Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

11 Ogos 2021

SHUIB TAK SABAR NAK DUKUNG AYASH AFFAN ANAK BONGSU


Suami kepada Allahyarham Siti Sarah, Shuib memaklumkan akan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bertemu bayinya, Ayash Affan buat pertama kali, esok.

Shuib berkata demikian dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk arwah isterinya yang berlangsung secara virtual, malam tadi.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki, esok saya akan ke HCTM untuk melihat Ayash Affan buat pertama kalinya. 

"Anak-anak pun asyik bertanya. Insya-Allah, kalau ada rezeki esok, saya tak sabar nak tengok dia, pegang dia," katanya.

Berkongsi mengenai hari pertamanya tanpa isteri kesayangan, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad tidak menafikan rasa rindu adalah satu perasaan yang berat untuk digambarkan.

"Hari ini, hari pertama di mana saya rasa, memang tipulah kalau saya cakap saya okay. 

"Memang satu keadaan yang sangat pelik sebab sebelum ini, walaupun dia tak ada di rumah, tapi sekurang-kurangnya, saya tahu dia ada di hospital.

"Tapi, (hari ini) bila saya turun ke bawah, saya tahu dia memang dah tak ada.

"Cuma, itulah. Bila dihimpit rindu, bila rindu menjengah, jadi ia sesuatu yang agak berat. Insya-Allah, masa akan mengubati dan rindu akan kekal selamanya," katanya.

Shuib juga turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang mengambil berat akan dirinya dan memaklumkan bahawa dia dalam keadaan baik.

"Saya sebenarnya sangat bertuah sebab ramai kawan-kawan yang luar biasa dengan kasih dan sayang.

"Ramai WhatsApp dan mesej saya, minta saya supaya kuat. Jangan risau. Saya sangat reda," katanya.

Berkongsi mengenai keadaan ketiga-tiga anaknya, Shuib berkongsi mengenai soalan-soalan 'cepumas'.

"Anak yang ketiga, Ariq Matin anggap perut ibu dia umpama bantal. Semalam, saya tidurkan dia dekat bawah ketiak saya. Saya ingat dia dah tidur sebab diam saja.

"Tiba-tiba, dia bersuara, 'Matin rindu ibu'. Itulah antara cabaran sebagai bapa. Itu memang lumrah manusia untuk rasa rindu," katanya.

Majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual itu disertai lebih 600 pelayar diketuai oleh PU Hafiz Haneefa dan Anak-anak Tahfiz dari PITAS,Permata Al-Quran dan Majlis Belia Tahfiz Malaysia.

Turut serta, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah, media serta rakan-rakan artis.

Share:

JANGAN SESEKALI MENGELUH DENGAN UJIAN ALLAH SWT


Dunia yang menjadi tempat kediaman kita ini penuh dengan ujian dan pancaroba. Kalau kita menoleh ke kiri atau kanan, depan atau belakang, pasti kita tidak temui seseorang yang tidak pernah diuji dengan masalah atau ditimpa musibah. Ini resam dunia, tidak pernah lekang dengan ujian.


Terkadang dahsyatnya ujian yang boleh menyebabkan seseorang terduduk, bahkan terlantar persis lumpuh. Tidak berdaya untuk bangun apatah lagi untuk berdiri meneruskan sisa-sisa usia.


Kegagalan dalam melepasi ujian dan kecundang dalam mencapai impian membawa igauan mengusutkan fikiran. Dalam mengenang nasib diri, syaitan datang membisikkan ke sanubari: "Tamatkanlah riwayat diri agar sengsara tiada lagi."


Sebetulnya mengakhiri hayat amanah Ilahi adalah usaha untuk lari daripada perkara yang dianggap buruk kepada perkara yang lebih teruk lagi.


Bukankah pada tika bencana melanda, hati kita sepatutnya berpaut pada Yang Maha Kuasa? Juga meyakini di sebalik hadirnya ujian Ilahi, adanya hikmah tersembunyi, yang tidak ketahui, hanya Tuhannya Maha Mengetahui. 


Terkadang hikmah kebaikan itu kita temui sepanjang perjalanan kehidupan dan terkadang ia disimpan Ilahi untuk dinikmati di negeri kekal abadi.


Penawar keperitan akibat ujian itu ada pada sikap berserah diri kepada Allah yang menetapkan takdir sejak azali, yang juga Maha Mengasihani kerana dia tahu yang baik untuk hamba yang dikasihi.


Sebenarnya besarnya ganjaran itu sesuai dengan hebatnya bencana yang menimpa. Allah SWT pula, apabila Dia mengasihi satu-satu golongan, nescaya ditimpakan bala bencana kepada mereka. Lalu sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah dan sesiapa yang marah maka baginya kemurkaan Allah. (Hadis Hasan Riwayat al-Tirmidhi)


Daripada  sudut lain hendaklah sentiasa diingati bahawa ujian dan dugaan itu bagai ubat yang diberikan kepada pesakit.


Walaupun pesakit kita dikasihi, walaupun ubat pahit sekali, ia tetap akan diberi supaya sembuh hingga boleh berdiri. Begitu juga dengan ujian dan dugaan yang Allah SWT tetapkan kepada hamba-Nya. Walaupun hamba Dia kasihi, walaupun ujian sangat menyakiti, ia tetap juga diberi, supaya ganjaran menempati diri.


Dalam sabda lain, junjungan SAW berkata: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa kecelakaan, kemiskinan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahu pun kedukacitaan, bahkan tertusuk duri sekalipun kecuali Allah akan menghapuskan dosa-dosanya melalui musibah yang menimpanya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Lantaran itu, ketika kita diuji diduga hingga mengalir air mata sengsara, tika dicuba melalui bala derita hingga lumpuh tiada bermaya, hendaklah kita renung dan faham bahawa ujian itu sudah tertulis sebagai takdir yang datang dari Tuhan, yang menguji pegangan keyakinan kita sebagai seorang hamba yang seharusnya boleh bertahan.


Ujian yang datang itu pula sentiasa ditemani keadilan. Tuhan tidak pernah berlaku zalim. Ujian juga bukan tanda Tuhan membenci kerana sebenarnya setiap yang dikasihi pasti diuji.


Kalau kita lihat di sebalik ujian yang menimpa, nescaya kita akan temui rahmat Tuhan  dan kita ketahui bahawa Dia menguji kita dengan ujian dan bencana yang sepatutnya kita boleh hadapinya berbekalkan perisai yang sudah lama kita bina dalam diri.


Ujian itu pula sarat dengan tujuan yang baik. Mungkin melalui ujian itu Tuhan ingin tinggikan darjat hamba-Nya, menghapuskan kekhilafan atau salah silapnya, mendidik diri supaya dekat dengan-Nya atau ingatkan diri melalui keperitan yang dilalui.  


Jika diri masih lemah luluh kuatkan diri dengan doa sebagai senjata. Apa yang penting dalam doa ialah menjaga adab berdoa. Antara adab terbabit ialah berdoa dengan penuh penghayatan dan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa itu.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa." (Hadis Hasan Riwayat al-Tirmidhi)


Salah satu doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ada dalam kitab Mir'ah al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masabih, hadis sahih no. 2521, riwayat al-Nasa`i yang bermaksud: "Ya Allah, Aku benar-benar memohon dengan bertawassul melalui pengetahuan-Mu terhadap perkara ghaib dan kekuasaan-Mu atas segala makhluk agar Engkau panjangkan umurku selama Engkau mengetahui hidup itu lebih baik untukku dan matikanlah aku jika Engkau mengetahui kematian itu lebih baik bagiku.  Ya Allah, aku memohon agar aku takut kepada-Mu pada setiap saat dan ketika, berkata benar pada waktu suka atau marah, keseimbangan ketika fakir atau kaya, nikmat yang tidak pernah habis, perkara menggembirakan yang pernah putus, reda setelah terjadinya takdir-Mu, kehidupan yang baik selepas kematian, kenikmatan memandang wajah-Mu (di syurga), rindu bertemu dengan-Mu. (Aku mohon semua itu diberikan) tanpa mendapat mudarat yang membahayakan juga fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan iman dan jadikanlah kami sebagai penunjuk ke jalan (lurus) yang tetap teguh bersama hidayah."


Melalui doa ini antaranya kita memohon supaya Allah mengekalkan kita hidup selama mana kebaikan kita mengatasi keburukan, selama mana kehidupan kita menyebabkan pertambahan amal baik. Sebaliknya mengambil nyawa kita sekiranya kejahatan kita melebihi kebaikan supaya kematian merehatkan kita daripada segala keburukan dan segala perkara yang memudaratkan.


Kita juga memohon supaya diberikan sifat reda atas ketentuan yang sudah berlaku. Dalam riwayat lain kita disarankan memohon sifat reda dengan takdir yang tertulis sejak azali supaya dapat menghadapinya dengan positif dan optimis. Begitu juga supaya kita meyakini terdapat kebaikan pada semua ketentuan yang tertera.


Kita juga memohon kehidupan yang baik selepas kematian dengan menempatkan roh kita selepas kematian bersama mereka yang bahagia dan mereka yang dekat kepada Tuhan. Memang hidup di dunia ini tidak menyenangkan, tidak juga menjanjikan kondisi dan situasi yang selesa. Dunia dipenuhi keperitan berpanjangan, kesusahan dan kesedihan yang menimpa emosi dan fizikal. (Mir`ah al-Mafatih: 8/278-280)


Walaupun begitu kita tidak digalakkan memohon kematian kerana ia bertentangan dengan konsep sabar dan reda menghadapi ujian. Jika terpaksa maka berdoalah seperti doa di atas kerana dari satu aspek ia menunjukkan bahawa si hamba benar-benar berserah kepada takdir Ilahi  setelah segala usaha dan ikhtiar dipenuhi.  (Mir`ah al-Mafatih: 5/-288)


Tetapi, tindakan seseorang untuk menamatkan hidup sendiri perlu diperhalusi dari segenap segi. Adakah ketika itu akalnya sudah tidak berfungsi atau hanya mencari jalan pintas untuk menamatkan sengsara diri?


Banyak usaha yang sudah dan sedang dilakukan untuk membantu masyarakat yang menghadapi kesukaran lebih-lebih lagi dalam pandemik Covid-19 ini. Di samping bantuan keperluan harian, bantuan dari sudut emosi dan mental sangat penting. Terkadang wang ringgit yang banyak tidak bererti jika emosi dan minda sentiasa bercelaru. Betapa ramai si kaya hatta jutawan yang terperangkap dalam masalah lalu depresi sehingga membuat keputusan drastik tanpa pertimbangan yang masak.


Masalah sama ada berkaitan dengan mental atau fizikal amat menyulitkan dan memeritkan. Sebab itu: "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat Muslim)


'Melepaskan kesusahan' yang dimaksudkan pula boleh jadi melalui harta, pangkat dan bantuan (tenaga). Zahir hadis ini juga memasukkan bantuan yang diberikan melalui tanda isyarat, pendapat atau cadangan serta panduan. (al-Minhaj Sharh Sahih Muslim: 16,135)


Apakah lagi yang kita mahukan selain Allah memudahkan urusan di dunia dan di akhirat? Balasan baik ini bukan calang-calang! Tawaran yang diberi ini bukan sebarang! Ya Allah, mudahkanlah urusan dunia dan akhirat kami.


Penulis pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Share:

29 Jun 2018

SENARAI KELUARGA TERKAYA DIDUNIA BAGI TAHUN 2018!

SAM WALTON

NEW YORK : Jumlah aset 25 syarikat di dunia yang milik keluarga berjumlah AS$1.1 trilion (RM4.5 trilion) yang menjamin kemewahan sehingga beberapa keturunan, meliputi perniagaan minyak, fesyen dan industri media selain jualan runcit, kenderaan dan gula-gula.

Menurut senarai Bilionair Bloomberg, sebanyak 11 daripada syarikat terbabit adalah milik keluarga di Amerika Syarikat.

Berikut antara keluarga terbabit yang berada di tangga teratas senarai berkenaan.

Keluarga Walton, Walmart: AS$151.5bilion (RM612.8 bilion)

Sam Walton mengasaskan syarikat yang kini dikenali sebagai Walmart selepas beliau membeli kedai runcit pertama pada 1942. Beliau meninggal dunia pada 1992.

Walmart berkembang menjadi peruncit terbesar dunia dengan jualan AS$500 bilion (RM2.2 trilion) setahun melalui 12,000 kedai di seluruh dunia.

Anaknya, Steuart Walton, masih kekal dalam lembaga pengarah syarikat berpangkalan di Bentonville, Arkansas, itu.

Keluarga Koch, Koch Industries: AS$98.7 bilion (RM399.2 bilion)

Fred Koch menjadi pengasas bersama Syarikat Minyak dan Penapis Wood River pada 1940 yang kini diwarisi anaknya, Frederick, Charles, David dan William.

Empat bersaudara itu berbalah pada 19800-an menyebabkan Frederick dan William meninggalkan syarikat berkenaan.

Charles dan David membangunkan syarikat berpangkalan di Kansas itu menjadi Koch Industries dengan pendapatan AS$100 bilion (RM404.5 bilion) setahun.

Keluarga Mars, Mars: AS$89.7 bilion (RM362.8 bilion)

Frank Mars yang dilahirkan pada 1883, belajar menyediakan coklat ketika kanak-kanak sebelum menubuhkan Mars yang terkenal dengan produk coklat susu, termasuk M&Ms, Milky Way dan bar Mars.

Produk penjagaan haiwan kini separuh daripada pendapatan AS$35 juta (RM141.56 juta) setahun syarikat milik penuh keluarga Mars berpangkalan di McLean, Virginia.

FRANK Mars

Keluarga Dumas, Hermes: AS$49.2 bilion (RM199 bilion)

Hermes ditubuhkan di Paris pada 1837 ketika Thierry Hermes mula menghasilkan peralatan menunggang untuk golongan hartawan.

Cucunya, Emile Maurice Hermes dan Adolphe Hermes mengambil alih sebagai presiden pertama syarikat barangan mewah itu pada 1902.

Namun, Jean-Louis Dumas yang bertanggungjawab mengembangkan Hermes menjadi syarikat barangan mewah ikonik dunia.

Beliau meninggal dunia pada 2010, namun anggota keluarga itu masih memegang jawatan utama dalam syarikat, termasuk pengerusinya, Axel Dumas.

AXEL Dumas

Keluarga Wertheimer, Chanel: AS$45.6 bilion (RM184.5 bilion)

Pierre Wertheimer mendapat kontrak membekalkan pewangi dengan Coco Chanel pada 1924. Selepas kematiannya, anaknya, Jacques Wertheimer memgambil alih syarikat itu.

Kini, dua beradik, Alain dan Gerard Wertheimer memiliki butik fesyen Paris itu dengan pendapatan kira-kira AS$10 bilion setahun.

ALAIN dan Gerard Wertheimer

Keluarga Quandt, BMW: AS$42.7 bilion (RM172.7 bilion)

BMW sedang dalam kesukaran ketika diwarisi Herbert Quandt pada 1954. Namun, beliau berjaya membangunkan syarikat automotif itu menjadi pengeluar kereta mewah terkemuka dunia.

Beliau meningkatkan pegangan keluarga dalam syarikat berpangkalan di Munich, Jerman itu, kepada 50 peratus.

Keluarga Lee, Samsung: $30.9 bilion (RM125 bilion)

Lee Byung-chull mengasaskan Samsung di Seoul, Korea, pada 1938. Syarikat itu kini menjadi pengeluar telefon pintar utama dunia selain produk elektronik dan peralatan rumah.

Anaknya, Lee Kun-hee, menjadi pengerusi mulai 1987.

Keluarga Thomson, Thomson Reuters: AS$30.9 bilion (RM125 bilion)

Thomson adalah keluarga kaya di Kanada hasil usaha Roy Thomson yang memulakan stesen radio di Ontario pada awal 1030-an.

Dia membeli syarikat akhbar Timmins Press pada 1934 sebelum membeli agensi berita Reuters pada 2008 dan keluarganya masih memegang 64 peratus ekuiti dalam Thomson Reuters, syarikat penyedia berita, data perniagaan dan perkhidmatan.

Keluarga Lauder, Estee Lauder: $24.3 bilion (RM98.3 bilion)

Estee Lauder mengasaskan syarikat ini di New York bersama suaminya, Joseph, pada 1946, mengeluarkan produk penjagaan kulit sebelum berkembang menjadi syarikat kosmetik dan pewangi.

Jualan syarikat itu berjumlah AS$12 bilion (RM48.6 bilion) setahun. Cucunya, William Lauder, menjadi pengerusi mulai 2009.

ESTEE Lauder

Share:

5 Jun 2018

AGONG PERKENAN PELANTIKAN TOMMY THOMAS SEBAGAI PEGUAM NEGARA YANG BAHARU


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.
Share:

4 Jun 2018

TAK TAHU ATAU TAK TAKUT??


Kuala Lumpur: “Apa itu Ops Mega ? Saya tak tahu!” itu antara reaksi kebanyakan warga asing yang berpeleseran di kawasan Jalan Petaling di sini.

Wartawan yang melakukan tinjauan hampir dua jam semalam, mendapati ratusan warga asing terutama dari Bangladesh, Myanmar dan Nepal memenuhi kawasan itu.

Kebanyakan mereka bersiar-siar, bertemu rakan dan membeli-belah pelbagai barang keperluan di kedai yang diusahakan rakan senegara.

Walaupun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru melakukan operasi di sekitar kawasan itu Jumaat lalu, selain mengumumkan bakal melaksanakan Ops Mega 3.0 bertujuan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara bermula 1 Julai depan, kehadiran warga asing tetap ramai.

Namun usaha mendekati mereka sukar berikutan rata-rata mereka melarikan diri setiap kali wartawan mengajukan soalan berkaitan kehadiran mereka di kawasan itu.

Rata-rata mereka mendakwa tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Seorang warga asing yang enggan dikenali mendakwa jumlah warga asing di Jalan Petaling semalam, berkurang berbanding biasa.

Dia mendakwa ia kemungkinan berpunca susulan operasi JIM, petang Jumaat lalu.

Sementara itu, pekerja pembersihan warga Bangladesh, Rehman, 36, memberitahu berkunjung ke kawasan itu setiap hari Ahad untuk bertemu rakan senegara.

“Saya tidak tahu mengenai operasi (JIM), memang saya biasa datang sini dari Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Peniaga tempatan yang ingin dikenali sebagai Ramli, 56, berkata, kebiasaannya jumlah warga asing lebih ramai pada Ahad.

“Semasa operasi Jumaat lalu, ramai yang ditahan. Operasi sebegini perlu dilakukan sekerap mungkin, sekurang-kurangnya mereka (warga asing) mula takut.

“Sebelum ini mereka berperangai jelik seperti berada di negara masing-masing. Dalam kalangan 10 peniaga di sini, hanya dua saja peniaga tempatan termasuk saya.

“Kalau boleh operasi perlu dilakukan sehingga ke dalam bangunan seperti Kompleks Kotaraya. Saya lihat semakin ramai warga asing berniaga di dalam bangunan itu. Jangan hanya periksa (warga asing) yang berpeleseran, tangkap sekali semua peniaga haram ini,” katanya.

Kelmarin, 170 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi dijalankan Imigresen Malaysia di Jalan Petaling di sini.

Dalam operasi bermula jam 4 petang, Imigresen Malaysia memeriksa 330 warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut turun padang dalam operasi yang disertai Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali.
Share:

SPRM RAMPAS LIMA KENDERAAN MEWAH MILIK PEGAWAI KANAN POLIS


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas lima kenderaan mewah bernilai hampir RM3 juta milik seorang pegawai kanan polis yang ditahan agensi itu, Khamis lalu.

Sumber SPRM berkata, kenderaan mewah itu termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi BMW GS dipercayai milik pegawai berpangkat Asisten Komisioner.

“Empat kereta seperti Ferrari, BMW, Mini Cooper dan Mercedes Benz dirampas di beberapa kawasan hasil siasatan yang dijalankan.

“Setakat ini siasatan masih diteruskan bagi mengetahui hasil wang tunai yang diperolehi,” katanya.

Khamis lalu, dua pegawai kanan polis ditahan SPRM kerana dipercayai menerima rasuah untuk melindungi pusat judi.

Serbuan dijalankan di sebuah bengkel menemui wang tunai daripada dua suspek yang bertugas di Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman berjumlah RM1.5 juta.

Mereka direman selama empat hari bermula Jumaat lalu.
Share:

1 Jun 2018

PAS CUBA PUJUK AHLI UMNO MASUK PAS


PAS mempelawa ahli UMNO agar menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan UMNO.

"Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.

"Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan PH yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. -- Bernama
Share:

FIKIRAN SEMPIT AHLI POLITIK JERMAN DAN DENMARK MENGENAI IBADAH PUASA UMAT ISLAM DISANA


BENARKAH orang Islam tidak mampu melunaskan tanggungjawab harian dan membahayakan orang lain hanya kerana mereka menjalani ibadah puasa?

Itulah yang terjadi di Jerman dan Denmark apabila ada ahli politik berfikiran sempit, yang mengatakan bahawa orang Islam tidak mampu memberi tumpuan dalam pekerjaan ketika berpuasa.

Reuters melaporkan, ahli politik Jerman dari kumpulan anti-pendatang, Alternative for Germany (AfD) mendesak agar orang Islam yang ebrtugas sebagai doktor, jururawat, juruterbang, pemandu bas dan kereta api, dilarang daripada bekerja sepanjang Ramadan jika mereka berpuasa.

Jerman mempunyai kira-kira 4 juta orang Islam - termasuk dari keturunan Turki yang sudah berdekad-dekad lamanya bermastautin di situ, selain para pendatang dan pemohon suaka yang tiba sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan daripada mereka melarikan diri dari konflik di Syria, Iraq dan beberapa negara lain.

Ahli politik AfD Martin Sichert berkata, majikan yang tidak boleh memberikan pekerja Muslim syif malam atau syif lebih awal, perlu mengarahkan pekerja itu menggunakan cuti tahunan mereka sepanjang bulan Ramadan.

"Bayangkan pesakit di hospital perlu dibedah oleh doktor bedah yang tidak minum atau makan apa-apa selama 12 jam?

"Kenapa penumpang (pengangkutan awam) perlu dibawa ke sana-sini oleh orang yang mungkin menghadapi masalah konsenstrasi dan dehidrasi kerana berpuasa?" kata Sichert, yang juga anggota jawatankuasa Parlimen bagi hal ehwal pekerja dan sosial.

Seorang jurucakap kerajaan Jerman berkata beliau enggan mengulas tentang cadangan Sichert itu.

Canselor Angela Merkel, yang sebelum ini berdepan kritikan dari rakyat Jerman kerana membuka sempadan negara itu untuk dimasuki lebih sejuta pendatang beberapa tahun lalu, mahukan sebuah negara Jerman yang lebih inklusif dan pelbagai etnik.

Merkel sudah lama menegaskan bahawa Islam juga merupakan sebahagian daripada Jerman, selain menyeru ke arah toleransi.

Komen Sichert dibuat susulan kenyataan seumpamanya daripada Menteri Integrasi Denmark, Inger Stojberg, yang mendesak agar orang Islam mengambil cuti sepanjang Ramadan bagi 'mengelakkan impak negatif dalam masyarakat'.

"Ia boleh menjadi suatu yang bahaya bagi kita semua jika pemandu bas tidak makan atau minum sepanjang hari, dan anda tidak boleh bekerja dengan prestasi yang sama di kilang atau hospital jika anda berpuasa," katanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar BT di Denmark.

Kenyataan Stojberg itu menerima kritikan meluas, termasuk daripada Parti Liberal yang dia sendiri wakili.
Share:

TUN M BERI PERINGATAN PADA PENJAWAT AWAM


Kerajaan minta penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan kempen parti pemerintah sebelum ini, Barisan Nasional, untuk kembali neutral.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini adalah penting supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab di bawah pemerintahan Pakatan Harapan dengan baik.

"Kami dapati ramai penjawat awam yang terlibat dalam kempen Barisan Nasional.

"Ini tidak betul. Sebagai penjawat awam, mereka harus bersikap neutral dan berkhidmat untuk kerajaan sedia ada," kata Dr Mahathir.

Apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap golongan ini, Dr Mahathir berkata Kerajaan tidak ingin menghukum sewenang-wenangnya.

"Kami berharap mereka boleh kembali neutral agar perjalanan pentadbiran Kerajaan kini dapat diteruskan dengan baik," kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Share:

30 Mei 2018

GAMBAR PEKERJA KEDAI MAMAK CUCI PINGGAN DEKAT LOPAK AIR BELAKANG KEDAI TULAR DI MEDIA SOSIAL


KUALA LUMPUR: Kuasa media sosial bukan sekadar boleh melariskan jualan, tetapi juga berupaya menutup perniagaan jika dakwaan dibuat adalah benar.

Pengurusan restoran makanan daun pisang di Bangsar di sini, Raj's Banana Leaf, mengakui beberapa entri dan gambar memaparkan pekerja mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang sebuah premis adalah kakitangannya.

Pihak pengurusan premis berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.

"Kami ingin memohon maaf berhubung kejadian pekerja baharu kami (mencuci pinggan menggunakan air lopak) di premis kami di Bangsar, baru-baru ini.

"Ini tidak pernah berlaku dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kami memberi jaminan Raj's Banana Leaf sentiasa lulus dalam pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara berkala.

"Kami berasa kesal dengan tindakan kakitangan baharu kami dan menyedari perbuatan mereka tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.

Seiring permohonan maaf itu, Raj's Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Pengurusan restoran juga memberi jaminan akan mengawasi dapur mereka dengan teliti, sambil menambah aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.

Raj's Banana Leaf turut menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan kejadian itu tidak akan berulang.

Memahami kebimbangan yang diluahkan pelanggan, Raj's Banana Leaf berharap orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyajikan hidangan pada masa akan datang.

Sementara itu, sebuah portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata restoran itu akan ditutup bermula esok.

"Saya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.

"Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan," katanya dipetik oleh laporan itu.

KORANG NAK MAKAN KEDAI MAMAK LAGI KER??

Kebanyakan pekerja kedai mamak ni bukan beragama islam. Pihak berwajib perlu mengambil serius tentang isu ini kerana isu HALAL amat sensitif. #halal #jakim #kedaimamak #bersih
Share:

22 Mei 2018

TRUMP PENGECUT?


Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada bila-bila masa boleh menarik diri daripada pertemuan bersejarah dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un bulan depan, kata Naib Presiden AS, Mike Pence pada Isnin.

Kenyataan daripada Pence itu adalah susulan Pyongyang pada minggu lalu menzahirkan rasa tidak puas hati mengenai latihan ketenteraan Max Thunder antara AS dan Korea Selatan yang masih diteruskan.

Pyongyang juga membatalkan pertemuan dua hala dengan Seoul berikutan perkembangan itu.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, melaporkan bahawa AS sepatutnya perlu memikirkan secara mendalam tentang nasib sidang kemuncak antara AS dan Korea Utara memandangkan Pyongyang menganggap latihan ketenteraan itu suatu yang provokatif.

Pence memberitahu Fox News, Korea Utara tidak sepatutnya cuba mendesak penjelasan dari AS.

"Ia adalah satu kesilapan besar Kim Jong-un jika dia menyangkakan bahawa dia boleh mempermainkan Donald Trump," ujar Pence dalam satu wawancara dengan stesen penyiaran itu.

Apabila ditanya sama ada Trump boleh menarik diri daripada menjayakan sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 12 Jun nanti, Pence menjawab: :"Tidak perlu ditanya lagi."

Share:

GUGUR JIKA GAGAL LAKSANA TUGAS!


Anggota Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan boleh digugurkan dan digantikan dengan anggota Parlimen lain yang lebih layak, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, urusan melantik menteri-menteri Kabinet bukanlah satu tugas mudah dan pastinya tidak akan ada Kabinet yang sempurna serta tidak sunyi daripada kritikan orang ramai.

"Memang tidak ada perfect Cabinet. Sentiasa ada saja cacat celanya. Kita pilih macam mana pun ada orang tak puas hati. Yang saya pilih ni pun saya tahu ramai yang tak puas hati. Tapi nak satisfy everybody (puaskan hati setiap orang) pun tak mungkin.

"Jadi kita akan cuba. Kalau (prestasi) tidak satisfactory (memuaskan), kita kena gugur dan kita pilih lain. Tetapi kita kena bagi peluang supaya ramai orang baharu masuk (menyandang jawatan dalam Kabinet) dan wanita pula, tuntutan mereka kita kena ambil kira. Jadi, tak mudah mengisi jawatan Kabinet," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia 13 menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Dr Mahathir berkata beliau kini boleh mengadakan mesyuarat Kabinet walaupun masih ada lagi jawatan menteri yang belum diisi.

Menurutnya, jumlah akhir menteri Kabinet mungkin akan mencecah 28 orang setelah ditambah wakil daripada Sabah dan Sarawak.

Diminta mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap pemilihan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Dr Mahathir berkata: "Dia seorang professor, seorang intelektual, dan seorang lulusan bidang agama tetapi bahasa Inggerisnya baik.

"Kita kalau pilih yang lama saja ataupun yang ada connection saja pun tak boleh juga. Kita kena bagi kat orang lain... kita cuba.

"Tapi ramai daripada menteri yang kita pilih tidak ada pengalaman. Jadi kita kena ada bantuan daripada pakar," tambahnya.
Share:

12 Februari 2018

SAMBIL MENYELAM SAMBIL MINUM AIR..


Kejadian kapal pencari MH370 yang ‘lenyap’ selama 80 jam minggu lalu, menimbulkan pelbagai teori, termasuk kapal itu, Seabed Container, mencari harta karun sebuah kapal Peru yang karam 100 tahun lalu.

Gambar peti harta karun berkenaan dirakam kapal pencari MH370 sebelum ini, milik Fugro yang diberi kontrak mengesan pesawat terbabit,

Peti itu ditemui di dasar Lautan Hindi, empat kilometer dari permukaan laut di kawasan yang digelar Shipwreck #1.

Berdekatan ialah Shipwreck #2 yang yang dikatakan lokasi kapal barang Peru yang hilang ketika dalam pelayaran ke Sydney lebih 100 tahun lalu.

Penemuan peti dan kapal berkenaan mencetuskan desas-desus mengenai emas Inca.

Kedua-dua lokasi berada dalam kawasan yang dianggap pakar berkemungkinan paling tinggi MH370 terhempas selepas kehabisan minyak.

Seabed Constructor hilang daripada radar selama 80 jam selepas Sistem Identifikasi Automatik (AIS) kapal itu dilaporkan ditutup pada 31 Januari lalu.

Sistem itu dibuka semula 80 jam kemudian, namun sehingga kini sebab ia ditutup masih belum jelas dan lokasi kapal itu dalam tempoh berkenaan, tidak dirakam.

Kejadian berlaku 10 hari selepas kapal itu memulakan usaha mencari MH370 untuk kerajaan Malaysia dengan kontrak tiada bayaran jika tiada penemuan. Namun syarikat itu akan menerima sehingga RM216 juta jika ia berjaya menemui MH370 dalam masa 90 hari.

Menurut Daily Mail, Kapal Havila Harmony milik Fugro yang menemui bangkai kapal Peru itu pada Mac 2015, menyangka ia sebahagian daripada pesawat MH370 dengan banyak serpihan lain dikesan sonar bertaburan di dasar laut.

Namun, kegembiraan mereka terhenti apabila mendapati ia adalah kapal lama.

Selain sauh yang bentuknya popular pada 1820-an, menjadi objek penting mengenal pasti kapal berkenaan, turut ditemui kotak besar.

“Apa yang tinggal di bawah sana ialah satu kotak besar, namun persoalannya, apakah isi kotak itu,” kata CEO Fugro, Paul Kennedy.

Don Thompson, kru asal Independent Group MH370 yang memberi nasihat kepada kerajaan yang mempunyai rakyat dalam MH370, percaya kotak itu ialah tangki air.
Share:

5 Februari 2018

KES LELAKI ROGOL ANAK SAUDARA DARI KECIL HINGGA REMAJA


PENGANGGUR dihadapkan buat kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas tuduhan cubaan rogol dan 253 tuduhan sumbang mahram terhadap dua lagi anak saudaranya yang ketika kejadian hanya berusia enam dan 10 tahun.

Tertuduh berusia 46 tahun yang sebelum ini berdepan 334 tuduhan sumbang mahram mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Prosiding itu menjadikan jumlah pertuduhan yang dihadapi tertuduh sebanyak 588 kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas 253 tuduhan melakukan sumbang mahram iaitu bersetubuh dengan mangsa yang kini berusia 17 tahun di sebuah rumah pangsa di Ampang antara Januari 2006 dan Disember 2013.

Lelaki itu turut didakwa atas satu pertuduhan cubaan merogol mangsa yang berusia 10 tahun antara Januari dan Disember 2017

Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376B dan Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dihadapi lelaki itu selain membabitkan kes serius.

“Tertuduh amat mengenali serta mengetahui tempat tinggal mangsa, sekiranya dibenarkan ikat jamin terdapat kebarangkalian dia akan menganggu saksi,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Shahrul Nizam Azwir memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan tidak tinggal bersama mangsa selain belum dibuktikan bersalah.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Mac ini.

Jumaat lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan 334 tuduhan sumbang mahram iaitu melakukan persetubuhan dengan anak saudaranya yang kini berusia 13 tahun, ketika mangsa berusia lima tahun.
Share:

8 Januari 2018

REMAJA PEREMPUAN REBAH KETIKA SEDANG MENCARI KERJA


REMAJA perempuan berusia 18 tahun meninggal dunia ketika mencari kerja di pusat perniagaan di Bahau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa Amiratul Hakimah Ismail dari Kampung Kasau dekat Batu Kikir, bersama seorang rakannya mencari kerja pada 12.30 tengah hari.

Katanya, mangsa dan rakan dihantar oleh ibu bapanya ke pusat perniagaan berkenaan sebelum pasangan terbabit beredar ke pasar borong berdekatan untuk membeli barang keperluan.

"Mangsa mengadu kepada rakannya mahu pitam ketika mahu keluar dari pusat perniagaan itu tiba-tiba rebah, namun sempat dipangku rakannya itu.

"Rakan mangsa kemudian mengejutkannya dan apabila sedar mangsa mengadu mahu muntah dan meminta untuk duduk di atas kerusi di hadapan premis. Ketika duduk mangsa tercungap-cungap dan terus tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, orang ramai yang melihat kejadian membantu menghubungi ambulans dan pegawai perubatan yang tiba mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI