Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

5 Jun 2018

AGONG PERKENAN PELANTIKAN TOMMY THOMAS SEBAGAI PEGUAM NEGARA YANG BAHARU


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.
Share:

1 Jun 2018

PAS CUBA PUJUK AHLI UMNO MASUK PAS


PAS mempelawa ahli UMNO agar menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

"Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.

"Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan PH yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. -- Bernama
Share:

TUN M BERI PERINGATAN PADA PENJAWAT AWAM


Kerajaan minta penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan kempen parti pemerintah sebelum ini, Barisan Nasional, untuk kembali neutral.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini adalah penting supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab di bawah pemerintahan Pakatan Harapan dengan baik.

"Kami dapati ramai penjawat awam yang terlibat dalam kempen Barisan Nasional.

"Ini tidak betul. Sebagai penjawat awam, mereka harus bersikap neutral dan berkhidmat untuk kerajaan sedia ada," kata Dr Mahathir.

Apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap golongan ini, Dr Mahathir berkata Kerajaan tidak ingin menghukum sewenang-wenangnya.

"Kami berharap mereka boleh kembali neutral agar perjalanan pentadbiran Kerajaan kini dapat diteruskan dengan baik," kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Share:

6 Oktober 2017

JEPUN BAKAL DI BOM OLEH KOREA UTARA?


KOREA UTARA : Pyongyang mengugut untuk menggunakan senjata nuklearnya keatas Jepun selepas negara tersebut cuba meyakinkan dunia supaya memaksa Korea Utara menghentikan program nuklearnya.

Menurut laporan International Business Times, Korea Utara membuat ugutan tersebut melalui artikel yang disiarkan Agensi Berita Korea (KCNA).

"Tokyo, mangsa pertama senjata nuklear mungkin akan menghadapi kemusnahan (melalui senjata nuklear) sekali lagi," kata kenyataan tersebut.

September lepas, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang hadir ke mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Dalam mesyuarat tersebut, Shinzo menggesa tekanan diberikan kepada Korea Utara dan bukannya diajak berdialog.

Ketika ini, PBB telah mengenakan beberapa sekatan terhadap Korea Utara sebagai tekanan untuk negara tersebut menghentikan program nuklearnya.

Dalam kenyataan KCNA lagi, Shinzo dituduh 'mempunyai sasaran tidak elok dalam politik negaranya' dengan menaikkan kos pertahanan negara Jepun dan mengadakan pilihan raya mengejut.

"Tiada siapa tahu bila situasi kecam-mengecam ini akan menjadi perang nuklear, jika ia terjadi, Jepun akan terbakar dalam masa sesaat," kata kenyataan KCNA lagi.

Share:

28 Ogos 2017

PELURU BERPANDU KOREA UTARA LINTAS RUANG UDARA JEPUN


Korea Utara dilapor telah melancarkan peluru berpandu dari Pyongyang ke arah utara Jepun awal Selasa.

Perkara itu disahkan kerajaan Jepun dan Korea Selatan.

Stesen penyiaran NHK Jepun melaporkan peluru berkenaan berkecai dan jatuh ke laut berhampiran Hokkaido.

Bagaimanapun, tiada usaha dilakukan Jepun untuk menembak jatuh peluru berpandu itu yang melintasi ruang udara Jepun pada jam 6.06 pagi.

Dalam pada itu, tentera Korea Selatan berkata peluru berpandu itu dilancarkan dari wilayah Sunan berdekatan Pyongyang sebelum jam 6 pagi.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menegaskan kerajaan maklum tentang serangan itu sejurus peluru berpandu berkenaan dilancarkan.

Abe kemudian mengemukakan permohonan supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar untuk berbincang tentang tindakan tegas ke atas Pyongyang.
Share:

19 Jun 2017

HANYA INDAH KHABAR DARI RUPA?


BILA kita tulis atau bercakap berkenaan hegemoni politik, ekonomi dan ketenteraan China, penyokong China kata kita khianat dan sengaja hendak takutkan orang ramai.

Walaupun banyak contoh buruk berkaitan pelaburan China di merata dunia, pemuja China berkata, itu di tempat lain. Di Malaysia perkara macam itu tidak akan berlaku.

Sebenarnya tanda-tanda sudah ada. Cuma pihak-pihak yang bercita-cita mengaut keuntungan daripada projek-projek China sengaja sembunyikan keburukan itu daripada pengetahuan rakyat jelata.

Baru-baru ini kita baca berita mengenai lebih 8,000 pembeli rumah di projek raksasa milik China, Forest City dan beberapa buah projek lain di Johor tersangkut apabila kerajaan China tidak benarkan mereka membawa keluar duit dari negara China.

Kerajaan China keluarkan perintah itu pasal terlalu banyak duit mengalir keluar sehingga menyebabkan kadar tukaran mata wang Yuen jatuh.

Boleh dikatakan semua 8,000 pembeli itu adalah dari China dan ramai yang bekerja di projek terbabit adalah juga dari China.

Kalau rakyat jelata dan pekerja mereka sendiri jadi mangsa mereka, bayangkan apa yang mereka sanggup buat kepada rakyat jelata kita.

Ada laporan mengatakan pekerja China itu dibiarkan kelaparan apabila projek-projek hartanah China di Johor terbengkalai sehingga terpaksa dibantu penderma tempatan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah sebahagian besar projek-projek China di negara kita dulunya adalah milik kita, tetapi dibeli 1MDB dan kemudiannya dijual kepada syarikat dari negara China atau projek baharu kerajaan yang kita bagi seperti Bandar Malaysia dan Kompleks Kewangan Tun Razak (TRX).

Turut dikhuatiri, apabila laporan media massa mengatakan kerajaan kita telah luluskan permit kepada hampir 2,500 warganegara China untuk bekerja di Johor saja.

Sebenarnya ciri-ciri penipuan dan mungkir janji ini telah pun berlaku cuma tidak ramai orang kita yang faham atau peduli sebab belum sentuh poket mereka secara besar-besaran. Secara kecil-kecilan sudah berlaku.

Saya sudah banyak kali tulis hal ini. Tapi boleh jadi orang kita tidak percaya sebab mereka tidak faham atau tidak lalui sendiri.

Jadi apa kata saya ulang cerita itu dengan memetik sebuah berita yang ditulis penulis Cina dan disiarkan akhbar terkenal The Star.

Pada 10 Jun, surat khabar milik MCA itu siar sebuah rencana bertajuk When Liberalisation Attracts Flops (apabila dasar terbuka menarik (syarikat) yang gagal) oleh wartawannya, Errol Oh.

Dalam rencana itu, Oh menceritakan macam mana dasar pasaran terbuka yang dianuti Suruhanjaya Sekuriti pada 2008 untuk majukan pasaran saham tempatan telah diambil kesempatan oleh pelabur dari negara China.

Mereka guna dasar itu untuk cari modal di negara kita dengan menjual saham mereka di Bursa Malaysia. Saya pernah ceritakan macam mana apabila sesetengah syarikat China itu cuba jual saham mereka di China, Singapura dan Hong Kong tetapi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Oh berkata, menjelang akhir tahun 2013, sebanyak 10 buah syarikat dari China telah buat tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia dan berjaya kutip modal kira-kira RM630 juta.

Saya masih ingat macam mana seronok dan bangganya pegawai dan eksekutif kita dengan kemasukan syarikat negara China itu.

Tapi apa yang telah terjadi? Satu demi satu syarikat negara China itu buat hal. Ada yang tidak simpan akaun dengan baik sehingga ditolak oleh syarikat pengauditan tempatan.

Oh menulis: “Malangnya mutu bukanlah perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila seseorang itu mengkaji apa yang telah berlaku kepada 10 buah syarikat China tersebut.”

Apa yang berlaku adalah semua atau sebahagian besar daripadanya telah mungkir janji, rugi, harga saham mereka jatuh merudum, diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah PN17 dan diherdik oleh Bursa Malaysia.

Contohnya China Automobile Part Holdings Ltd. Harga sahamnya merudum daripada harga IPO 68 sen kepada satu sen pada 8 Jun lepas. K-Star Sports Ltd jatuh daripada harga IPO RM2.15 kepada 10 sen. Tak ada sebuah pun yang sahamnya naik.

Sesiapa yang membeli saham syarikat negara China tersebut mengalami kerugian teruk. Nilai pelaburan mereka merudum dan mereka tidak dibayar dividen.

Maaf cakaplah kalau saya kata, unsur-unsur penipuan, putar-belit dan sambil lewa nampaknya berleluasa dalam syarikat-syarikat dari China. Piawaian mereka sangat rendah. Jadi berhati-hatilah.

Apa yang dikhuatiri adalah pelabur China yang diberikan projek dan konsesi berpuluh bilion ringgit oleh kerajaan akan melakukan hal yang sama. Wallahuaklam.

Petikan Sinar Harian
Share:

3 Mac 2017

RI JONG-CHOL AKAN DIUSIR KELUAR DARI MALAYSIA


SEPANG : Keluarga ahli kimia Korea Utara Ri Jong-chol, yang ditahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mungkin sedang menyembunyikan diri.

Ini susulan penangkapan Jong-chol oleh polis pada 17 Feb bagi membantu penyiasatan mengenai pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), empat hari sebelum itu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu berakhir esok. Tinjauan media di sebuah unit kondominium di Jalan Kuchai Lama, tempat tinggal terakhir keluarga itu, mendapati ia berkunci.

Menurut seorang jiran, isteri suspek dalam kes pembunuhan itu serta dua anak mereka, meninggalkan unit berkenaan secara tergesa-gesa beberapa jam selepas Jong-chol, juga seorang pakat IT, ditangkap.

"Saya tidak tahu mereka (keluarga Jong-chol) pergi ke mana. Isteri dan anak-anak Jong-chol pergi dengan tergesa-gesa. Kami masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.

Media yang membuat tinjauan ke unit kediaman keluarga itu dan cuba mendapatkan maklumat tempat mereka mungkin berada, diiringi dua pengawal keselamatan, yang memberi amaran supaya tidak merakam sebarang gambar atau peralatan kamera akan dirampas.

Difahamkan bahawa penduduk kondominium itu meminta kawalan keselamatan dipertingkatkan berikutan penangkapan Jong-chol.

Dua suspek lain, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, rakyat Vietnam, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang semalam, berhubung pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara yang hidup tersisih itu.

Menurut laporan, Jong-nam berada di klia2 pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan cecair toksik, yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf 'VX'.

Jong-nam, yang dilaporkan meminta pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang selepas itu, segera diberi bantuan untuk dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Mangsa tiba di Malaysia pada 6 Feb.

Sementara itu Korea Utara dakwa serangan jantung kemungkinan jadi punca kematian warganya

Korea Utara pada Khamis berkata terdapat petunjuk jelas yang serangan jantung berkemungkinan menjadi penyebab kepada kematian warga negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Malaysia sebelum ini berkata lelaki yang dikaitkan dengan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh dengan menggunakan agen saraf beracun VX. Sehingga kini Pyongyang menafikan lelaki terbabit adalah Kim Jong Nam.

Bekas timbalan duta Korea Utara ke PBB, Ri Ton Il, berkata sampel autopsi dan dari bahan beracun itu sewajarnya di hantar ke Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague untuk diuji.

“Sekiranya benar bahan itu telah digunakan, ia seharusnya dihantar ke pejabat OPCW,” katanya kepada wartawan bagi menjawab persoalan kemungkinan penggunaan agen saraf VX dalam pembunuhan itu.
Share:

26 Februari 2017

KAUNSELOR KOREA UTARA NAIK ANGIN DENGAN WARTAWAN


Kaunselor di Kedutaan Korea Utara di sini, Kim Yu Song mengherdik pengamal media yang menyerbu kereta Mercedes Benz berwarna biru gelap yang dipandunya sehingga cermin sisi kereta itu tertanggal.

Beliau ketika itu sedang mengundurkan kenderaannya dari kawasan kedutaan kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

Yu-song lalu keluar daripada keretanya bagi membetulkan cermin itu di sebelah bahagian pemandu serta meninggikan suaranya kepada pihak media.

"Siapa pecahkan cermin sisi saya. Keluar dari sini," jeritnya dalam bahasa Inggeris.

Para pengamal media berhimpun di kawasan kedutaan bagi mendapat maklumat terkini mengenai kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini pada 6 Feb dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Mayatnya kemudian dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. 
Share:

21 Februari 2017

ANAK KIM JONG NAM TIDAK MENDARAT DI KLIA2, STAFOC BERSIAP SIAGA!


Lebih 100 petugas media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak 5 petang tadi hampa apabila anak lelaki Kim Jong-nam, Kim Han Sol, 21, tidak muncul di lapangan terbang berkenaan.

Menurut sumber, Han Sol dijangka tiba di klia2 dari Macau dengan menaiki pesawat AirAsia AK8321.

Bagaimanapun, kelibat Han Sol tidak kelihatan biarpun pesawat yang membawanya selamat mendarat di klia2 kira-kira jam 7.33 malam tadi.

Difahamkan, Han Sol akan datang ke Malaysia bagi melakukan pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya.

Polis dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya memberi masa dua minggu kepada ahli keluarga Jong-nam bagi menuntut mayat berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di klia2 mendapati, polis tidak meletakkan anggota mereka di luar balai ketibaan berkenaan termasuk di ruang ketibaan orang kenamaan.

Sementara itu, berlaku sedikit kekalutan dalam kalangan petugas media apabila masing-masing berlari menuju ke ruang lobi lapangan terbang selepas salah seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat Han Sol.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat mengesahkan kelibat lelaki bertopi serta memakai topeng muka itu.

Setakat jam 10 malam tadi, petugas media sudah mula beredar meninggalkan Balai Ketibaan klia2 selepas kecewa dengan penantian sejak petang tadi.

Namun, kira-kira 30 petugas media kebanyakannya dari agensi berita antarabangsa terutama Jepun, China dan Korea Selatan masih menunggu di balai ketibaan berkenaan.


Kemunculan sekurang-kurangnya 20 pegawai dan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman yang menaiki empat kenderaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur 1.40 pagi menarik perhatian media yang masih setia menunggu perkembangan terkini kes bunuh Kim Jong-nam.

Pasukan khas berkenaan dilihat mengawal sekitar IPFN dengan bersenjata lengkap dan dibantu pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Turut kelihatan berada di IPFN ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Sehingga jam 2.30 pagi, anak Jong-nam, Kim Han-sol,21 yang dikatakan akan datang ke negara ini untuk pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya masih belum kelihatan di IPFN.

Terdahulu, lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang tadi bagi menunggu kehadiran Han-sol.
Share:

DUTA BESAR MALAYSIA DI KOREA UTARA DI PANGGIL PULANG


Malaysia hari ini memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya  berhubung kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Kementerian Luar mendedahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya Kang Chol telah bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nushirwan Zainal Abidin kira-kira sejam 30 minit, berikutan tuduhan yang dinyatakan beliau pada satu sidang akhbar Jumaat lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra itu, Kang Chol dalam sidang akhbar berkenaan telah memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai "sesuatu untuk disembunyikan" dan mendakwa Malaysia "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar" dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari lalu. 

"Kerajaan Malaysia menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar Korea tersebut sebagai tidak berasas.

"Kerajaan Malaysia mengambil serius atas segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi negara," katanya. 

Pada 13 Februari lalu, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ.  

Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menekankan bahawa memandangkan kematian itu berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian. 

Ia berkata penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang  ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

Kedutaan Besar Korea Utara turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat perlu dijalankan, kata Wisma Putra.

"Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan tentang perkembangan yang berkaitan dengan penyiasatan tersebut dan juga proses yang terlibat di bawah undang-undang Malaysia," katanya. 

Wisma Putra berkata kedutaan itu juga telah dimaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada pihak waris mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada di Malaysia.

Sebelum itu, kenderaan rasmi Kang Chol kelihatan memasuki perkarangan  Wisma Putra pada 9.55 pagi dan meninggalkan tempat itu pada 11.30. 

Hampir 50 wakil media tempatan dan asing mula berkumpul di pintu masuk Wisma Putra seawal 7 pagi selepas berita mengenai Kang Chol dipanggil  berjumpa dengan wakil Kementerian Luar hari ini. 

Wakil media yang menunggu di luar cuba mendapatkan reaksi Kang Chol di pintu keluar dengan mengetuk cermin dan pintu kenderaan namun kenderaan rasmi kedutaan itu tidak berhenti. - Bernama
Share:

7 Februari 2017

JAMAL BAJU MERAH TAK PERNAH SERIK BIKIN ONAR DI NEGERI SELANGOR


Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mengumumkan kemungkinan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar serta semua jawatan dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang disandang beliau.

Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) itu membuat pengumuman selepas dibebaskan bersama sembilan tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada kira-kira pukul 7 malam ini.

Video pengumuman kemungkinan peletakan jawatan beliau berdurasi 1.21 minit turut dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

“Hari ini saya ingin mengumumkan berkemungkinan akan meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian, Pengerusi BN Parlimen Sg Besar, Pengerusi NGO Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia.

“Bagi saya jawatan yang dipegang untuk masyarakat ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya sebaliknya selepas ni saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti taukeh-taukeh judi yang lain kerana usahakan judi haram ini mempunyai kekebalan, keistimewaan berbanding jawatan-jawatan sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

Khamis lepas, Jamal ditahan di kediamannya dan ditahan reman lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Pada Disember tahun lepas, Jamal bersama beberapa yang lain telah 'menyerbu' beberapa premis berkenaan di Ampang, Selangor.
Share:

6 Disember 2016

PERDANA MENTERI ITALI PULA UMUM LETAK JAWATAN


ITALI : Perdana Menteri Itali Matteo Renzi pada Isnin mengumumlkan dirinya akan meletakkan jawatan selepas kalah referendum mengenai reformasi perlembagaan.

"Pengalaman saya dalam kerajaan berakhir di sini,” Renzi memberitahu dalam sidang media selepas perubahan yang cuba dibawakannya menerima undian penolakan yang jelas.

Kempen undian penolakan yang diketuai Five Star Movement, telah memenangi referendum itu dengan 59.5 peratus.

Hampir 70 peratus rakyat Itali yang layak mengundi pada Ahad telah membuang undi mereka, dan ia dilihat sebagai maklum balas undian yang tinggi sekali gus menunjukkan betapa besar isu yang terkait dengannya.

Renzi berkata, beliau akan menemui Presiden Sergio Mattarella pada Isnin untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya selepas mesyuarat terakhir Kabinet.

Mattarella kemudian akan menentukan pelatikan kerajaan baharu, atau jika tidak, mengarahkan pilihan raya awal.
Share:

PERDANA MENTERI NEW ZEALAND LETAK JAWATAN MAHU FOKUS PADA KELUARGA


NEW ZEALAND : Perdana Menteri New Zealand, John Key, meletakkan jawatan pada Isnin dengan menyatakan sudah sampai masa berbuat demikian selepas berkhidmat selama lapan tahun.

Dalam pengumuman yang mengejutkan itu, beliau menyatakan bahawa keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukannya.

“Ini merupakan keputusan paling sukar dan saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan seterusnya.

“Menjadi pemimpin bagi parti dan negara adalah pengalaman yang menakjubkan,” ujarnya dalam sidang media, sambal menambah dirinya tidak pernah menjangka menjadikan politik sebagai kerjaya.

Key, yang merupakan bekas pedagang mata wang Merrill Lynch, baru saja meraikan ulang tahun kelapan sebagai perdana menteri dan yang tahun ke-10 sebagai pemimpin Parti Nasional.

Parti tersebut akan bermesyuarat pada minggu hadapan untuk melantik penggantinya.

Timbalan Perdana Menteri Bill English disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi jawatan tertinggi pentadbiran itu.

Key berkata, keputusan pengunduran itu dibuat antara lain untuk kembali menghabiskan masa berkualiti bersama isteri dan anak-anaknya.

“Saya telah mnelihat ramai pemimpin yang dalam kedudukan ini gagal untuk mengambil langkah yang serupa. Saya amat memahaminya. Jawatan ini sangat sukar untuk ditinggalkan.

“Namun bagi saya dan Parti Nasional, ia adalah masa yang sesuai. Keanggotaan parti adalah tinggi dan parti juga mempunyai dana yang bagus,” ujarnya.

Key terlibat dalam politik dengan memasuki Parlimen pada tahun 2002 dan menjadi nakhoda Parti Nasional empat tahun kemudian. Pada 2008, beliau telah menafikan pentadbiran Parti Buruh dan mengambil alih jawatan tertinggi negara daripada Helen Clark.

Antara pencapaiannya adalah menstabilkan ekonomi selepas krisis kewangan global tanpa melakukan pemotongan perbelanjaan yang drastik.
Share:

24 November 2016

JAMAL BERJANJI AKAN TERUS BUAT ONAR DI SELANGOR


Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini melancarkan Bersih 7 Selamatkan Selangor sebagai gerakan menyelamatkan negeri tersebut daripada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Mohamed Azmin Ali yang didakwa 'tidak selamat.'

Kata Jamal, Bersih 7 akan menjelajah ke 700 lokasi sekitar Selangor dalam masa empat bulan dengan Sekincan menjadi lokasi pertama jelajah tersebut yang akan bermula Sabtu ini dan berakhir April tahun depan.

Menjelaskan pemilihan nama program tersebut, Jamal berkata ia sebagai menunjukkan definisi sebenar 'bersih' itu kepada rakyat, terutamanya di Selangor susulan perhimpunan Bersih 5 tempoh hari yang disifatkannya gagal.

"Ia berdasarkan tujuh perkara yang kami tuntut dan kita ambil nama bersih (Bersih 5) yang telah gagal supaya nama bersih ini benar-benar 'bersih'.

"Kita nak bersihkan kerajaan Selangor yang kotor, korup, menipu dan penyamun ini," katanya dalam sidang media pelancaran program tersebut di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Bersih 7 menuntut kerajaan negeri yang telus, bersih dan berintegriti; manifesto dan janji pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, keperluan air bersih, penyelewengan wang rakyat, pemilikan rumah mampu milik, penghapusan kronisme dan kerajaan 'carca marba'.

Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar memaklumkan bahawa beliau yakin program itu akan berjaya mencapai matlamatnya apabila berakhir menjelang PRU ke-14 sekaligus menyaksikan kerajaan Selangor kembali kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya percaya lepas tu rakyat Selangor akan percaya tentang kewibawaan kerajaan BN dan penipuan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Jamal berkata beliau tidak kisah dipanggil kotor dan busuk.

"Tetapi orang sebelah saya kata saya sentiasa wangi, rakan-rakan media selalu rapat dengan saya, mereka tak pernah merungut.

"Saya sebulan pun tak mandi tetapi kerana jiwa, hati saya ini bersih dan murni, segala kekotoran yang ada pada luaran saya akan dibersihkan daripada dalaman saya," ujarnya.

Jamal dibebaskan dari tahanan reman pada Selasa dari ibu pejabat polis Ampang Jaya dengan jaminan polis.

Dia ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang, Ahad lepas.
Jamal ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu di sebuah hotel  di ibu negara.

Sejurus dibebaskan Jamal mengumumkan akan menggerakkan program 'Bersih 7' dengan matlamat menyelamatkan negeri Selangor daripada kerajaan yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Share:

7 September 2016

OBAMA TAK JADI JUMPA PRESIDEN FILIPINA KERANA DIGELAR ANAK HARAM?


Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyuarakan rasa kesal melabelkan Barack Obama sebagai “anak haram” yang menyebabkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu membatalkan hasrat untuk me­nemuinya.

AS dan Filipina dijadualkan mengadakan rundingan dua hala ketika Obama dan Duterte menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di ibu negara Laos, Vientiane semalam.

Duterte melancarkan perang ke atas dadah yang meragut nyawa kira-kira 2,400 suspek pengedar dan penagih dadah sejak beliau mengambil alih pemerintahan dua bulan lalu.

Sebelum menaiki pe­nerbangan ke Vientiane kelmarin, Duterte memberitahu, adalah kurang sopan jika Obama menegurnya tentang isu hak asasi manusia apabila mereka bertemu di sidang berkenaan.

Malah, Duterte memberitahu wartawan, beliau akan menyumpah Obama dalam forum itu selain turut menggunakan perkataan ‘putang ina’ yang bermaksud anak haram dalam bahasa tempatan sekiranya pemimpin AS itu berani mengkritiknya tentang isu tersebut.

Bahasa kesat yang dilontarkan itu menyebabkan Washington memba­talkan mesyuarat dua hala Obama dan Duterte yang dijadualkan sebelum ini.

Terdahulu, Manila menyuarakan kekesalan berhubung isu tersebut dalam satu kenyataan.

Presiden Duterte menjelaskan bahawa beliau melontarkan kata-kata kesat itu kerana tidak mahu Obama mengkritiknya berhubung perang dadah di Filipina, kata kerajaan Filipina dalam satu ke­nyataan.

“Beliau kesal kerana kenyataan yang dibuat kepada media itu menimbulkan banyak kontroversi,” tambah kenyataan sama.

White House dalam pada itu berkata, Obama tidak akan membuat teguran mengenai pencabulan hak asasi manusia di Fi­lipina, sekutu AS di Asia Tenggara semasa perjumpaan dengan Duterte.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada rundingan dua hala Manila -Washington itu akan dijadualkan semula.

“Obama sebaliknya akan mengadakan rundingan dengan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye semasa sidang kemuncak itu,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Ned Price.

Agenda utama pertemuan mereka adalah membincangkan mengenai tindakan Korea Utara melancarkan tiga ujian peluru berpandu kelmarin. – Reuters

Share:

2 Ogos 2016

BOLEH KENCING DI MUKA DONALD TRUMP?

Sebuah bar di Dublin menghias tempat buang air kecilnya dengan potret calon presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump.

Para pekerja di bar Adelphi berkata, mereka belum pernah menerima sebarang aduan mengenai tandas baharu tersebut, namun akan menukarnya sekiranya Trump sah menjadi Presiden AS pada November nanti, lapor portal berita The Telegraph.

“Jika dia dilantik oleh rakyat Amerika nanti, kami akan menukar latar itu dengan segera sebagai menghormati pilihan rakyat negara itu.

“Saya cuma merasakan ini adalah salah satu cara bagi sesetengah orang untuk menzahirkan perasaan mereka terhadap pandangan Trump, selain menjadikan kunjungan mereka ke tandas suatu yang lebih menghiburkan,” ujar pengurus bar berkenaan, Tony McCabe.

Dalam akaun Facebook bar itu, para pekerja Adelphi berjenaka tentang betapa popular tempat buang air kecil itu dalam kalangan pengunjung lelaki, selain menerima cadangan untuk membuat sesuatu di tandas wanita.

Ini bukan kali pertama imej Donald Trump digunakan dalan tandas. Di China, wajahnya digunakan oleh sebuah syarikat untuk dicetak pada tisu tandas.

Di media sosial, pengguna bar berkenaan turut memuat naik gambar tersebut:


Share:

15 Julai 2016

KEANGKUHAN CHINA MAMPU UNDANG PEPERANGAN DI ASIA


CHINA semalam memberi amaran “konflik dan konfrontasi” di Laut China Selatan selepas Beijing menolak keputusan Mahkamah Tetap Arbitrasi bahawa tuntutannya ke atas hampir keseluruhan perairan itu tiada asas undang-undang.

Keputusan tegas mahkamah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, Belanda itu membekalkan senjata diplomatik ampuh kepada Filipina. Manila memfailkan kes itu bagi menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan dengan Beijing yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

Keputusan mahkamah timbang tara itu kelmarin bagaimanapun menimbulkan kemarahan Beijing. Kementerian luarnya segera mengisytiharkan bahawa penghakiman itu tidak sah. Beijing juga menyiarkan kertas putih semalam untuk menegaskan bahawa China mempunyai asas dan hak sejarah bagi tuntutan kedaulatan di Laut China Selatan.

Di Washington pula, duta China ke Amerika Syarikat (AS) memberikan kenyataan ringkas dan lantang berhubung keputusan mahkamah di The Hague.

“Keputusan ini menjejaskan atau melemahkan semangat negara-negara untuk terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sesama mereka. Ia jelas akan meningkatkan konflik, malah mencetuskan konfrontasi,” kata duta itu, Cui Tiankai.

Sejurus selepas itu, Timbalan Menteri Luar China, Liu Zhenmin berkata, Beijing mempunyai hak untuk mengisytiharkan zon identifikasi pertahanan udara di Laut China Selatan. China akan mewajibkan pesawat awam melaporkan identitinya kepada pusat kawalan tentera semasa melalui laut itu.

“Sama ada Beijing akan mewujudkan zon ini bergantung kepada tahap ancaman yang kami terima.

“Jangan jadikan Laut China Selatan tempat tercetusnya perang,” kata Zhenmin kepada pemberita.

China menggunakan alasan bahawa negara itu yang pertama menemui, menamakan dan meneroka Laut China Selatan. Beijing menggariskan tuntutannya ke atas hampir keseluruhan perairan itu berdasarkan peta had sempadan mengandungi sembilan garisan putus-putus yang muncul pada tahun 1940-an.

Tuntutan Beijing bertindih dengan Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Selain menyatakan hak sejarah China tiada asas undang-undang, Mahkamah Tetap Arbitrasi juga memutuskan pembinaan pulau tiruan dan halangan terhadap nelayan Filipina di Beting Scarborough adalah tidak sah.

Sementara itu, AS menekankan kelmarin bahawa China perlu menerima keputusan tersebut kerana telah menandatangani Konvensyen Undang-undang Laut PBB.

“Seperti termaktub di bawah konvensyen ini, keputusan mahkamah arbitrasi perlu dipatuhi China dan Filipina,” kata jurucakap Jabatan Negara, John Kirby kepada wartawan di Washington.

China menggunakan kekerasan tentera untuk merampas Kepulauan Paracel daripada Vietnam Selatan pada 1974 dan Terumbu Jonhson daripada Vietnam pada 1988.

TAIPEI – Taiwan menghantar sebuah kapal perangnya ke perairan tuntutan bertindih di Laut China Selatan semalam, sehari selepas Mahkamah Tetap Arbitrasi Antarabangsa di The Hague Belanda memutuskan formasi di kawasan itu sebagai terumbu dan bukan pulau.

“Misi hari ini adalah untuk menunjukkan keazaman Taiwan dalam mempertahankan kepentingannya,” kata Presiden Tai Ing-wen kepada kru kapal itu sambil menambah, keputusan mahkamah berkenaan menjejaskan hak Taiwan.

Kapal perang itu bergerak ke Pulau Taiping, formasi semula jadi terbesar di Kepulauan Spratly, sekitar 300 kilometer (km) ke barat Filipina dan 1,500km dari tenggara Taiwan

Kawasan itu dituntut oleh China, Taiwan dan Filipina.

Kepulauan Spratly berada dalam zon ekonomi eksklusif pada jarak 370km dari pantai Flipina. Status itu bermakna China dan Taiwan hanya boleh mendakwa zon itu wilayah masing-masing sekiranya formasi tersebut merupakan pulau.

Mahkamah Arbitrasi Tetap kelmarin bagaimanapun memutuskan di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa semua formasi di Kepulauan Spratly secara adalah terumbu atau batu dan bukan pulau sebenar.

Taiwan masih bertegas Taiping merupakan sebuah pulau dan sebahagian daripada wilayahnya. Malah, Taipei telah membina sebuah landasan sepanjang 1.4 kilometer di atas formasi itu.


Share:

22 Ogos 2015

TMJ TEMPLAK PEMIMPIN POLITIK YANG CUBA `BODEK` SULTAN JOHOR


JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan kepada semua pemimpin agar tidak menyembah nasihat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar demi kepentingan peribadi.

Tunku Ismail berkata, keutamaan beliau adalah kedaulatan dan kesejahteraan negeri serta rakyat Johor dan beliau hanya menyokong pemimpin yang berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti, ketelusan dan kehormatan.

"Jangan lupa saya adalah waris takhta kerajaan Johor, dan saya adalah suara terakhir yang akan sampai kepada telinga dan perhatian Sultan Johor. Taat setia saya adalah kepada ayahnda saya, Sultan Johor.

"Saya tidak memihak mana-mana parti politik tetapi hanya menyokong pemimpin yang berkhidmat penuh integriti, ketelusan dan kehormatan.

"Baru-baru ini kelihatan ramai yang mendampingi Sultan Johor. Jangan sesekali ada yang cuba menyembah nasihat demi kepentingan peribadi," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook rasmi Johor Shouthern Tigers.

Tunku Ismail berkata, beliau sentiasa teguh di belakang Sultan Johor serta rakyat Johor dan sentiasa ikhlas menyembah nasihat kepada Sultan Ibrahim tanpa mempunyai sebarang kepentingan peribadi.

"Apabila saya menyembah nasihat kepada Tuanku ianya adalah ikhlas kerana saya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Walau apa yang terjadi air yang dicincang tidak akan putus, tiada apa yang boleh menghancurkan kasih sayang saya kepada ayahnda.

"Saya bukan hendak menunding jari kepada mana-mana pihak atau mengeruhkan keadaan, saya hanya menegaskan pendirian saya yang sentiasa teguh di belakang Sultan Johor dan rakyat Johor. Semoga Johor sentiasa jadi Johor," katanya.
Share:

5 Ogos 2015

POPULARITI NAJIB RAZAK SEMAKIN MEROSOT


Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin nombor satu negara semakin merosot.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ia bermula selepas kemelut 1MDB dan rombakan Kabinet yang menggugurkan bekas Timbalannya, Tan Sri Muhiyddin Yassin.

Orang Umno akan kekal Umno, tetapi protes mereka terhadap tindakan Najib dilihat secara ilmiah akan beri kesan besar kepada pola persepsi akar umbi dan mengurangkan pengaruh positif Umno dalam masyarakat.

“Umno juga berada di tahap dilema protes dalam senyap atau protes sambil senyum. Walaupun Najib sebagai presiden parti boleh menamatkan hayat kerjaya seseorang ahli politik di bawahnya tetapi hayat cemuhan rakyat dan minda pengundi akan kekal berterusan,” katanya.
Share:

19 Mei 2015

NAJIB DEDAH KELEMAHAN UMNO SEJAK ZAMAN TUN M


Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sejarah hitam Umno ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 hanya akan menjejaskan imej parti itu sendiri.

Ahli Parlimen Pulai, yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pendedahan itu juga tidak membantu menyelesaikan persoalan yang ditimbulkan Dr Mahathir.

Perbuatan membuka sejarah dan pekung di dada ini hanya akan menjejaskan (imej) Umno.

“Sebaliknya Najib perlu menjawab setiap soalan yang dibangkitkan Dr Mahathir, kerana kesungguhan bekas perdana menteri itu akan menimbulkan keraguan dan tanda tanya dalam kalangan segelintir rakyat,” katanya.

Nur Jazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, siasatan PAC terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diharap dapat membantu menjawab persoalan Dr Mahathir.

Ahad lalu, Najib, ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri berkata, pada 1987 Dr Mahathir dicabar bagi jawatan Presiden Umno dan beliau masih mahu terus memimpin walaupun menang tipis.

Petikan dari Sinar Harian
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI