Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label KIM JONG NAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KIM JONG NAM. Papar semua catatan

14 Mac 2017

DUTA TETAP KOREA UTARA DAKWA ITU BUKAN MAYAT KIM JONG NAM


Duta Tetap Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menafikan lelaki yang dibunuh di Malaysia adalah Kim Jong Nam iaitu abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Kim In Ryong mendakwa bahawa kes pembunuhan berkenaan dirancang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bagi menjatuhkan imej Korea Utara.

Memetik laporan portal Xinhua, In Ryong membuat dakwaan berkenaan ketika menjawab soalan mengenai kes pembunuhan Kim Jong Nam dalam satu sidang akhbar di PBB.

Ujar beliau, kes pembunuhan itu adalah merupakan sebahagian rancangan AS bagi mencetuskan perang nuklear ke atas Korea Utara.

Dalam masa yang sama, In Ryong mempersoalkan mengenai senjata kimia yang digunakan dalam pembunuhan terbabit yang mana katanya ia merupakan senjata yang diharamkan dan hanya AS yang menyimpan bekalan senjata berkenaan.

Bagaimanapun,  Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan berkenaan.
Share:

3 Mac 2017

RI JONG-CHOL AKAN DIUSIR KELUAR DARI MALAYSIA


SEPANG : Keluarga ahli kimia Korea Utara Ri Jong-chol, yang ditahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mungkin sedang menyembunyikan diri.

Ini susulan penangkapan Jong-chol oleh polis pada 17 Feb bagi membantu penyiasatan mengenai pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), empat hari sebelum itu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun itu berakhir esok. Tinjauan media di sebuah unit kondominium di Jalan Kuchai Lama, tempat tinggal terakhir keluarga itu, mendapati ia berkunci.

Menurut seorang jiran, isteri suspek dalam kes pembunuhan itu serta dua anak mereka, meninggalkan unit berkenaan secara tergesa-gesa beberapa jam selepas Jong-chol, juga seorang pakat IT, ditangkap.

"Saya tidak tahu mereka (keluarga Jong-chol) pergi ke mana. Isteri dan anak-anak Jong-chol pergi dengan tergesa-gesa. Kami masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.

Media yang membuat tinjauan ke unit kediaman keluarga itu dan cuba mendapatkan maklumat tempat mereka mungkin berada, diiringi dua pengawal keselamatan, yang memberi amaran supaya tidak merakam sebarang gambar atau peralatan kamera akan dirampas.

Difahamkan bahawa penduduk kondominium itu meminta kawalan keselamatan dipertingkatkan berikutan penangkapan Jong-chol.

Dua suspek lain, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, rakyat Vietnam, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang semalam, berhubung pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara yang hidup tersisih itu.

Menurut laporan, Jong-nam berada di klia2 pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan cecair toksik, yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf 'VX'.

Jong-nam, yang dilaporkan meminta pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang selepas itu, segera diberi bantuan untuk dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sana.

Mangsa tiba di Malaysia pada 6 Feb.

Sementara itu Korea Utara dakwa serangan jantung kemungkinan jadi punca kematian warganya

Korea Utara pada Khamis berkata terdapat petunjuk jelas yang serangan jantung berkemungkinan menjadi penyebab kepada kematian warga negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Malaysia sebelum ini berkata lelaki yang dikaitkan dengan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh dengan menggunakan agen saraf beracun VX. Sehingga kini Pyongyang menafikan lelaki terbabit adalah Kim Jong Nam.

Bekas timbalan duta Korea Utara ke PBB, Ri Ton Il, berkata sampel autopsi dan dari bahan beracun itu sewajarnya di hantar ke Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague untuk diuji.

“Sekiranya benar bahan itu telah digunakan, ia seharusnya dihantar ke pejabat OPCW,” katanya kepada wartawan bagi menjawab persoalan kemungkinan penggunaan agen saraf VX dalam pembunuhan itu.
Share:

26 Februari 2017

KAUNSELOR KOREA UTARA NAIK ANGIN DENGAN WARTAWAN


Kaunselor di Kedutaan Korea Utara di sini, Kim Yu Song mengherdik pengamal media yang menyerbu kereta Mercedes Benz berwarna biru gelap yang dipandunya sehingga cermin sisi kereta itu tertanggal.

Beliau ketika itu sedang mengundurkan kenderaannya dari kawasan kedutaan kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

Yu-song lalu keluar daripada keretanya bagi membetulkan cermin itu di sebelah bahagian pemandu serta meninggikan suaranya kepada pihak media.

"Siapa pecahkan cermin sisi saya. Keluar dari sini," jeritnya dalam bahasa Inggeris.

Para pengamal media berhimpun di kawasan kedutaan bagi mendapat maklumat terkini mengenai kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini pada 6 Feb dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Mayatnya kemudian dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. 
Share:

25 Februari 2017

KETAHUI BETAPA BAHAYANYA CECAIR VX PADA MANUSIA SEJAGAT


KUALA LUMPUR : Jabatan Kimia Malaysia telah mengenal pasti cecair yang digunakan sebagai senjata untuk membunuh rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam.

Cecair itu yang juga dipanggil Agen Saraf VX atau 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate' merupakan bahan neuro-toksin serta dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Pembunuhan yang berlaku ke atas Jong-nam dikatakan kes yang kedua melibatkan penggunaan Agen Saraf VX di seluruh dunia.

Mungkin ramai yang tidak begitu tahu tentang cecair kimia merbahaya ini.

Apa sebenarnya VX?

VX tidak wujud secara semula jadi tetapi merupakan hasil buatan manusia yang digunakan khusus sebagai senjata kimia.

Ia dicipta oleh ahli kimia, Ranajit Ghosh pada 1950-an sebagai racun perosak dan salah satu daripada produk yang menggunakan bahan ini telah pun dipasarkan di bawah jenama Amiton sebelum ia dipanggil semula kerana terlalu toksik.

Sebatian itu kemudiannya dibangunkan semula oleh Angkatan Tentera British pada tahun 1952 di Porton Down, Wiltshire.

Di sana, VX dilahirkan dan dikenali dengan nama Agen Saraf VX.

Nama penuh bagi VX adalah 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate' dan sifatnya berminyak.

Di mana VX digunakan sebelum ini?

Satu-satunya penggunaan lain direkodkan adalah dalam kes pembunuhan kultus Jepun, Aum Shinrikyo pada Disember 1994.

Pembunuhan itu dilakukan oleh kumpulan yang sama bertanggungjawab ke atas serangan gas kereta bawah tanah Sarin, Tokyo yang mengorbankan 12 nyawa, mencederakan 50 individu dan memberi kesan ke atas ribuan mangsa yang lain.

VX juga dipercayai digunakan dalam peperangan, termasuk dalam Perang Iran-Iraq pada 1980-an.

Mengapa VX begitu merbahaya?

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat menyatakan bahawa VX bertindak balas secara perlahan-lahan dan tidak berbau.

VX merupakan senjata kimia yang memberi kesan paling ketara apabila ia menyentuh kulit manusia.

Untuk membunuh seseorang, dos yang diperlukan hanyalah sebanyak 10mg.

Agen Saraf VX ini berfungsi untuk menghentikan seluruh kelenjar dan otot, sekaligus menyebabkan mangsa keletihan dan mengalami kegagalan dalam fungsi pernafasan.

Simptom keracunan VX termasuk sesak nafas dan sesak dada, yang boleh dikelirukan dengan serangan jantung.

Sekiranya seseorang itu terdedah dengan sebahagian besar dos VX, ia boleh menyebabkan seseorang mengalami sawan, tidak sedar, lumpuh dan kegagalan pernafasan yang boleh berakhir dengan kematian.

Bila VX membunuh mangsanya?

Kesan VX adalah berterusan dan menimbulkan ancaman jangka panjang.

Ia boleh bertahan berhari-hari lamanya (selepas VX bersentuh dan menyerap pada kulit) dan boleh bertahan dalam keadaan serta cuaca sejuk.

Kesan VX akan terurai perlahan-lahan dalam badan, yang membawa kepada kesan kumulatif jika mangsa berulang kali terdedah kepadanya.

Keracunan oleh VX bergantung kepada pendedahan, tetapi tanda-tanda akan muncul dalam beberapa saat selepas terdedah kepada VX dalam bentuk wap, atau dalam beberapa minit sehingga 18 jam sekiranya mangsa terdedah dengan VX dalam bentuk cecair.

Siapa yang mempunyai stok simpanan VX?

Selepas membangunkan VX, United Kingdom menghentikan penyelidikannya tentang peperangan kimia dan telah menukarkan teknologi VX dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan maklumat mengenai senjata termonuklear pada tahun 1958.

AS dikatakan mempunyai simpanan VX besar-besaran di Newport Chemical Depot pada tahun 1961, sebelum bersetuju untuk memusnahkan simpanan stoknya untuk meratifikasi perjanjian PBB dalam Konvensyen Senjata Kimia Antarabangsa yang ditandatangani pada tahun 1993.

Malah sejak 1969, AS telah mula melupuskan simpanan VX dengan membakar,meneutralkan kimia dan menenggelamkan kapal dipenuhi bahan kimia itu di tengah lautan.

AS bagaimanapun masih memiliki baki 523 tan VX dan gas sarin kerana proses pemusnahan belum selesai.

Negara-negara lain yang dilaporkan memiliki simpanan VX termasuk Rusia dan Syria.
Share:

21 Februari 2017

ANAK KIM JONG NAM TIDAK MENDARAT DI KLIA2, STAFOC BERSIAP SIAGA!


Lebih 100 petugas media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak 5 petang tadi hampa apabila anak lelaki Kim Jong-nam, Kim Han Sol, 21, tidak muncul di lapangan terbang berkenaan.

Menurut sumber, Han Sol dijangka tiba di klia2 dari Macau dengan menaiki pesawat AirAsia AK8321.

Bagaimanapun, kelibat Han Sol tidak kelihatan biarpun pesawat yang membawanya selamat mendarat di klia2 kira-kira jam 7.33 malam tadi.

Difahamkan, Han Sol akan datang ke Malaysia bagi melakukan pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya.

Polis dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pihaknya memberi masa dua minggu kepada ahli keluarga Jong-nam bagi menuntut mayat berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di klia2 mendapati, polis tidak meletakkan anggota mereka di luar balai ketibaan berkenaan termasuk di ruang ketibaan orang kenamaan.

Sementara itu, berlaku sedikit kekalutan dalam kalangan petugas media apabila masing-masing berlari menuju ke ruang lobi lapangan terbang selepas salah seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat Han Sol.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat mengesahkan kelibat lelaki bertopi serta memakai topeng muka itu.

Setakat jam 10 malam tadi, petugas media sudah mula beredar meninggalkan Balai Ketibaan klia2 selepas kecewa dengan penantian sejak petang tadi.

Namun, kira-kira 30 petugas media kebanyakannya dari agensi berita antarabangsa terutama Jepun, China dan Korea Selatan masih menunggu di balai ketibaan berkenaan.


Kemunculan sekurang-kurangnya 20 pegawai dan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman yang menaiki empat kenderaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur 1.40 pagi menarik perhatian media yang masih setia menunggu perkembangan terkini kes bunuh Kim Jong-nam.

Pasukan khas berkenaan dilihat mengawal sekitar IPFN dengan bersenjata lengkap dan dibantu pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Turut kelihatan berada di IPFN ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Sehingga jam 2.30 pagi, anak Jong-nam, Kim Han-sol,21 yang dikatakan akan datang ke negara ini untuk pengecaman mayat dan menyerahkan sampel DNA bagi proses menuntut mayat mendiang bapanya masih belum kelihatan di IPFN.

Terdahulu, lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak 5 petang tadi bagi menunggu kehadiran Han-sol.
Share:

DUTA BESAR MALAYSIA DI KOREA UTARA DI PANGGIL PULANG


Malaysia hari ini memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya  berhubung kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Kementerian Luar mendedahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya Kang Chol telah bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nushirwan Zainal Abidin kira-kira sejam 30 minit, berikutan tuduhan yang dinyatakan beliau pada satu sidang akhbar Jumaat lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra itu, Kang Chol dalam sidang akhbar berkenaan telah memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai "sesuatu untuk disembunyikan" dan mendakwa Malaysia "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar" dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari lalu. 

"Kerajaan Malaysia menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar Korea tersebut sebagai tidak berasas.

"Kerajaan Malaysia mengambil serius atas segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi negara," katanya. 

Pada 13 Februari lalu, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ.  

Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menekankan bahawa memandangkan kematian itu berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian. 

Ia berkata penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang  ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

Kedutaan Besar Korea Utara turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat perlu dijalankan, kata Wisma Putra.

"Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan tentang perkembangan yang berkaitan dengan penyiasatan tersebut dan juga proses yang terlibat di bawah undang-undang Malaysia," katanya. 

Wisma Putra berkata kedutaan itu juga telah dimaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada pihak waris mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada di Malaysia.

Sebelum itu, kenderaan rasmi Kang Chol kelihatan memasuki perkarangan  Wisma Putra pada 9.55 pagi dan meninggalkan tempat itu pada 11.30. 

Hampir 50 wakil media tempatan dan asing mula berkumpul di pintu masuk Wisma Putra seawal 7 pagi selepas berita mengenai Kang Chol dipanggil  berjumpa dengan wakil Kementerian Luar hari ini. 

Wakil media yang menunggu di luar cuba mendapatkan reaksi Kang Chol di pintu keluar dengan mengetuk cermin dan pintu kenderaan namun kenderaan rasmi kedutaan itu tidak berhenti. - Bernama
Share:

20 Februari 2017

PENGAKUAN MENGEJUT BEKAS PERISIK KOREA UTARA BERKENAAN PEMBUNUHAN KIM JONG NAM


Bekas ejen perisik wanita Korea Utara Kim Hyon Hui berkata suspek pembunuhan Kim Jong Nam hanya amatur, lapor akhbar Mainachi pada Sabtu.

Abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, itu maut dalam satu plot pembunuhan pada Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Polis Malaysia pada Sabtu telah menahan seorang lelaki Korea Utara yang disyaki terlibat dalam perancangan pembunuhan tersebut, selepas menahan dua suspek wanita serta seorang lelaki lain.

Kim Hyon Hui, yang mengebom pesawat Korean Air pada 1987 selepas menjalani latihan sebagai ejen Korea Utara, memberitahu akhbar Jepun dalam sebuah temu bual bertulis bahawa suspek-suspek wanita itu dilihat tidak mempunyai sebarang latihan sebagai perisik.

“Saya berasa ragu. Mereka seperti tidak pernah menjalani latihan psikologi dan fizikal yang ketat atau berlatih di Korea Utara,” ujar Kim Hyon Hui.

Menurut laporan media Malaysia, wanita-wanita itu memberitahu polis bahawa mereka telah diperdaya untuk membuat sesuatu kepada Kim Jong Nam, tanpa mengetahui ia membawa kematian.

“Jika begitu, mereka tentu tidak perlu melarikan diri pada awalnya,” kata Kim Hyon Hui.

Dia turut menekankan, kes tersebut ada kaitan dengan Korea Utara kerana tarikh pembunuhan adalah hampir dengan 16 Februari, iaitu tarikh hari lahir mendiang Kim Jong Il, iaitu bapa kepada Jong Nam dan Jong Un.

Sebelum ini, anak saudara Kim Jong Il iaitu Lee Han Young telah ditembak mati pada 15 Februari 1997.

Lee Han Young yang hidup dalam buangan telah ditembak mati di Korea Selatan oleh dua penyerang yang tidak dapat dijejaki namun dipercayai ejen-ejen Korea Utara.

Kim Hyon Hui dan seorang lagi perisik Korea Utara pernah memasang bom dalam pesawat Korean Air pada 1987, setahun sebelum Korea Selatan menjadi tuan rumah temasya Olimpik. Kesemua 115 anak kapal dan penumpang terbunuh apabila pesawat itu meletup di udara di ruang udara Teluk Bengal.

Hyon Hui telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Seoul namun mendapat pengampunan presiden pada tahun 1990. Dia mendapat pengecualian itu antara lain atas alasan simpati bahawa dirinya telah dipergunakan sebagai orang suruhan pentadbiran Korea Utara.

Sejak bebas dari penjara, Kim Hyon Hui menjalani kehidupan yang terpencil dari pengetahuan umum.


Empat suspek pembunuhan Kim Jong Nam telah meninggalkan negara ini - PDRM

Tujuh lelaki warga Korea Utara yang disyaki perancang utama kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Jong Nam kini masih bebas dengan keempat-empat suspek dipercayai telah meninggalkan negara ini pada hari kejadian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, lima suspek tersebut dikenalpasti sebagai; Ri Ji Hyon, 33; Hong Song Hac, 34; O Jong Gil, 55; Ri Jae Nam, 57; dan Ri Ji U, 30; yang turut dikenali sebagai James.

Empat dari suspek berkenaan, Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Hong Song Hac dan Ri Jae Nam telah meninggalkan negara dengan laluan udara ke sebuah negara jiran yang tidak dinyatakan.


“Saya dapat sahkan hari ini yang suspek telah meninggalkan negara ini pada hari kejadian. Keempat-empat mereka memegang pasport biasa dan bukannya pasport diplomat,” kata Noor Rashid dalam satu sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.


Share:

17 Februari 2017

REPUBLIK INDONESIA HORMATI UNDANG-UNDANG MALAYSIA


INDONESIA : Polis Indonesia tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap wanita pemegang pasport negara itu yang ditahan berkaitan kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis republik itu Boy Rafli Amar berkata Indonesia menghormati proses undang-undang di Malaysia dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

Kementerian Luar mengesahkan wanita yang ditahan itu, dikenali sebagai Siti Aishah, adalah rakyat Indonesia.

"Dari aspek perundangan, selagi tidak ada permohonan bantuan, kami menghormati proses hukum yang dijalankan terhadap warga negara kita di negara lain," katanya kepada pemberita seperti yang dipetik media dalam talian hari ini.

Kim Jong-nam yang dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970, sedang menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Isnin lalu apabila dikatakan seorang wanita menyerkup mukanya dengan kain mengandungi cecair beracun. 

Dia mati dalam perjalanan ke hospital Putrajaya. Selain Siti Aishah, polis turut menahan wanita pemegang pasport Vietnam.


Kes bunuh Kim Jong-nam: Kawalan pintu keluar masuk negara diperketat

Kawalan keselamatan pintu keluar-masuk di seluruh negara kini diperketat susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata langkah ini termasuk memperketat pemantauan dan kawalan keluar-masuk penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2.

Ini bagi mengelakkan kemungkinan terdapat suspek lain yang terlibat dengan pembunuhan kes ini daripada lari meninggalkan negara, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya pihak berkuasa sedang melihat kes ini daripada pelbagai sudut termasuk memberi tumpuan untuk mengesan sebarang suspek lain yang terlibat.

"Selain itu, kami sedang menunggu respons daripada Kedutaan Korea Utara di Malaysia berkaitan maklumat yang kami minta untuk membantu siasatan kes ini," katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan suspek lain masih berada dalam negara ini, beliau enggan mengulas dan sebaliknya berkata polis masih menyiasat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan berkata wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berkaitan pembunuhan itu adalah pemegang pasport Indonesia bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992.

Tangkapan kedua itu susulan penahanan seorang suspek wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam, di klia2 pada pukul 8.20 pagi semalam.

Sementara itu, tinjauan Bernama di klia2 mendapati terminal udara yang dibuka pada 2014 itu sibuk dengan pergerakan penumpang tempatan dan luar negara sambil dipantau oleh anggota keselamatan.

Seorang anggota keselamatan yang ditemui berkata kes pembunuhan yang berlaku di lapangan terbang itu tidak menjejaskan prosedur keselamatan sedia ada kerana kawalan di terminal udara itu sememangnya sentiasa dipantau rapi.

"Setiap penumpang diperiksa secara teliti sebelum mereka memasuki pintu pelepasan sama ada penerbangan domestik atau antarabangsa," katanya yang enggan namanya didedahkan.

Di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL), sekumpulan 20 media asing dan tempatan masih lagi menunggu di kawasan itu bagi mendapatkan perkembangan terkini kes berkenaan yang mendapat perhatian antarabangsa.

Mayat Jong-nam selesai dibedah siasat petang semalam dan sehingga ini belum dapat dipastikan sama ada terdapat pihak menuntut mayatnya.
Jong-Nam, yang hidup terasing daripada adiknya Jong-Un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi Isnin lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 9 pagi.

Beliau dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dari klia2 setelah mengadu kurang sihat.
Share:

15 Februari 2017

EJEN RAHSIA WANITA BUNUH ABANG TIRI PEMIMPIN KOREA UTARA DI KLIA


ABANG tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dipercayai dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap, sumber kerajaan Korea Selatan di Seoul berkata, Kim Jong Nam dipercayai dibunuh semalam tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Sementara itu, stesen televisyen Korea Selatan, Chosum berkata, mangsa berusia 45 tahun itu dibunuh dua ejen wanita yang tidak dikenali menggunakan jarum beracun di lapangan terbang di Kuala Lumpur.

Menurut beberapa sumber kerajaan Korea Selatan, dua wanita terbabit melarikan diri menaiki teksi selepas itu, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali mengesahkan lelaki Korea berusia 40-an ditemui sakit di lapangan terbang, semalam sebelum dihantar ke hospita tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.

“Kami tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai lelaki Korea ini. Kami belum mengesahkan identitinya,” katanya.

Kedua-dua Jong Nam dan Jong Un adalah anak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Kong Il yang meninggal dunia pada 2011, tetapi mempunyai ibu berlainan.

Jong Nam pernah dianggap pewaris pemimpin Korea Utara tetapi tidak direstui

bapanya, Jong Il berikutan percubaan memasuki Jepun menggunakan pasport palsu untuk melawat Disneyland pada 2001.

Sejak itu, dia tinggal dalam buangan terutamanya di Macau.

Jong Un mengambil alih sebagai pemimpin Korea Utara apabila bapanya, Jong Il meninggal dunia pada Disember 2011.

Jong Nam dikenali sebagai peguam bela pembaharuan di Korea Utara, pernah memberitahu akhbar Jepun yang beliau menentang pemindahan kuasa dinasti di negaranya.

Jika disahkan, kes Kim akan menjadi kes kematian paling menonjol di bawah rejim Jong Un sejak pelaksanaan hukuman mati ke atas bapa saudaranya, Jang Song Thaek pada Disember 2013.

Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI