JOHOR : Lapan penunggang basikal yang maut dirempuh kereta dalam kemalangan maut di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Kampung Mahmoodiah di sini, pagi semalam, selamat dikebumikan di lima tanah perkuburan Islam, semalam.
Paling menyedihkan apabila jenazah Haizad Kasrin, 16, yang tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tengkorak, Permas Jaya, pada jam 5.30 petang dikebumikan bersebelahan rakannya karibnya yang juga rakan sekolah, Mohamad Azhar Amir, 16, yang dikebumikan jam 3 petang semalam.
Selain itu, jenazah Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14 dikebumikan berhampiran pusara Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14, di Tanah Perkuburan Bukit Aliff, Tampoi, di sini, selepas Zuhur.
Jenazah Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14 dan Muhammad Firdauz Danish M Azahar, 16, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini, selepas solat Asar.
Manakala jenazah Fauzan Halmijah, 13 tahun, dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram.
Mangsa terakhir, Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, di sini, selepas solat Asar.
Semua lapan mayat dituntut keluarga di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) bermula jam 1.20 tengah hari sebelum dibawa menaiki van jenazah ke tanah perkuburan.
SEMENTARA ITU Polis menafikan dakwaan kononnya wanita yang merempuh sekumpulan remaja lelaki berbasikal sehingga lapan dari mereka maut di Jalan Lingkaran Dalam dekat sini, awal pagi itu, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, siasatan telah dilakukan dan tiada elemen sedemikian ditemukan.
"Jika dia (mangsa terselamat) nampak, minta tampil beri statement (keterangan) pada polis," katanya kepada ketika dihubungi di sini.
Beliau diminta menggulas beberapa dakwaan oleh mangsa-mangsa terselamat dalam kejadian tersebut, yang memberitahu wanita berusia 22 tahun itu kononnya bermain telefon ketika sedang memandu.
Sulaiman juga meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat sahih berhubung kejadian berkenaan.
Menurut Sulaiman, wanita itu yang merupakan seorang jurujual baharu sahaja pulang dari rumah kawannya ketika kejadian.
Dalam kejadian 3 pagi itu, lapan remaja lelaki dilaporkan maut setelah dirempuh kereta yang dipandu wanita berkenaan, mengakibatkan empat lagi patah kaki, dua orang tidak stabil berikutan pendarahan dalam otak dan seorang pula luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.
Kejadian berlaku ketika kumpulan remaja berkenaan sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.
Menurut Sulaiman, tindakan mereka itu menyebabkan wanita itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan berkenaan.
0 comments:
Catat Ulasan