PUTRAJAYA : Jabatan Imigresen Malaysia menafikan laporan yang mendakwa ada kejadian tahanan didera sehingga meninggal dunia di sebuah pusat tahanan Imigresen di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dakwaan itu tidak benar.
"Ya, pihak kami ambil maklum dan telah menyiasat dakwaan itu namun, ia tidak benar," katanya ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai siasatan lengkap kejadian itu tidak lama lagi.
Sebuah akhbar Kemboja, The Cambodia Daily, melaporkan dua wanita rakyat negara itu mendakwa mereka menyaksikan tahanan di Pusat Tahanan Imigresen Juru didera dengan teruk sehingga ada yang meninggal dunia.
Akhbar itu melaporkan kedua-dua wanita berkenaan dihantar pulang dari Malaysia oleh pertubuhan hak buruh Kemboja, Central.
0 comments:
Catat Ulasan