Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

17 Februari 2017

REPUBLIK INDONESIA HORMATI UNDANG-UNDANG MALAYSIA


INDONESIA : Polis Indonesia tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap wanita pemegang pasport negara itu yang ditahan berkaitan kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis republik itu Boy Rafli Amar berkata Indonesia menghormati proses undang-undang di Malaysia dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa negara berkenaan.

Kementerian Luar mengesahkan wanita yang ditahan itu, dikenali sebagai Siti Aishah, adalah rakyat Indonesia.

"Dari aspek perundangan, selagi tidak ada permohonan bantuan, kami menghormati proses hukum yang dijalankan terhadap warga negara kita di negara lain," katanya kepada pemberita seperti yang dipetik media dalam talian hari ini.

Kim Jong-nam yang dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970, sedang menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Isnin lalu apabila dikatakan seorang wanita menyerkup mukanya dengan kain mengandungi cecair beracun. 

Dia mati dalam perjalanan ke hospital Putrajaya. Selain Siti Aishah, polis turut menahan wanita pemegang pasport Vietnam.


Kes bunuh Kim Jong-nam: Kawalan pintu keluar masuk negara diperketat

Kawalan keselamatan pintu keluar-masuk di seluruh negara kini diperketat susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata langkah ini termasuk memperketat pemantauan dan kawalan keluar-masuk penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2.

Ini bagi mengelakkan kemungkinan terdapat suspek lain yang terlibat dengan pembunuhan kes ini daripada lari meninggalkan negara, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya pihak berkuasa sedang melihat kes ini daripada pelbagai sudut termasuk memberi tumpuan untuk mengesan sebarang suspek lain yang terlibat.

"Selain itu, kami sedang menunggu respons daripada Kedutaan Korea Utara di Malaysia berkaitan maklumat yang kami minta untuk membantu siasatan kes ini," katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan suspek lain masih berada dalam negara ini, beliau enggan mengulas dan sebaliknya berkata polis masih menyiasat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan berkata wanita kedua yang ditahan awal pagi ini berkaitan pembunuhan itu adalah pemegang pasport Indonesia bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992.

Tangkapan kedua itu susulan penahanan seorang suspek wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam, di klia2 pada pukul 8.20 pagi semalam.

Sementara itu, tinjauan Bernama di klia2 mendapati terminal udara yang dibuka pada 2014 itu sibuk dengan pergerakan penumpang tempatan dan luar negara sambil dipantau oleh anggota keselamatan.

Seorang anggota keselamatan yang ditemui berkata kes pembunuhan yang berlaku di lapangan terbang itu tidak menjejaskan prosedur keselamatan sedia ada kerana kawalan di terminal udara itu sememangnya sentiasa dipantau rapi.

"Setiap penumpang diperiksa secara teliti sebelum mereka memasuki pintu pelepasan sama ada penerbangan domestik atau antarabangsa," katanya yang enggan namanya didedahkan.

Di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL), sekumpulan 20 media asing dan tempatan masih lagi menunggu di kawasan itu bagi mendapatkan perkembangan terkini kes berkenaan yang mendapat perhatian antarabangsa.

Mayat Jong-nam selesai dibedah siasat petang semalam dan sehingga ini belum dapat dipastikan sama ada terdapat pihak menuntut mayatnya.
Jong-Nam, yang hidup terasing daripada adiknya Jong-Un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi Isnin lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 9 pagi.

Beliau dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dari klia2 setelah mengadu kurang sihat.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI