JOHOR : Pembantu sukarela di Tabika KEMAS Kampung Pengkalan Rinting di sini, melecur di muka dan kedua-dua tangannya dalam kebakaran di tabika itu yang dipercayai akibat letupan tong gas.
Dalam kejadian 3 petang itu, Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS), Fatin Farhana Abdullah, 44, yang baharu memulakan tugas pertengahan bulan ini di tabika berkenaan hadir untuk aktiviti gotong-royong sebelum kejadian itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Ibrahim Omar berkata, kebakaran yang membabitkan siling tabika itu dipercayai berpunca akibat kebocoran tong gas yang berada di bahagian dapur premis berkenaan.
Katanya, tong gas yang dipercayai tidak ditutup itu kemudian meletup apabila dapur gas cuba dihidupkan bagi aktiviti memasak air.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan oleh Jabatan Forensik Bomba dari Ibu Pejabat negeri dan anggaran kos kerugian juga belum dapat ditentukan.
"Ketika dua jentera dengan kekuatan 16 anggota dari BBP Johor Bahru tiba di lokasi kejadian pada jam 3.14 petang, api sudah dipadamkan orang awam dan mangsa juga sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan