Seorang wanita tidak menyangka objek yang dilanggarnya merupakan jasad seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai sedang bermain kasut roda di kawasan perumahan Kampung Bukit Bayas, Pasir Panjang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, Siti Sakinah Zanudin, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis SUV KIA Sportage dipandu wanita berusia 64 tahun tiba di satu simpang sebelum membelok ke kiri untuk masuk ke halaman rumahnya.
“Setibanya di simpang kiri kawasan rumahnya, wanita yang datang dari arah Kampung Pasir Panjang terus membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan rumahnya serta mendakwa langsung tidak nampak kelibat mangsa ketika itu.
“Bagaimanapun, ketika sedang membelok, pemandu merasakan kenderaan dipandunya seperti bertembung sesuatu objek lalu memberhentikan segera kenderaan tersebut dan turun membuat pemeriksaan.
“Ketika itulah, pemandu terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak dipercayai anak jirannya yang masih berkasut roda terbaring di bawah kenderaan itu dalam keadaan dipenuhi darah di kepala,” katanya.
Jelas sumber, panik dengan situasi tersebut, pemandu cuba mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung yang berada berhampiran sebelum masing-masing membantu mengeluarkan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
0 comments:
Catat Ulasan