Pengasas Valet Doa, Hasrin Harin, 40, tetap akan menjalankan perkhidmatan itu meskipun dikecam orang ramai.
Menurutnya, perkhidmatan membacakan doa di hadapan Kaabah diperkenalkannya itu bertujuan memudahkan individu mempunyai masalah tidak dapat pergi menunaikan umrah dalam masa terdekat.
"Ini termasuk individu yang tidak berkemampuan untuk pergi kerana halangan seperti sakit atau terbabit dalam kemalangan. Saya yakin perkhidmatan dengan dijalankan ini, saya bukan membawa orang ramai melakukan maksiat," katanya ketika ditemui di Shah Alam, hari ini.
Katanya, usaha dilakukan itu bukannya perkara main-main kerana jika dia berniat tidak baik sudah pasti akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak.
"Saya ajak orang berdoa ingat pada Allah. Perkhidmatan seumpama ini sebenarnya sudah lama dibuat namun tiada pihak melakukannya secara terurus atau mengiklankan perkhidmatan mereka. Bab doa termakbul yang saya nyatakan turut dirujuk daripada hadis sahih.
"Memang ada hadis menyatakan tempat tertentu apabila kita berdoa pasti dimakbulkan Allah SWT, terutamanya ketika berada di Makkah," katanya.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan khidmat Valet Doa itu.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, doa adalah permohonan seorang hamba kepada Allah SWT.
“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menyarankan umat Islam memberikan maklumat kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu demi menjaga kemaslahatan dan kesucian Islam.
Semalam, ramai pengguna di laman sosial melahirkan rasa kesal selepas menyaksikan kewujudan akaun Facebook menggunakan nama 'Valet Doa' diwujudkan bagi memperkenalkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah.
Ia menjadi tular dan mendapat kecaman netizen berikutan pemilik akaun Facebook menyediakan perkhidmatan dengan tawaran harga antara RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman.
Pakej Mengaji Dalam Jet Mewah RM33,400??
Mengaji al-Quran di awan biru. Itu pakej ditawarkan sebuah syarikat penerbangan yang menampilkan kelainan bagi mendekatkan golongan jutawan kepada Allah SWT.
Kelas mengaji al-Quran dalam jet mewah yang dikendalikan johan qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman itu hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Lebih menarik perhatian apabila orang ramai terkejut dengan caj yang dikenakan hampir mencecah AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi sejam penerbangan pada setiap Ahad manakala RM2,000 untuk mengaji di dalam jet tanpa diterbangkan ke mana-mana.
Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn Bhd Hani Salman Ahmad bersama rakan kongsinya Sharifah Khasif berkata, kelas itu bertujuan mempromosikan pesawat peribadi selain mahu pelanggan Elite Jets mendapat pengalaman bermakna dengan membaca al-Quran di awan biru.
“Mereka yang tidak mahu mengambil pakej penerbangan boleh memilih pakej belajar di dalam jet saja tanpa perlu terbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, program itu disediakan khusus untuk mereka yang berkemampuan atau jutawan bagi mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Sama saja seperti pakej umrah bersama selebriti yang ada sekarang. Contohnya, umrah bersama ustaz tersohor dengan bayaran pakej RM10,000,” katanya.
Menurutnya, pengajian bersama Sharifah Khasif percuma dan hanya dikenakan bayaran menyewa jet peribadi itu.
“Kos untuk menyewa jet peribadi mahal dan caj operasi setiap satu jam mencecah AS$5,000 (RM22,245) bagi kos minyak, permit, insurans dan kos penyelenggaraan.
“Kami beri pelanggan pengajian al-Quran percuma walaupun sekejap, tapi ilmu yang dimiliki lebih berharga dan tiada ternilai dan sebenarnya al-Quran kalamullah harus diangkat tinggi martabatnya di mana jua dan di mana saja,” katanya dipetik dalam Facebook Sharifah Khasif.
Menurutnya, ada sesetengah mereka sukar belajar al-Quran di tempat biasa dan perkhidmatan itu disediakan bagi memberi privasi serta pengalaman berada dalam pesawat peribadi.
“Setakat ini, kami menerima 100 pertanyaan. Ia bukan kerana wang disebabkan Sharifah Khasif juga mengajar golongan miskin secara percuma,” katanya.










0 comments:
Catat Ulasan