Seorang wanita peniaga kedai makan berdekatan simpang Y Kampung Teluk dekat sini maut selepas dilanggar ketika cuba menyelamatkan anak kucingnya di tengah jalan kira- kira jam 8.50 malam semalam.
Menurut saksi yang enggan dikenali, wanita berusia sekitar 50-an itu dikatakan dilanggar sebuah pacuan empat roda berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran negeri Johor.
Mangsa, Nik Yam Nik Lah, 53, beralamat di Kota Bharu adalah seorang peniaga kedai makan di simpang tiga Y di Kampung Teluk sejak dua bulan lalu.
“Masa tu pacuan empat roda itu cuba memotong kereta saya di selekoh simpang Y dan ketika itulah dia melanggar mangsa. Saya berhentikan kereta di tepi dan lihat seorang wanita terbaring di tengah jalan.
“Pacuan empat roda itu terus melarikan diri masuk ke arah perumahan kos rendah di lorong berdekatan. Nombor plat yang patah di jumpai di kawasan itu rasanya bukan milik pacuan empat roda itu sebab nombor itu bukan plat Johor,” katanya.
Manakala, seorang penduduk pula berkata, anak mangsa memaklumkan ibunya tergesa-gesa melintas jalan kerana ingin mengambil anak kucing mereka yang berada di tengah jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kes berkenaan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan Isuzu D- max itu sudah membuat laporan di balai polis jam 1 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments:
Catat Ulasan