TERENGGANU : Seorang lelaki terkejut apabila menemui rangka manusia di sebuah kebun getah Bukit Kudu, Alor Limbat, Bukit Payong di sini, kelmarin.
Rangka manusia dipercayai milik lelaki berusia 50-an itu ditemui penduduk ketika mahu ke kebun sawit miliknya yang terletak berhampiran lokasi kejadian, jam 10 pagi.
Menurut sumber, lelaki terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakannya sebelum kedua-dua mereka menghampiri kebun getah itu untuk melihat lebih lanjut rangka manusia itu.
Katanya, lelaki terbabit kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan itu sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan berhubung penemuan rangka yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui sebuah basikal, baju-T hitam merah, kopiah dan sepasang selipar dipercayai milik mangsa.
“Rangka kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, beberapa penduduk memaklumkan melihat mangsa kira-kira sebulan lalu berdasarkan basikal dan mangsa dipercayai seorang lelaki kurang siuman.
Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
Beliau berkata, siasatan awal tidak menemui unsur jenayah, namun siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa.
“Hasil semakan laporan orang hilang sebelum ini, kita tidak menerima sebarang laporan berdasarkan pakaian dan barangan yang ditemui bersama mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga tampil ke Balai Polis Bukit Payong atau menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
0 comments:
Catat Ulasan