Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

1 Jun 2018

PAS CUBA PUJUK AHLI UMNO MASUK PAS


PAS mempelawa ahli UMNO agar menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

"Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.

"Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan PH yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. -- Bernama
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI