Rodrigo Duterte menembak mati seorang pegawai jabatan kehakiman dan mengarahkan pembunuhan musuhnya, kata seorang bekas anggota skuad pembunuh kepada Parlimen semalam sekali gus dakwaan mengejutkan terhadap Presiden Filipina itu.
Lelaki tersebut memberitahu sebuah inkuiri Senat bahawa dia dan sekumpulan anggota polis dan bekas pemberontak komunis membunuh kira-kira 1,000 orang dalam tempoh lebih 25 tahun atas arahan Duterte.
Seorang daripada mereka diberi makan kepada seekor buaya secara hidup-hidup. Ramai lagi dijerut, dibakar, dikerat dan ditanam di sebuah kuari milik seorang anggota polis yang merupakan anggota skuad pembunuh tersebut. Sebahagian yang lain dicampak ke laut untuk dimakan oleh ikan.
Bekas pembunuh upahan, Edgar Matobato (gambar kecil), 57, membuat dakwaan itu di hadapan Senat yang menyiasat tuduhan pembunuhan di luar undang-undang semasa kempen Duterte untuk membanteras jenayah.
Polis berkata, perang jenayah Duterte meragut 3,140 nyawa sepanjang 72 hari beliau memerintah Filipina.
Senator Leila de Lima yang ketika itu mengetuai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia memberitahu Senat bahawa Matobato menyerah diri kepada badan siasatan tersebut pada 2009 dan menyertai skim perlindungan saksi sehinggalah baru-baru ini.
Jurucakap Duterte, Martin Andanar berkata, semua dakwaan Matobato telah disiasat tanpa sebarang pendakwaan dikemukakan, manakala anak lelakinya, Paolo Duterte menganggap keterangan itu “hanya cakap-cakap orang gila”.
Matobato berkata, pada 1993 dia dan anggota skuad pembunuh itu sedang dalam misi apabila mereka menghampiri sebuah kenderaan yang menghalang sebatang jalan di Davao. Kenderaan itu milik seorang ejen Biro Siasatan Nasional di bawah Jabatan Kehakiman.
Konfrontasi tercetus antara mereka yang membawa kepada insiden berbalas tembakan. Ejen itu cedera dan kehabisan peluru. Menurut Motabato, Duterte yang ketika itu Datuk Bandar Davao kemudian tiba di lokasi kejadian.
“Duterte merupakan orang yang membunuhnya. Jamisola ( ejen tersebut) masih hidup semasa Duterte tiba. Beliau menembak Jamisola bertubi-tubi menggunakan mesingan Uzi,” katanya.
“Saya tidak membunuh sesiapa kecuali diarahkan oleh Charlie Mike,” tambahnya, merujuk kepada kod nama Duterte yang digunakan skuad pembunuh itu.
Keterangan Matobato mendedahkan dengan terperinci tentang dakwaan bahawa Duterte merupakan dalang di sebalik skuad pembunuh itu yang membunuh lebih 1,000 orang di Davao.
“Kerja kami ialah membunuh penjenayah, perogol, penjual dadah dan peragut. Inilah apa yang kami lakukan. Kami membunuh orang hampir setiap hari.
“Penduduk Davao disembelih seperti ayam,” jelas Matobato sambil menambah, skuad pembunuh itu membunuh suspek penjenayah dan musuh peribadi keluarga Duterte antara 1998 hingga 2013. – AFP
0 comments:
Catat Ulasan