Penyanyi dan pengarah filem, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee mendakwa klip video lagu 'Oh My God' yang menjadi viral baru-baru ini bukan dimuat naik olehnya.
Sebaliknya, klip video itu telah dicuri dan dimuat naik di media sosial oleh penggodam ketika ia masih dalam proses suntingan.
“Video yang kamu lihat bukan saya muat naik. Sebab kami masih belum habis sunting. Lagu ini bukan saya punya tapi ia milik sebuah syarikat filem Taiwan. Saya hanya penulis sahaja, ketika itu kami sedang berbincang dengan syarikat Taiwan itu untuk padam babak-babak yang sensitif dalam video muzik tersebut.
“Tapi sebelum tarikh kita nak muat naik (secara rasmi), ada penggodam yang mencuri video itu dan muat naik di YouTube dan Facebook. Ia bukan datang dari akaun Namewee. Kamu boleh semak. Kalau kamu kata saya yang bersalah, ini tak adil,” katanya melalui sebuah video bertajuk ‘Pengganas’ yang dimuat naik di akaun Youtube, hari ini.
Sebelum ini, beberapa NGO Islam Pulau Pinang membuat laporan polis berhubungan video tersebut yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan polis mengesahkan menunggu Namewee pulang ke tanah air untuk ditahan bagi siasatan lanjut.
Dalam rakaman video bertajuk ‘Oh My God’ itu, Namewee dan tiga pelakon lain dilihat menyanyi dan menari di beberapa rumah ibadat di sekitar Pulau Pinang termasuk masjid.
Dalam pada itu, Namewee turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pihak polis Pulau Pinang bagi siasatan lanjut kes tersebut.
“Saya juga harap kamu semua boleh hormat lagu saya ini yang mahu menghantar mesej memupuk keharmonian dalam agama yang berbeza. Malaysia negara yang berbilang kaum. Saya harap kita jangan gaduh-gaduh lagi.
“Tujuan saya tulis lagu ini ialah untuk menceritakan ketidakupayaan manusia dan kepentingan agama kerana agama tempat manusia bergantung. Lagu ini tidak ada bahasa kasar, lucah dan tidak menghina serta mempermainkan mana-mana agama,” katanya.
Jelasnya, keempat-empat pelakon di dalam video tersebut memakai pakaian daripada empat agama berbeza termasuk pendeta, sami, Nabi Isa (Jesus) dan orang Arab yang sedang bercuti di Pulau Pinang demi membawa mesej keamanan.
“Kamu jangan hanya nampak masjid saja dalam video itu. Tengok betul-betul. Kami juga ada pergi ke tokong Buddha, kuil India, tokong dan gereja. Walaupun kami tak ada surat kebenaran tapi kami telah bertanya orang yang berkuasa di sana sebelum penggambaran termasuk di masjid itu.
“Hari itu, kami 'shooting' sekejap sahaja, tak buat bising dan ikut peraturan masjid. Lagipun masjid itu tidak pernah kata kita tak boleh buat rakaman. Kami nampak ramai pelancong di sana yang rakam video dan tangkap gambar kerana masjid itu bukan masjid semata-mata. Ia juga destinasi pelancongan bersejarah. Jadi, kami rakam video macam pelancong lain juga,” jelasnya.
Penyanyi yang berasal dari Muar, Johor itu juga menafikan pelakon dalam video tersebut meminum arak dan bermain judi.
“Pelakon dalam MV dilihat main UNO dan poker (permainan kad) tapi mereka sebenarnya bukan berjudi kerana tiada duit. Hanya untuk hiburan saja. Air yang mereka minum bukan arak tapi sirap ais.
“Pistol yang mereka bawa itu pistol air kami beli tepi jalan. Semua benda kamu nampak dalam video itu lawak sahaja,” katanya.
Beliau turut menuding jari kepada pihak media memburukkan namanya dan sesetengah individu yang nakal mengedit serta memuat naik kembali videonya dengan sari kata yang salah hingga menyebabkan masyarakat salah faham terhadap dirinya.
“Kepada semua umat Islam dan kawan-kawan Melayu saya. Sudah bertahun orang salah faham dengan saya. Kalau selama ini anda rasa saya menghina agama Islam dan Malaysia, ia adalah kerana pihak media Malaysia selalu burukkan nama saya.
“Dulu video dan lagu saya tak ada sari kata. Jadi ada orang yang nakal suka buat sari kata yang salah dalam video saya dan muat naik sekali lagi. Sampai semua orang benci dan salah faham dengan saya.
“Lagu baru saya itu saya masukkan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris yang profesional. Saya harap kamu boleh faham dan baca betul-betul ,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan