pasti sebanyak 47 ketua pegawai eksekutif (CEO) yang terlibat dalam pelaburan emas dan sedang melakukan siasatan sejauh mana penglibatan mereka.

“Tahun lalu sahaja, kita te­lah menerima 809 laporan berkaitan penipuan membabitkan pelaburan emas ini.

“Daripada jumlah itu, 739 kes telah diambil tindakan dan 70 kes lagi masih dalam siasatan lanjut pihak kami. Bayangkan begitu mudah orang ramai diperdaya oleh mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan apa sahaja bentuk pelaburan dan berhubung dengan pihak polis atau BNM untuk mendapatkan pengesahan.

Sebanyak 56 syarikat pelaburan ha­ram telah disenarai hitam Bank Negara Malaysia (BNM) selepas didapati mengaut keuntungan lebih puluhan bilion ringgit daripada ke­giatan itu sejak empat tahun lalu.

Namun, ada sebahagian daripada syarikat berkenaan dikatakan masih aktif menjalankan kegiatan pelaburan termasuk dengan menukar nama syarikat bagi me­ngaburi mata pihak berkuasa.

Antara jenis pelaburan yang se­ring digunakan bagi memperdaya rakyat negara ini adalah pelaburan berbentuk emas, batu permata, simpanan dana, pertukaran mata wang asing dan harga komoditi.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, senarai itu dikeluarkan berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa yang juga pelabur kepada BNM selepas gagal mempe­roleh pulangan yang dijanjikan syarikat ber­kenaan.

Katanya, sikap tamak sebahagian pelabur yang mahu memiliki kekayaan dengan cara mudah menyebabkan mereka senang ditipu sehingga sanggup mengeluarkan wang simpanan bernilai ratusan ribu ringgit.

Bagaimanapun, Roslan menegaskan banyak lagi syarikat yang berselindung de­ngan nama pelaburan haram, namun tidak dapat disenaraihitamkan berikutan tiada mang­sa tampil membuat laporan dirinya ditipu.


Share:

13 April 2016

POLIS BURU DAN TEMBAK MATI PENJENAYAH PALING DI KEHENDAKI DI HIGHLAND TOWER


Polis percaya dapat menyelesaikan 26 kes samun di sekitar Ampang, Gombak, Kajang dan Klang selepas menembak mati tiga daripada enam penjenayah di blok C, Kondominium Highland Towers di sini hari ini.

POLIS memeriksa barangan yang dirampas termasuk pistol angin dan kerambit daripada tiga penjenayah yang ditembak mati di bangunan tinggal Highland Towers, Ampang Jaya, semalam.

Bagaimanapun tiga lagi penjenayah melarikan diri di kawasan bukit berdekatan selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini melakukan serbuan pada pukul 5 pagi.

Usaha mengesan tiga penjenayah berkenaan masih dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Adnan Abdullah menjelaskan, kesemua penjenayah itu menjadikan sebuah bilik kondomi­nium terbiar di tingkat satu itu sebagai lokasi persembunyian sebelum merancang melakukan samun.

“Berdasarkan risikan yang kita lakukan, kita telah mendapat maklumat pada pukul 12.30 malam tadi bahawa kumpulan ini ingin me­lakukan kegiatan samun di sekitar kawasan Ampang.

“Jadi dalam pukul 5 pagi tadi, pihak polis telah menyerbu di kawasan itu. Beberapa penjenayah berkenaan cuba untuk menyerang pihak polis dan kami tidak pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan yang menyebabkan tiga daripada mereka mati di tempat kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Jelas Adnan, identiti kesemua lelaki yang ditembak mati berusia lingkungan 30-an itu akan diketahui selepas semakan menerusi cap jari.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan selaras pistol angin, sebilah parang, kerambit, peralatan mengumpil, topeng muka dan sarung tangan di lokasi berkenaan.

“Kita percaya bahawa kumpulan ini bergiat aktif dalam kegiatan samun sejak dua tahun lalu dengan anggaran kerugian mangsa yang terlibat dalam 26 kes ini sebanyak RM545,900.

“Buat masa ini, polis belum dapat mengetahui penjenayah ini adalah warga tempatan ataupun warga asing memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemukan,” katanya.

Share:

11 April 2016

PESERTA LARIAN TERKEJUT JUMPA MAYAT DI TEBING JALAN GOMBAK LAMA


Misteri bau busuk di Lereng Bukit Batu 29 Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah terjawab, apabila satu mayat ditemui di kawasan berkenaan.

Kejadian disedari sekumpulan peserta larian, yang terhidu bau busuk kira kira jam 10 pagi Ahad. Mayat wanita tersebut dipercayai berusia sekitar 30-an.

Ketika ditemui, mangsa tertiarap dalam belukar yang terletak di cerun sedalam 15 meter dengan kakinya terikat.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad percaya, mangsa mati lebih 72 jam semasa ditemui.

Pasukan bomba dari Balai Bomba Selayang bersama tujuh anggota dikejar ke tempat kejadian bagi membawa naik mayat berkenaan.

Unit anjing K9 juga dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengesan sebarang jejak penjenayah.
Cap jari mangsa turut diambil bagi mengenal pasti identiti.

Mayat mangsa dihantar Hospital Sg Buloh bagi mengenal pasti punca kematian.
Share:

28 Mac 2016

KES POTONG LIDAH, IBU MAHU ANAK DI TUKAR KE SEKOLAH LAIN


KES POTONG LIDAH PELAJAR - Ibu kepada murid yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri dalam kejadian buli di sebuah sekolah di sini, Khamis lepas, mahu anaknya itu ditukarkan ke sekolah lain dengan segera.

Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata dia serik dan mahu kejadian hitam yang menimpa anaknya Muhammaf Alif Shukran Alias, 8, tidak berulang.

"Saya mahu menukarkan dia (Muhammad Alif Shukran) ke sekolah lain kerana tidak mahu dia dibuli lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Siti Nurhuda berkata polis juga telah mengambil semula keterangannya hari ini, berhubung siasatan kes berkenaan.

Beliau berharap polis dapat menyelesaikan segera kes tersebut supaya ia tidak berlaku ke atas murid lain.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan memberi khidmat kaunseling kepada Muhammad Alif Shukran.

Pengarahnya Zainureen Mohd Noor berkata ia bagi memulihkan semangat murid tahun dua itu untuk terus bersekolah dan belajar.

"Di samping itu, pihak jabatan pendidikan juga sedang giat melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Khamis lepas, Muhammad Alif Shukran mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama.

Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

KESAN LIDAH TERPOTONG KEKAL

“Saya tidak mahu pergi sekolah. Saya takut kena buli lagi.”

Demikan luahan Muhammad Alif Shukran Alias, 8, murid tahun dua sebuah sekolah rendah di Bukit Tinggi di sini yang dipaksa menggunting lidah sendiri oleh lima pelajar lain di sekolahnya.

Alif ketika ditemui di rumah keluarganya di Bukit Tinggi di sini semalam semakin pulih daripada luka di lidahnya.

Dalam kejadian Khamis lalu, pelajar itu kehilangan setengah sentimeter lidahnya dan terpaksa menerima satu jahitan.

Siti Nurhuda Ibrahim, 29, iaitu ibu kepada Alif berkata, kesan potongan pada hujung lidah anaknya itu akan terus kekal.

Mengimbas insiden ter­sebut, Nurhuda berkata, selepas empat hari kejadian itu, Alif masih trauma dan enggan ke sekolah.

Nurhuda memberitahu, dia sendiri bertekad untuk tidak menghantar anak­nya ke sekolah itu lagi.

“Saya bercadang untuk menukar anak saya ke sekolah lain. Ia bukan sahaja untuk kebaikan Alif tetapi juga demi mententeramkan jiwa saya,” ceritanya.

Mengenai luka pada lidah Alif, Nurhuda berkata, semalam anaknya itu sudah mula makan berbanding pada hari pertama kejadian dia enggan makan kerana terasa sakit.

“Hari ini (semalam) Alif sudah makan nasi berbanding sebelum ini yang hanya makan makanan lembut dan minum menggunakan penyedut.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Nazimi Abd. Jabar berkata, kanak-kanak yang cedera di lidah itu perlu dirawat secara berterusan bagi memastikan sebutan beberapa huruf seperti T, D, N, Z, L dan S dapat dilakukan dengan baik.

“Pada peringkat awal tempoh penyembuhan, kanak-kanak itu mungkin mengalami gangguan rasa kerana keadaan lidah yang masih sakit namun lamakelamaan ia akan kembali pulih,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Nazimi, tempoh untuk sembuh sepenuh dijangka mengambil masa dua hingga empat minggu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Zainureen Mohd. Nor berkata, pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis dan sekolah untuk mengambil tindakan lanjut.
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI