Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

7 Ogos 2017

AUTA SI PENDATANG ASING


Tindakan seorang lelaki enggan memberi kerjasama terhadap pihak berkuasa yang menahan adiknya membongkar pemilikan kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) palsu oleh lelaki warga Myanmar itu.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan bersama adiknya dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar pusat bandar raya, dalam operasi bersepadu selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini.

Lelaki Rohingya itu yang memiliki kad UNHCR dibebaskan manakala adiknya yang tidak memiliki dokumen diri ditahan JIM.

Bagaimanapun, lelaki itu terus memeluk adiknya yang dipercayai mengalami masalah mental dan tidak membenarkan anggota JIM menahannya.

Malah, lelaki itu meminta JIM menahannya juga dan akibat tindakan lelaki itu yang keterlaluan, pegawai JIM membuat pemeriksaan lebih rapi ke atas kad UNHCR miliknya.

Dengan menggunakan lampu ultra ungu, mereka mendapati kad UNHCR dimiliki lelaki itu palsu dan dua beradik itu ditahan dan digari bersama.

Meskipun selepas digari bersama, lelaki itu terus memeluk adiknya malah lelaki itu tidak membenarkan lelaki lembam itu duduk di atas lantai sebaliknya di atas ribanya sehingga dimasukkan ke dalam kenderaan penguat kuasa.

Selain tindakan lelaki itu, turut disaksikan gelagat warga asing yang lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali yang mengetuai operasi itu berkata, kawasan sekitar pusat bandar terutama Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Petaling dan Jalan Silang mendapat pelbagai jolokan seperti Jakarta Mini, Dhaka Mini (Bangladesh), Yangon (Myanmar), Karachi (Pakistan) selain turut mendapat jolokan bandar kedua Abuja (Nigeria) kerana hampir setiap hari dipenuhi warga asing.

Katanya, lambakan peniaga asing di ibu kota yang secara terang-terangan menjajah beberapa kawasan perniagaan utama.

Mustafar berkata, kebanyakan peniaga asing yang memiliki perniagaan di negara ini asalnya memasuki Malaysia dengan permit buruh, pelajar, pas lawatan sosial dan pegawai dagang.

Katanya, sikap segelintir peniaga tempatan ‘menjual’ lesen atau premis perniagaan selain menyewakannya menjadi punca utama lambakan peniaga warga asing di ibu kota.

Lebih mengecewakan, katanya, ramai dalam kalangan peniaga tempatan menjadi ‘ali baba’ selain sanggup melindungi warga asing.

“Sekarang mereka (peniaga asing) menjadi tauke di KL (Kuala Lumpur) manakala rakyat tempatan menjadi kuli mereka pula.

“Meskipun JIM menjalankan operasi dan tindakan berterusan namun jika timbul isu warga asing, jari dituding ke arah kami. Disebabkan itu, hari ini kami menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu bersama DBKL dan PDRM,” katanya selepas operasi berkenaan semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 765 warga asing di sekitar pusat bandar selama dua hari, pihaknya menahan seramai 210 warga asing termasuk seorang kanak-kanak.

“Daripada jumlah itu, 95 adalah warga Bangladesh, 56 Myanmar termasuk kanak-kanak lelaki itu, 22 Nepal, 16 India, lapan Indonesia, empat Pakistan, enam Filipina dan masing-masing seorang Sri Lanka dan Ghana.

“Operasi ini akan diteruskan secara bersepadu bagi memutuskan rantaian kesalahan. JIM bertekad untuk membersihkan negara ini daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI