Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label KUALA LUMPUR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KUALA LUMPUR. Papar semua catatan

4 Jun 2018

TAK TAHU ATAU TAK TAKUT??


Kuala Lumpur: “Apa itu Ops Mega ? Saya tak tahu!” itu antara reaksi kebanyakan warga asing yang berpeleseran di kawasan Jalan Petaling di sini.

Wartawan yang melakukan tinjauan hampir dua jam semalam, mendapati ratusan warga asing terutama dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal memenuhi kawasan itu.

Kebanyakan mereka bersiar-siar, bertemu rakan dan membeli-belah pelbagai barang keperluan di kedai yang diusahakan rakan senegara.

Walaupun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru melakukan operasi di sekitar kawasan itu Jumaat lalu, selain mengumumkan bakal melaksanakan Ops Mega 3.0 bertujuan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara bermula 1 Julai depan, kehadiran warga asing tetap ramai.

Namun usaha mendekati mereka sukar berikutan rata-rata mereka melarikan diri setiap kali wartawan mengajukan soalan berkaitan kehadiran mereka di kawasan itu.

Rata-rata mereka mendakwa tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Seorang warga asing yang enggan dikenali mendakwa jumlah warga asing di Jalan Petaling semalam, berkurang berbanding biasa.

Dia mendakwa ia kemungkinan berpunca susulan operasi JIM, petang Jumaat lalu.

Sementara itu, pekerja pembersihan warga Bangladesh, Rehman, 36, memberitahu berkunjung ke kawasan itu setiap hari Ahad untuk bertemu rakan senegara.

“Saya tidak tahu mengenai operasi (JIM), memang saya biasa datang sini dari Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Peniaga tempatan yang ingin dikenali sebagai Ramli, 56, berkata, kebiasaannya jumlah warga asing lebih ramai pada Ahad.

“Semasa operasi Jumaat lalu, ramai yang ditahan. Operasi sebegini perlu dilakukan sekerap mungkin, sekurang-kurangnya mereka (warga asing) mula takut.

“Sebelum ini mereka berperangai jelik seperti berada di negara masing-masing. Dalam kalangan 10 peniaga di sini, hanya dua saja peniaga tempatan termasuk saya.

“Kalau boleh operasi perlu dilakukan sehingga ke dalam bangunan seperti Kompleks Kotaraya. Saya lihat semakin ramai warga asing berniaga di dalam bangunan itu. Jangan hanya periksa (warga asing) yang berpeleseran, tangkap sekali semua peniaga haram ini,” katanya.

Kelmarin, 170 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi dijalankan Imigresen Malaysia di Jalan Petaling di sini.

Dalam operasi bermula jam 4 petang, Imigresen Malaysia memeriksa 330 warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut turun padang dalam operasi yang disertai Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali.
Share:

30 Mei 2018

GAMBAR PEKERJA KEDAI MAMAK CUCI PINGGAN DEKAT LOPAK AIR BELAKANG KEDAI TULAR DI MEDIA SOSIAL


KUALA LUMPUR: Kuasa media sosial bukan sekadar boleh melariskan jualan, tetapi juga berupaya menutup perniagaan jika dakwaan dibuat adalah benar.

Pengurusan restoran makanan daun pisang di Bangsar di sini, Raj's Banana Leaf, mengakui beberapa entri dan gambar memaparkan pekerja mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang sebuah premis adalah kakitangannya.

Pihak pengurusan premis berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.

"Kami ingin memohon maaf berhubung kejadian pekerja baharu kami (mencuci pinggan menggunakan air lopak) di premis kami di Bangsar, baru-baru ini.

"Ini tidak pernah berlaku dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kami memberi jaminan Raj's Banana Leaf sentiasa lulus dalam pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara berkala.

"Kami berasa kesal dengan tindakan kakitangan baharu kami dan menyedari perbuatan mereka tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.

Seiring permohonan maaf itu, Raj's Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Pengurusan restoran juga memberi jaminan akan mengawasi dapur mereka dengan teliti, sambil menambah aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.

Raj's Banana Leaf turut menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan kejadian itu tidak akan berulang.

Memahami kebimbangan yang diluahkan pelanggan, Raj's Banana Leaf berharap orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyajikan hidangan pada masa akan datang.

Sementara itu, sebuah portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata restoran itu akan ditutup bermula esok.

"Saya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.

"Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan," katanya dipetik oleh laporan itu.

KORANG NAK MAKAN KEDAI MAMAK LAGI KER??

Kebanyakan pekerja kedai mamak ni bukan beragama islam. Pihak berwajib perlu mengambil serius tentang isu ini kerana isu HALAL amat sensitif. #halal #jakim #kedaimamak #bersih
Share:

20 Februari 2017

KL SESAK DUA KILOMETER ANGKARA LAMBORGHINI


Seorang pemandu Lamborghini yang cuba memintas lori gagal berbuat demikian sebelum hilang kawalan dan bergesel dengan kenderaan berat berkenaan di Jalan Tun Razak menghala ke PWTC di sini, jam 10.30 pagi kelmarin.

Ranger Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zul-Atfi Abdul Wahid Amin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.33 pagi dan bergegas ke lokasi.

“Tiba di lokasi, kami dapati Lamborghini terbabit mengalami kerosakan pada tayar kiri sebelum ditunda.

“Kejadian berkenaan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang dua kilometer, namun dapat dikawal anggota trafik,” katanya.

Menurut Zul-Afti, pemandu Lamborghini terbabit selamat dan meninggalkan lokasi selepas kejadian.
Share:

27 Disember 2016

BANGLA DI MALAYSIA AMBIL KESEMPATAN ATAS NAMA ROHINGYA?


KUALA LUMPUR : Berikutan kebanjiran warga Islam Rohingya di Malaysia kini membuatkan ada yang mengambil kesempatan mengakui warga tersebut untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Pengarah Media, Asean Rohingya Center Institut Kerjasama Islam Antarabangsa (Ikiam), Datuk Mat Metro berkata, ramai warganegara lain terutamanya Bangladesh yang mengakui warga Rohingya untuk mendapat bantuan yang diberi oleh pihaknya.

“Kita kadang-kadang tak dapat bezakan warga Rohingya ini dengan yang lain, sebab itu ada yang ambil kesempatan mengaku kata dirinya warga itu, kita beri sahaja  bantuan.

“Kini kami terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dalam berikan bantuan supaya tiada kes penipuan terjadi,” katanya.

Warga Rohingya di Malaysia bukanlah satu perkara baru dan negara tidak dapat mengelak berlakunya kebanjiran warga ini atas dasar kemanusiaan yang menjadi teras diplomasi negara.

Malaysia dan Indonesia yang pada awalnya tidak mahu menerima etnik Rohingya akhirnya berganjak daripada pendirian awal dan menawarkan tempat perlindungan  sementara kepada pelarian ini.

Tambahnya lagi, setakat ini perkara ini masih dalam kawalan pihaknya dan tiada sebarang tangkapan yang dibuat.

“Kami hanya beri peringatan sahaja buat mereka yang menipu dan mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain.

“Cuma kami amat berharap agar mereka ini tidak lagi berbuat demikian atas dasar sifat kemanusiaan,” katanya lagi.
Share:

22 Ogos 2016

KL BUKAN MILIK KITA LAGI..


KUALA LUMPUR atau nama pendeknya KL, merupakan antara bandar raya terpenting di Asia Timur.

Bandar ini juga merupakan tempat terletaknya bangunan paling terkenal di seluruh dunia, iaitu KLCC. Bangunan pencakar langit setinggi 88 tingkat ini boleh dilihat di hampir keseluruhan KL, namun yang menjadi persoalan, sejauh manakah rakyat Malaysia memiliki metropolitan ini?

Pada sambutan Aidilfi tri lalu, pusat bandar Kuala Lumpur amat jelas telah dikuasai oleh warga asing untuk beberapa hari terutamanya sekitar KLCC, Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di hampir kesemua stesen bas Rapid,

Komuter KTM dan LRT dipenuhi oleh kelompok ini terutamanya dari Bangladesh.

Di KL Sentral, laluan ke arah Pelabuhan Klang dan Rawang, jumlah warga asing didapati jauh lebih ramai berbanding warga tempatan.

Pada hari bekerja sebelumnya pun jumlah mereka sudah ramai, apatah lagi pada musim cuti.

Kita juga dapat melihat kedai-kedai yang seakan-akan milik warga asing semakin membiak di sekitar ibu negara seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Malah, warga-warga asing ini semakin berani membuka gerai di tepi-tepi jalan seperti tiada penguatkuasaan dikenakan ke atas mereka.

Dengan selamba mereka menjual beg, kasut, makanan, sirih dan rokok di kaki-kaki lima di Jalan Silang, Chow Kit dan kawasan-kawasan sekitarnya, sedangkan kita tahu warga asing tidak dibenarkan berniaga!

Jadi, bagaimana mereka ini dibenar menubuhkan syarikat dan berniaga tanpa sebarang sekatan serta pemantauan pihak berkuasa? Apa yang berlaku sebenarnya?

Dahulu mereka datang sebagai pekerja ladang dan buruh kasar. Tetapi sekarang, mereka meraih kekayaan berganda dengan membuka perniagaan.

Mereka berniaga macam-macam barang. Warga asing ini juga sudah berada dalam lot-lot kedai, pasar minggu dan pasar malam.

Mereka menguasai perniagaan borong dan runcit serta hidup senang-lenang. Daripada sekecilkecil perniagaan hingga sebesarbesarnya. Tinjaulah sendiri di sekitar KL.

Selepas menguasai jalan-jalan dan perniagaan, warga asing ini akan menarik ribuan lagi dari negara mereka sehingga mereka boleh mewujudkan koloni mereka sendiri di kawasan tertentu. Jumlah mereka terus membesar.

Sekarang kita tidak berasa seperti berada di Malaysia lagi jika berjalan kaki di banyak tempat di KL. Umpama berada di Dhaka, Islamabad, Yangoon atau Jakarta, kenapa perkara ini boleh terjadi.

Adakah berlakunya unsur rasuah di mana-mana? Melalui laporan khas Sinar Harian, pelbagai keluh kesah terutamanya pihak persatuan peniaga kecil dan penjaja KL didengari mengenai isu warga asing yang terus menguasai KL tanpa ada penyelesaiannya.

"Orang kita sendiri pun sukar untuk mendapatkan lesen perniagaan, inikan pula warga asing'. Inilah yang sering bermain di fikiran, namun apa yang dilihat adalah sebaliknya.

Akhirnya, ribuan peniaga tempatan keluar dari ibu negara ini dan membiarkannya dikuasai warga asing kerana tidak tahan dengan persaingan dan kesal dengan apa yang berlaku.

Persoalannya, berapa juta sebenarnya warga asing di Malaysia?Apa kata pak pak menteri dalam isu keselamatan dan kedaulatan negara?
Share:

19 Julai 2016

AKSI KEJAR MENGEJAR BERAKHIR DENGAN TRAGEDI


JALAN KUCHING : Seorang pemandu kereta yang dikejar polis bertindak agresif menghimpit motosikal ditunggang seorang anggota polis trafik hingga terjatuh cedera parah.

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, suspek dikejar beberapa anggota trafik yang menunggang motosikal di Jalan Kuching berhampiran susur kompleks perumahan kerajaan di sini.

Akibatnya, mangsa, Konstabel Wan Mohd Fazly Wan Soho, 27, patah tangan dan mengalami kecederaan teruk di muka.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sentul Leftenan Muda Mohd Nor Ali berkata, mangsa terbaring di bahu jalan akibat kejadian kemalangan itu.

“Mangsa mendakwa dihimpit kereta menyebabkan dia hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa patah tangan kiri selain mengalami luka pada muka, kedua-dua tangan dan kaki. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya.

Difahamkan doktor masih melakukan pemeriksaan sama ada mangsa mengalami kecederaan pada paru-paru dan tulang rusuk.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Share:

13 Mei 2016

PESAWAT GERGASI (ANTONOV 225) BAKAL MENDARAT DI KLIA


KUALA LUMPUR : Pesawat terbesar di dunia dijadualkan bakal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu ini kira-kira sekitar jam 8 pagi.

Difahamkan, pesawat Antonov 225 berkenaan yang membawa muatan generator elektrik seberat 117 tan akan mendarat di KLIA untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir Perth, Australia.

Selain KLIA, pesawat seberat 640 tan berkenaan yang dilengkapi enam enjin dan 42 tayar itu juga turut dijadualkan akan singgah di India dan Turkmenistan terlebih dahulu.

Pesawat buatan Ukraine tersebut dilaporkan mampu terbang dengan kelajuan maksimum 850 kilometer sejam, malah tangki minyaknya juga dapat menampung sehingga 300,000 kilogram.

Selain itu, panjang sayap pesawat tersebut juga adalah kira-kira 88 meter.


Share:

3 Mei 2016

KANAK-KANAK 11 TAHUN DIKHUATIRI LEMAS SELEPAS JATUH DALAM LONGKANG BERARUS DERAS


Seorang kanak-kanak berumur 11 tahun dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan air deras selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Segambut Dalam, di sini.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata mangsa, Saufullah Hamin Al Hilal Hamim, dikatakan terjatuh ke dalam longkang itu ketika hujan lebat, kira-kira pukul 4 petang Isnin.

"Setakat ini operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sehingga menyusuri sepanjang satu kilometer dengan menyusur longkang besar di Taman Sri Sinar dan berhampiran Tan Chong Motor di Segambut Dalam," katanya kepada Bernama.

Operasi mencari yang disertai anggota bomba dari Jinjang, Bukit Bintang dan Sentul itu akan disambung Selasa sekiranya mangsa gagal ditemui sehingga tengah malam tadi.
Share:

5 April 2016

DUA LETUPAN DI MID VALLEY MEGAMALL CEDERAKAN ENAM ORANG


Dua letupan kecil akibat kebocoran gas berlaku di kedai makanan dan minuman yang terletak di pusat beli-belah Mid Valley Megamall di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Pengurusan Mid Valley Megamall dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook mengesahkan kejadian dan memaklumkan insiden berlaku susulan kerja pemasangan semula sistem gas petroleum cecair (LPG).


Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan bahawa insiden tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun lapan individu terlibat -- terdiri daripada kakitangan penyelenggaraan, kontraktor LPG dan pekerja -- mengalami kecederaan, manakala dua daripada mereka parah.

Terdahulu media melaporkan lapan individu cedera dalam insiden letupan tersebut.

Dalam pada itu, pengurusan Mid Valley Megamall telah menutup sistem gas di premis terbabit bagi menjamin keselamatan pengunjung dan penyewa.

"Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan telah menutup semua sistem gas di Mid Valley Megamall untuk sementara waktu.

"Keselamatan tetap menjadi keutamaan kami dan akan memberi tumpuan terhadap keselamatan penyewa dan pengunjung kami," kata kenyataan itu lagi.

Tambahnya, pusat beli-belah itu akan terus dibuka kepada pengunjung dan sebarang maklumat dan perkembangan semasa akan dimaklumkan kepada orang ramai.


Share:

10 Mac 2016

DUA BALANG MISTERI DI KLCC DI SAHKAN BUKAN BAHAN LETUPAN - PDRM


Konsert artis antarabangsa Richard Marx tetap berlangsung seperti dijadualkan walaupun terdapat ancaman bom di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Jalan Pinang hari ini. 

Ia susulan berita mengenai penemuan bungkusan mencurigakan di luar kawasan Aquaria KLCC yang tersebar sejak jam 5.15 petang tadi.

Serentak dengan itu juga, orang ramai telah diarahkan untuk mengosongkan kawasan sekitar atas faktor keselamatan.

Hasil siasatan polis kemudiannya telah menemui dua botol menyerupai balang yang kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa tidak mengandungi bahan letupan.

Katanya, botol terbabit sebenarnya merupakan bahan uji kaji sekumpulan pelajar yang ditinggalkan selepas mengunjungi Petrosains dan membuat projek sains menggunakan botol terbabit.

Polis juga telah mengesan kumpulan pelajar berkenaan bagi merakam percakapan mereka.

Kedua-dua balang berkenaan kemudiannya telah dibawa ke tempat yang selamat untuk diletupkan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah dalam satu kenyataan berkata objek berkenaan ditemui pada 5.15 petang tadi oleh seorang tukang cuci.

Menurutnya tukang cuci terbabit memaklumkan kepada pihak keselamatan Aquaria KLCC pada 5.30 petang.

"Kami yang menerima laporan tentang objek berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) serta Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata UPB telah memusnahkan objek itu kira-kira 8 malam dengan menggunakan robot UPB.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi catatan Twitternya turut mengesahkan bahawa dua balang berkenaan bukannya bahan letupan tetapi bahan uji kaji lampu yang ditinggalkan pelajar, selepas melawat Petrosains KLCC.

Menurutnya, uji kaji lampu dalam botol berkenaan dinamakan sebagai STARLAB, diberikan Petrosains sebagai cenderahati, dalam satu lawatan murid-murid dari sebuah sekolah di Bukit Beruntung.

Jurucakap Universal Music turut mengesahkan konsert Richard Marx berlangsung seperti biasa dan bermula kira-kira 8.40 malam, walaupun terdapat ancaman berkenaan.

Konsert 'Richard Marx - The Solo Tour :Live In Concert', dianjurkan oleh Midas Promotions dengan kerjasama bersama Fat Boys.

Kali terakhir Marx membuat persembahan di Malaysia adalah di Konsert Setia Super, di Johor Bahru pada tahun 2013.
Share:

1 Februari 2016

KES DEMAM DENGGI SEMAKIN MENINGKAT DI KUALA LUMPUR


Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sebanyak 26 peratus kes denggi dan satu kes kematian akibatnya sejak seminggu lalu. Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Hayati Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 866 kes dicatat­kan berbanding tahun lalu ia­itu 643 kes, namun tiada kematian direkodkan.

Jelasnya, terdapat sebanyak 80 lokasi wabak aktif semasa di sekitar ibu negara dengan lebih satu kes dikesan setiap hari. “Parlimen Bandar Tun Razak mencatatkan sebanyak 19 kes ia­itu yang paling tinggi setakat ini manakala Parlimen Cheras merekodkan sejumlah 11 kes,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini me­nyiarkan laporan statistik Kementerian Kesihatan berhubung pening­katan 16.4 peratus kes denggi yang membimbangkan tahun ini di seluruh negara. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya memaklumkan, sepanjang tempoh itu, sebanyak 12,897 kes demam denggi dengan 26 kematian dicatatkan berbanding 11,081 kes dengan 35 kematian bagi tempoh sama tahun lalu. Sementara itu, Hayati berkata, Parlimen Titiwangsa dan Se­tia­wang­sa mencatatkan seba­nyak tu­juh kes, selain Parlimen Wangsa Maju iaitu tujuh 11 kes.
Share:

15 Ogos 2015

REMPUH LOBI DAN BAKAR DIRI SENDIRI SELEPAS DI PECAT


Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercaya berang akibat dipecat oleh majikan bertindak merempuh kereta dipandu ke arah bangunan pejabat di Bangsar South, Jalan Kerinchi di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mangsa kemudian bertindak membakar dirinya di dalam kenderaan menggunakan petrol dan mercun dibawanya.

Kejadian itu kemudian segera dilaporkan kepada pihak polis sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Pantai bergegas memadamkan kebakaran itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa sempat diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian yang membantu memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

“Mangsa mengalami kecederaan melecur hampir 50 peratus pada keseluruhan tubuhnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian itu sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati mangsa memandu kereta model Perodua Viva. Sejurus kebakaran kereta itu dipadamkan, pihak polis menemui dua kotak mercun dan tiga tong berisi petrol,” katanya.
Share:

19 Julai 2015

WARGA ASING TAWAN IBU KOTA PADA 1 SYAWAL


KUALA LUMPUR - Dalam keceriaan umat Islam  meninggalkan ibu kota bagi menyambut 1 Syawal di kampung halaman mereka, bandaraya Kuala Lumpur menjadi 'milik' warga asing sempena Aidilfitri pertama hari ini.
    
Walaupun bukan lagi satu fenomena baharu saban tahun, namun lambakan warga asing sentiasa menimbulkan rasa kurang menyenangkan dalam kalangan warga kota dengan sikap kurang menjaga kebersihan kawasan sekitar.
    
Berdasarkan pemerhatian rambang oleh Bernama, puluhan ribuan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, India, Nepal, Myanmar dan Vietnam mengambil kesempatan cuti umum untuk menyerbu beberapa kawasan tumpuan ramai.
    
Antara lokasi 'panas' kebanjiran warga asing ialah pusat beli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Kota Raya, Pasar Seni dan kawasan sekitar Bukit Bintang.
    
Bagaimanapun, kebanjiran warga asing turut menimbulkan masalah kebersihan apabila tindakan mencemari kawasan sekitar merimaskan oleh mereka yang melepak secara berkumpulan.
    
Seorang rakyat Malaysia, Nur Habib Hasinuddin, 42, berkata warga asing terlalu ramai yang berkunjung ke ibu kota sehingga masyarakat tempatan pula khuatir untuk bersiar-siar.
    
"Kita pula yang takut untuk keluar kerana mereka (warga asing) lebih ramai daripada kita," kata juruteknik kilang itu ketika ditemui di KLCC.
    
Beliau, yang bersama keluarganya datang dari Segamat, Johor bagi menyambut Aidilfitri di ibu kota bagi kali pertama, berkata tidak pernah membayangkan ibu negara yang dipenuhi dengan warga asing.
    
Sementara itu, bagi G.Arivalagan, 39, tindakan warga asing mengotorkan bandar raya dengan antaranya meludah dan membuang sampah dan puntung rokok di merata tempat mencacatkan pemandangan dan status Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang moden.
    
Kakitangan kerajaan itu berkata senario tersebut tidak harus berlaku kerana ia boleh menyebabkan imej Malaysia tercalar di kaca mata pelancong asing yang datang ke negara ini.
    
Beliau berharap pihak berkuasa memastikan warga asing yang datang ke bandar raya sentiasa menghormati peraturan dan budaya tempatan.
    
Namun, bagi warga asing, cuti raya ini adalah masa terbaik bagi mereka untuk bersiar-siar di ibu kota bersama rakan-rakan senegara berikutan tidak mudah memperolehi cuti panjang.
    
Hudnar Nizjar, 27, berkata warga asing selalunya akan bertemu dengan rakan senegara di ibu kota kerana ia merupakan destinasi yang mudah dilawati dengan menggunakan pengangkutan awam. 
Share:

14 Julai 2015

MALAYSIA BANYAK TELEFON PINTAR TIRUAN !!


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas pelbagai telefon pintar dan aksesori tiruan jenama Samsung, IPhone, Lenovo , Oppo serta Nokia membabitkan nilai sebanyak RM500,000 dalam serbuan di Kompleks Pertama, petang tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, beberapa premis dan stor di kompleks beli belah berkenaan diserbu berikutan aduan awam serta risikan yang dilakukan bahagian penguatkuasaan agensi berkenaan.

Pengarah KPDNKK KL, Muez Abd Aziz berkata, semua produk berkenaan dipercayai tiruan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti pembekal kepada peniaga di pusat berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih 3 tahun bagi perseorangan.

Katanya, bagi syarikat, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan tiruan yang dirampas.
"Selain daripada itu, KPDNKK turut menghasilkan empat kes dan mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya ketika ditemui, semalam.

Share:

30 Mei 2015

VIDEO SPIDERMAN PANJAT MENARA MASJID KAMPUNG BARU


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ‘spiderman’ bertindak memanjat menara Masjid Jamek Kampung Baru di sini, setinggi lebih 15 meter sebelum terjatuh dari puncak menara itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang semalam, lelaki berusia 23 itu dilihat memanjat menara masjid yang kini dalam proses pengubahsuaian.

Tindakan itu bagaimanapun menyebabkan lelaki itu terjatuh sebelum terhempas pada bumbung premis berhampiran.

Salah seorang saksi, Mohd Hafiz Hamzah, 33, berkata, dia dan penduduk sekitar kawasan itu gempar apabila melihat lelaki itu memanjat menara masjid berkenaan.

Menurutnya, ada antara ‘penonton’ memujuk lelaki itu supaya membatalkan niat memanjat menara itu.

“Bagaimanapun, pujukan orang ramai itu tidak diendahkan lelaki itu yang terus memanjat dan kemudian terjun dari menara itu.

“Ada kemungkinan lelaki itu tidak lagi berdaya untuk memanjat menara itu dan keletihan. Lelaki itu kemudian jatuh terhempas di atas bumbung,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun hanya mengalami patah kaki sebelum diselamatkan orang ramai.

“Lelaki itu yang mengalami masalah mental kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.


Share:

25 Mei 2015

PROJEK MRT MAKAN NYAWA LAGI?


KUALA LUMPUR - Seorang lagi pekerja pembinaan warga Bangladesh maut dalam kemalangan di tapak pembinaan bawah tanah Tun Razak Exchange projek Mass Rapid Transit (MRT).

Pekerja itu, dikenali sebagai Safikul, 28, sedang menanggalkan struktur sementara yang digunakan untuk kerja-kerja pemasangan slab bersama sekumpulan pekerja lain apabila ia runtuh pada 1.15 pagi, tadi.‎

Safikul, pekerja SP Mega Sdn Bhd, subkontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja konkrit bertetulang, terperangkap di bawah runtuhan itu. 

Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur tetapi meninggal akibat kecederaan menurut kenyataan MMC Gamuda KVRT (T) Sdn Bhd, kontraktor utama bagi pakej bawah tanah MRT Lembah Klang.

Bagaimanapun, pekerja lain terselamat. 

Kenyataan itu berkata, SP Mega sedang membuat persiapan untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh bagi membawa balik jenazah Safikul ke negaranya selepas bedah siasat selesai.

Tapak kemalangan telah ditutup untuk siasatan lanjut, dan menambah semua pihak berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan telah dimaklumkan.
Share:

21 Mei 2015

HARI MALANG BUAT FERRARI W A70M ITALIA


Pemandu Ferrari ini disaman bukan sahaja atas kecuaian menyebabkan kenderaannya tersadai dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga atas kesalahan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPJ.

Seorang pemilik Ferrari 458 Italia berhadapan denga nasib malang apabila kereta mewahya itu kehabisan petrol di Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) menghala ke Seremban.

Menurut laman Facebook, Trafik KL, beberapa minit selepas kereta itu tersadai di tepi jalan, seorang pegawai polis tiba di tempat kejadian dan membuat kesimpulan bahawa ia adalah kesalahan pemandu itu sendiri kerana tidak memastikan bahawa enjin V8 4.5 liter Ferrari 458 beliau tidak diisi petrol secukupnya.

Pemandu telah dikeluarkan Pol 257A oleh anggota Trafik kepada pemandu akibat kecuaian diri sendiri dan menyebabkan kesesakan lalulintas kepada pengguna jalanraya lain dibawah Akta APJ 1987.

Dalam pada itu, pegawai polis berkenaan turut menyaman pemandu tersebut atas kesalahan nombor pendaftaran yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Share:

5 Februari 2015

GAMBAR FERRARI RENTUNG DI IBU KOTA!!


Seorang lelaki dan wanita berusia 30-an terselamat selepas kereta mewah Ferrari model F430 berharga lebih RM1.5 juta itu tiba-tiba terbakar ketika melalui Jalan Rakyat (Jalan Travers), Bangsar, petang tadi.

Dalam kejadian 6 petang itu, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian enjin kereta berkenaan sebelum merebak sehingga ke bahagian pemandu.

Difahamkan, mangsa yang menyedari asap mulai keluar bergegas keluar dari kenderaan berkenaan sebelum pasukan bomba tiba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Pegawai Kanan Bomba II Isyarudin Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, 6 petang tadi."Enam anggota dengan sebuah jentera terbabit dalam operasi ini.

"Ketika sampai di lokasi, pihak kami mendapati api sedang marak dari bahagian belakang kenderaan sebelum api berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit," katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan.


Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI