Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

5 November 2017

DOKTOR TERPAKSA GUNA KHIDMAT 'MAGNET' TARIK 639 PAKU DALAM PERUT PESAKIT


Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas doktor mengeluarkan 639 paku besi dari perutnya menggunakan magnet.

Lelaki berusia 48 tahun itu menghidap skizofrenia dan menelan semua paku sepanjang lima sentimeter itu tetapi ajaibnya, tidak satupun menembusi sistem penghadamannya.

Lelaki itu dibawa ke hospital dua minggu lalu selepas tidak henti-henti muntah selain mengadu sakit perut.

Rakaman video yang tersebar menunjukkan doktor memeriksa kandungan ususnya menggunakan kaedah endoskopi sebelum membedahnya dalam prosedur selama dua jam untuk mengeluarkan paku berkenaan.

Rakaman video menunjukkan doktor di Kolej Perubatan dan Hospital Calcutta mengeluarkan paku berkenaan menggunakan magnet dengan berat keseluruhannya 1.3 kilogram.

Dr Siddhartha Biswas berkata: “Ususnya beralih disebabkan paku berkenaan. Semua paku itu berukuran lebih lima sentimeter dan tajam, tetapi dia bernasib baik ia tidak menyebabkan kelukaan teruk di dalam ususnya.

“Kami membuat potongan sepanjang 10 sentimeter di dalam abdomen sebelum mengeluarkan paku itu menggunakan magnet.

“Namun kami turut menemui sisa tanah yang juga dipercayai ditelan pesakit ini.”

Times of India melaporkan, pesakit itu kini stabil dan dalam pemerhatian.
Share:

PULAU PINANG LUMPUH AKIBAT HUJAN LEBAT DAN RIBUT TANPA HENTI


Kerajaan Negeri Pulau Pinang  terpaksa memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi  membantu  pasukan penyelamat sedia ada yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan  mangsa banjir di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  dalam kenyataan menerusi  FB Livenya dipetik berkata, ia berikutan keadaan hujan lebat dan angin ribut yang semakin memburuk di negeri itu.

Guan Eng yang turun melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkata, keadaan banjir di negeri tu semakin membimbangkan apabila air naik sehingga paras 10 hingga 12 kaki dan melepasi bumbung rumah.

Dalam nada sedih, Guan Eng meminta semua penduduk di negeri itu khususnya yang terjejas banjir agar terus bersabar sementara Kerajaan Negeri akan  berusaha  untuk menyampaikan bantuan secepat mungkin.

"Keadaan kini bertambah genting air masih naik, angin ribut masih  kuat, air sampai 10 kaki 12 kaki melepasi bumbung, di Pulau Pinang pusat  pemindahan tak ada bekalan elektrik. Pulau Pinang minta bantuan dariada Angkatan Tentera Malaysia, saya telah berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan saya minta  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Terima kasih terima panggilan saya pada hampir jam  3.30 pagi dan beliau berjanji  akan menghantar Angkatan Tentera Malaysia  untuk selamatkan Pulau Pinang," kata Guan Eng.

Hujan lebat diikuti angin kencang  sejak tengah hari Sabtu menyebabkan Pulau Pinang lumpuh apabila sebahagian besar kawasan dinaiki air manakala banyak jalan terpaksa ditutup.

Keadaan turut diburukkan dengan kejadian puluhan pokok tumbang.

Tinjauan mendapati ratusan kenderaan terperangkap di dalam  banjir.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memberi amaran mengenai hujan yang sangat lebat dan berterusan berserta angin kencang sedang berlaku di negeri Pulau Pinang dan Kedah (daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) yang dijangka berterusan hingga Ahad.
Share:

1 November 2017

SUSPEK BUNUH POTONG SEMBILAN MANGSA DENGAN GERGAJI


JEPUN :  Polis menahan seorang lelaki susulan penemuan sembilan mayat tanpa kepala yang dipotong dan daging disiat di sebuah rumah di pinggir Tokyo, lapor media semalam.

Takahiro Shiraishi, 27, dilaporkan mengaku menyiat daging mayat berkenaan dan membuangnya ke dalam tong sampah sebelum meletakkan najis kucing untuk menutup bukti.

Shiraishi memberitahu polis, dia memotong mayat berkenaan di dalam bilik air dengan gergaji yang turut ditemui di dalam biliknya.

Tindakannya itu sekali gus mencetuskan spekulasi dia adalah pembunuh bersiri selepas dipercayai membunuh semua sembilan mangsa.

Beberapa jiran suspek kelihatan keliru dan sukar untuk mempercayai bagaimana tindakan kejam seperti itu boleh berlaku berhampiran mereka.

“Ia sangat kejam. Dia menggunakan gergaji untuk memotong mayat berkenaan. Dia mesti tidak normal,” kata seorang penduduk berusia 83 tahun, Hideaki Hosogaya.

Akhbar Sankei Shimbun turut memetik kenyataan seorang lelaki yang mengatakan tercium bau yang luar biasa di kawasan kediaman itu.

“Saya ingatkan ia bau kumbahan,” katanya.

Polis menggunakan kanvas biru untuk menghalang pandangan di dalam bangunan dua tingkat itu dan menutup tingkap di bilik tempat mayat berkenaan ditemui.

Polis pada mulanya menemui dua kepala di dalam sebuah kotak penyejuk di pintu masuk rumah berkenaan sebelum menemui bahagian badan lain.

“Ketika siasatan dijalankan, kepala semua mayat itu ditemui di dalam pelbagai bekas penyejuk di rumah berkenaan,” lapor rangkaian televisyen swasta, TBS.
Share:

31 Oktober 2017

RAMAI PENUMPANG CEDERA BAS EKSPRESS BERGESEL DENGAN LORI TANGKI DI JASIN


MELAKA : “Mujur saya ikut gerak hati tukar tempat duduk, kalau tak mungkin saya boleh cedera parah. Difahamkan, penumpang yang cedera ramai duduk di sebelah kiri,” kata penumpang bas ekspres Amir Arsyad, 22, yang terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan lain di Kilometer 178 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini, semalam.

Kemalangan menyebabkan tangan kiri penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor itu membengkak dipercayai akibat terhentak, namun dia bersyukur kerana tidak cedera serius.

Menceritakan kejadian itu, Amir berkata, terdahulu dia menaiki bas berkenaan bersama penumpang lain di Batu Pahat pada jam 8 pagi sebelum bertolak ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Sepatutnya saya duduk di kerusi penumpang sebelah kiri, tetapi sebelum bas bertolak tiba-tiba saya berasa mahu pindah ke kanan kerana melihat banyak tempat duduk kosong.

“Tidak lama kemudian saya terlena, namun terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan bas bergegar, ketika itu kedengaran suara penumpang lain yang panik menjerit menyebabkan saya cemas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Jasin, semalam.

Katanya, semua penumpang kemudian menyelamatkan diri dengan keluar menerusi cermin depan bas yang pecah akibat bergesel dan berlanggar dengan lori tangki serta bas persiaran.

Dia turut memuji keprihatinan orang ramai membantu mengeluarkan penumpang wanita yang mengalami kesukaran untuk keluar dengan sendiri berikutan tersepit di tempat duduknya.

“Saya sebenarnya mahu ke Hospital Shah Alam, Selangor kerana ada temu janji dengan doktor dan mendapatkan rawatan susulan akibat terbabit kemalangan Ogos lalu, tapi hari ini (semalam) lain pula jadinya,” katanya.
Share:

30 Oktober 2017

KERAJAAN MALAYSIA BAKAL PUTUSKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN KOREA UTARA?


Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menutup kedutaannya di Pyongyang, Korea Utara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia pada masa ini telah memperkenalkan visa kepada rakyat Korea Utara yang mahu ke negara ini.

"Mengenai keadaan di Semenangjung Korea, kedua-dua negara (Malaysia dan Amerika Syarikat) telah menyatakan kebimbangan di atas keselamatan dan keamanan di rantau Asia Pasifik yang diancam oleh tindakan Korea Utara yang menjalankan program ujian nuklear dan ujian peluru berpandu balistik.

"Saya telah menyatakan Malaysia telah mengambil langkah untuk mematuhi kesemua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan Korea Utara antaranya untuk mengurangkan bilangan pegawai diplomatik Korea Utara.

"Malaysia juga sedang mempertimbangkan hubungan dengan Korea Utara dari aspek termasuk hubungan diplomatik, politik dan ekonomi. Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang dan memindahkan ke Beijing.

"Malaysia juga kini telah memperkenalkan visa untuk kemasukan warganegara Korea Utara ke negara ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Tiong sebelum itu meminta Perdana Menteri menyatakan apakah hasil lawatan kerja Perdana Menteri ke Amerika Syarikat pada September lalu dan apakah kejayaan yang telah dicapai melalui lawatan tersebut.

Ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara tercetus berikutan pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara negara ini mengendalikan kes itu yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai 'persona non grata' dan mengusirnya keluar.

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac.

Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohd Nor Azrin Md Zain.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Malah, Datuk Seri Najib mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.

Selain Mohd Nor Azrin sekeluarga, empat lagi rakyat Malaysia terbabit ialah pembantu peribadi kepada Duta Besar Noor Saaidah Jamaluddin, 29 dan suaminya Mohd Radzuan Othman, 29 serta bayi mereka Mohamad Radhiy yang berusia lapan bulan; dan pembantu tadbir S. Nirmala Malar Kodi, 45.
Share:

POLIS MULA BURU 9 DRAGONS


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

"Saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Ditanya mengenai lokasi sindiket tersebut, Mohamad Fuzi memaklumkan perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan.

"Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.

"Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

"Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM. Tetapi saya minta jangan ada dakwaan menyatakan terdapat anggota polis 'dibayar' untuk melindungi kegiatan ini," katanya.
Share:

23 Oktober 2017

YUSUF AZMI DITUDUH MENCEROBOH DAN KHIANAT?


Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pada Selasa kerana menceroboh syarikat pajakan kenderaan pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata, Yusuf dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada ‪pukul 8‬ pagi Selasa.

“Sehingga kini tiada tangkapan, tapi esok dia akan ke balai Kajang dan kemudian dibawa ke mahkamah untuk tuduhan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Sementara itu Yusuf yang juga Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM ketika dihubungi mengakui maklum berhubung perkembangan itu.

"Polis arahkan saya hadir ke IPD Kajang esok pagi, sebelum dibawa ke mahkamah untuk dituduh," katanya.

Difahamkan Yusuf akan dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan serta Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini sudah merakam kenyataan Yusuf berhubung insiden berkenaan.

‪Pada 10 Julai lalu Yusuf mengetuai sekumpulan individu menyerbu pusat penyimpanan kenderaan milik Syarikat AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR) di Jalan Sungai Sikamat, Kajang.‬

Kumpulan berkenaan mendapatkan bantuan PPIM kerana mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pajakan kenderaan itu dan buntu selepas menerima notis hutang daripada pihak bank.

Share:

12 Oktober 2017

KENAPA BAWA ANAK-ANAK MANDI AIR TERJUN DI MUSIM TENGKUJUH??


KANAK-KANAK perempuan, 11, ditemui lemas sementara tiga lagi kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di kawasan air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihahknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5 petang dan tiba di lokasi kejadian 16 minit kemudian.

Menurutnya, tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, operasi menyelamat dijalankan dan menemui seorang mangsa sementara tiga lagi masih belum ditemui selepas dihanyutkan air deras.

"Buat masa ini kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa masih dijalankan," katanya.

“SAYA tidak sedar bila arus deras itu datang dan sebaik menyedari, saya sudah dihanyutkan arus... dalam terkapai-kapai saya sempat berpaut pada batu dan orang ramai tarik saya ke tempat selamat,” kata Alif Akmal Md Zamri, 12, seorang daripada dua mangsa yang terselamat dalam kejadian fenomena 'kepala air' yang melanda kawasan air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, seorang maut manakala tiga lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai secara tiba-tiba.

Mangsa yang maut dikenali Qistina Puteri Wira, 11, dan mayatnya ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 500 meter dari lokasi kanak-kanak itu dibadai arus.

Tiga mangsa yang masih hilang dikenali Anis Syakirah Saad, 12, dari Kampung Lawer di Padang Matsirat, selain Iman Wahidah, 11, dari Kampung Ranggut dan Siti Aishah Kassim, 5, dari Bukit Malut.

Semua mangsa adalah antara enam kanak-kanak yang dilapor hanyut ketika kepala air membadai kawasan rekreasi itu, namun dua daripada mereka iaitu Adib Irfan, 11, yang juga adik kepada Anis Syakirah, serta Alif Akmal sempat diselamatkan orang ramai.

Alif Akmal mengakui bernasib baik kerana sempat berpaut pada batu di tebing sungai ketika dihanyutkan arus yang datang secara tiba-tiba itu, sebelum diselamatkan orang ramai.

"Ketika kejadian kawasan itu tenang dan saya bersama pengunjung lain termasuk beberapa kanak-kanak asyik bermain air sambil menyelam," katanya.

Berdasarkan maklumat, selain kanak-kanak terbabit yang datang berkelah bersama keluarga masing-masing, beberapa pengunjung termasuk pelancong asing dikatakan turut mandi-manda, namun terselamat daripada dibadai kepala air itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Mahani Mohamed mengesahkan kejadian itu yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak perempuan dan sehingga kini, usaha mencari tiga lagi mangsa berusia antara 5 hingga 12 tahun masih digerakkan.
Share:

DUA POLIS TRAFIK MAUT DIREMPUH LORI DI TERENGGANU


Dua anggota trafik maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggani mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 139 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, Kemaman.

Nahas kira-kira pukul 2.55 petang itu menyebabkan Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal Suresh A/L Itchang, 36, maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian dua anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun itu dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata mangsa bersama tujuh pegawai dan 18 anggota dalam konvoi latihan dalam perkhidmatan menunggang motosikal berat jarak jauh daripada Mersing, Johor  ke Kuala Terengganu.

Mohd Said berkata, sebuah lori jenis Kia dipercayai telah memasuki laluan konvoi lalu merempuh dua motosikal  jenis CBX 750 yang ditunggang mangsa.

“Ekoran kejadian itu kedua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika di hubungi,pada Khamis.

Mohd Said berkata mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk di bedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Share:

11 Oktober 2017

TAKUT DIMARAHI IBU PUNCA BUDAK 10 TAHUN MENYOROK BAWAH REKAHAN KONKRIT


BUDAK lelaki menyorok di bawah rekahan simen di kawasan pagar Sekolah Kebangsaan Semerah Padi di Jalan Depo, Petra Jaya, diselamatkan anggota bomba petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, budak lelaki berusia 10 tahun yang juga murid sekolah berkenaan dikatakan bertindak sedemikian kerana merajuk ditegur ibunya.

Susulan daripada tindakannya itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dipanggil selepas usaha memujuknya untuk keluar dari rekahan simen yang dianggarkan setinggi 0.3 meter tidak berjaya.

Ketua BBP Petra Jaya Mohd Mirza Dzalmira Miraj berkata, ibu dan beberapa rakan kemudiannya bertindak menghampiri rekahan berkenaan dalam usaha untuk memujuk supaya budak lelaki terbabit keluar.

Menurutnya, walaupun sudah dipujuk, budak lelaki terbabit masih enggan keluar sehingga pasukan bomba dipanggil ke lokasi untuk membantu mengeluarkannya.

"Bilik gerakan menerima panggilan kecemasan jam 5 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Petra Jaya bergegas ke lokasi untuk operasi mengeluarkan budak lelaki terbabit.

"Pegawai dan anggota bertugas mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memujuk budak lelaki itu keluar kerana bimbang sekiranya terdapat haiwan berbisa di dalam rekahan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, anggotanya sukar untuk masuk ke celah rekahan berkenaan kerana ruang yang sempit dan hanya boleh memuatkan badan bersaiz kanak-kanak.

Katanya, usaha memujuk tetap diteruskan walaupun ketika hujan sebelum budak lelaki terbabit 'lembut hati' seterusnya keluar dari rekahan dalam keadaan kesejukan selain kakinya yang kejang.

Katanya, budak lelaki terbabit kemudiannya menerima rawatan awal oleh Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut.
Share:

BOM ZAMAN PERANG PUNCA LETUPAN DI TAPAK PEMBINAAN MRT DI SUNGAI BESI


LETUPAN bom lama peninggalan Perang Dunia ke 2 dikenal pasti punca tragedi menyebabkan tiga pekerja parah dalam kejadian di tapak pembinaan MRT Bandar Malaysia, dekat Sungai Besi jam 5 petang hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kejadian itu selepas siasatan dilakukan Unit Polis Forensik di lokasi kejadian.

“Ia adalah bom lama ketika Perang Dunia Kedua dan meletup secara tiba-tiba sewaktu kerja pembinaan sedang dijalankan,” katanya.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Media sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tiga pekerja tapak pembinaan MRT dekat Lapangan Terbang Sungai Besi, cedera parah dalam kejadian letupan petang tadi.

Difahamkan, dua daripada pekerja berkenaan terputus kaki.

MC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengesahkan tiga pekerjanya yang parah berada dalam keadaan stabil di hospital.

Untuk rekod, Bandar Malaysia Selatan satu daripada 11 stesen bawah tanah membabitkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd adalah kontraktor bagi kerja-kerja bawah tanah.
Share:

8 Oktober 2017

POLIS BERJAYA GAGALKAN ROMPAKAN TERBESAR DUNIA ALA ALA FILEM HOLLYWOOD


Sebuah percubaan rompakan bank gaya ‘filem Hollywood’ yang ditumpaskan di Sao Paolo baru-baru ini hampir menjadi kes rompakan bank terbesar dalam sejarah dunia, dengan kumpulan perompak melaburkan lebih sejuta dolar sebagai ‘modal memulakan rompakan’.

Pihak polis Brazil menggagalkan percubaan itu apabila sebuah terowong ditemui menghala ke sebuah cawangan Bank of Brazil.

Sejumlah 16 orang ditangkap susulan penemuan tersebut yang disifatkan pasukan penyiasat sebagai usaha yang ‘luar biasa’. Pasukan penyiasat telah menghabiskan masa dua bulan untuk memantau aktiviti tersebut.

Mereka yang ditangkap telah dibawa ke bahagian utara bandar tersebut, iaitu tempat mereka menyiapkan kelengkapan dan perkakasan untuk kerja-kerja menggali terowong.

"Kumpulan perompak itu sanggup melaburkan wang sejumlah AS$1.27 juta (RM5.4 juta) secara perkongsian, dengan setiap ahli mengeluarkan wang (pendahuluan) sekurang-kurangnya sekitar AS$6,300. Semuanya demi mendapatkan sasaran rompakan bernilai AS$317 juta (RM1.34 bilion).

“Ia boleh menjadi rompakan terbesar dunia, jika berjaya,” ujar ketua pasukan penyiasat Fábio Pinheiro Lopes.


Penggalian terowong sejauh 500 meter itu bermula empat bulan lalu dan selesai pada Rabu lepas, sekali gus memberi isyarat kepada pihak berkuasa untuk menyerbu dan menumpaskan kumpulan perompak itu.

Lopes berkata, walaupun kumpulan perompak tidak dapat memasuki bilik kebal, mereka berjaya juga menembusi pintu keselamatan.

“Ketika itulah kami lancarkan serbuan dan menangkap hampir kesemuanya. Kami berjaya menangkap ketua mereka, manakala yang terlepas lari cuma pekerja penggali,” ujar Lopes.

Terowong berkenaan yang ditopang dengan kayu dan kerangka besi, mula digali di bawah sebuah rumah sewa berdekatan bank tersebut.

Pasukan penyiasat berkata, premis itu turut menyimpan banyak bekalan makanan dan perkakasan sepanjang operasi itu dijalankan secara rahsia.

Kumpulan perompak terancang itu, menurut pihak polis, pernah terlibat dalam rompakan Central Bank di Fortaleza pada 2005 dan Bank Itau di Paulista.
Share:

PENCEROBOH TEMBAK MATI DUA PENGAWAL ISTANA ARAB SAUDI


Dua pengawal istana Arab Saudi ditembak mati dan tiga lagi cedera pada pagi Sabtu apabila seorang lelaki bertindak memandu ke arah pintu pagar istana di Jeddah dan melepaskan tembakan, kata Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media tempatan.

Pengawal diraja kemudiannya berjaya membunuh lelaki bersenjata itu, yang dikenalpasti sebagai Mansour al-Amri, warga negara itu yang berusia 28 tahun.

Serangan itu berlaku di sebuah pusat pemeriksaan di luar gerbang barat Istana Keamanan di Jeddah, di mana keluarga diraja menjalankan perniagaan rasmi sepanjang musim panas.

Raja Arab Saudi, Raja Salman kini berada di luar negara dalam lawatan ke Moscow, Rusia.

Kenyataan itu tidak menjelaskan tentang keberadaan anak baginda, Putera Mahkota Mohammed Salman sewaktu kejadian, walaupun beliau baru-baru ini dilaporkan dia berada di Jeddah.

Selain menembak mati pelaku, pasukan keselamatan turut merampas senapang jenis Kalashnikov dan bom petrol milik Amri.

Amri tidak mempunyai rekod jenayah atau apa-apa hubungan dengan kumpulan pelampau, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mansour al-Turki, melalui telefon ke stesen televisyen al-Arabiya.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk menentukan motif serangan itu.
Share:

SI IBU SIBUK MEMBELI BELAH, ANAK NYARIS DILANGGAR KERETA


Beberapa kenderaan terpaksa brek mengejut apabila melihat kanak-kanak itu berjalan di tengah jalan,” kata Ayu Syahkilla Abd Rashid, 24, yang menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ‘tersesat’ selepas terpisah dengan ibunya hampir satu jam di Taman Tas, di sini, kelmarin.

Ayu Syahkilla berkata, dia melihat kelibat kanak-kanak lelaki itu ketika berada di tempat kerjanya sebelum bergegas membantu.

Katanya, ketika memegang tangan kanak-kanak itu, dia hanya menangis sebelum dipujuk lalu mengajaknya mencari ibunya, namun gagal.

“Saya kemudian mengajak dia (kanak-kanak itu) makan terlebih dahulu sebelum mencari semula ibunya, namun dia enggan.

“Selang beberapa minit kemudian, ibu kanak-kanak itu datang dengan seorang lagi anaknya sambil memberitahu kanak-kanak itu hilang ketika dia membeli barang di sebuah pasar raya berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu kanak-kanak itu memaklumkan mencari selepas menyedari kehilangan anaknya.

Katanya, wanita berkenaan mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan anaknya yang nyaris dilanggar kenderaan.
Share:

BUDAK DUA TAHUN JATUH DALAM REKAHAN BUMI


Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berjaya diselamatkan selepas 12 jam terjatuh di dalam rekahan tanah ketika mendaki gunung bersama keluarganya di Swiss Alps, kata polis kelmarin.

Kanak-kanak itu bersama keluarganya melawat kawasan berhampiran glasier Aletsch di selatan Switzerland pada tengah hari Rabu lalu.

Mangsa terjatuh ke dalam rekahan tanah yang sempit dan sedalam enam meter itu ketika merayau keluar dari trek pendakian.

Seramai 100 anggota penyelamat berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum dia berjaya dikeluarkan pada jam 2 pagi (waktu tempatan).

“Ketika dibawa keluar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan tetapi dia hanya mengalami calar pada badan,” kata jurucakap polis, Christian Zuber.

Ketua bomba di wilayah Aletsch, Matthias Lorenz berkata, pasukan penyelamat berlumba dengan masa ketika mereka berhati-hati mengalihkan tanah dan batu untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, sepanjang operasi menyelamat kanak-kanak itu menunjukkan tanda-tanda dia masih lagi hidup.

“Saya tidak pernah melihat operasi menyelamat seperti ini dan kanak-kanak itu sangat bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” jelasnya.

Menurutnya, selepas diselamatkan kanak-kanak itu diterbangkan menggunakan helikopter ke sebuah hospital di Bern.

“Kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemantauan selama sehari sebelum dibenarkan keluar,” katanya.
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.

Follow by Email

Sign up here with your email address to receive our all news and updates about blogger in your inbox. Its free.

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI