Seorang remaja terbunuh manakala sepupunya parah ditembak ketika bermain Pokemon Go di Guatemala.
Jerson Lopez de Leon, 18, mati selepas dia dan sepupunya, Daniel Moises Picen, 17, diserang hendap di jalan raya di bandar Chiquimula.
Hampir 20 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, tempat dua sepupu itu mencari makhluk maya permainan terbabit.
Menurut laporan media, de Leon dan Picen berjalan menyusuri landasan kereta api lama sebelum tiba-tiba dihujani peluru dari sebuah kenderaan yang lalu di situ.
Polis kini memburu kumpulan yang menaiki kenderaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertanian yang dilihat meninggalkan tempat kejadian.
Punca kejadian tidak diketahui, tetapi polis mengesyaki ia cubaan merompak telefon bimbit mangsa.
Satu lagi teori ialah seorang daripada mangsa itu memang diburu penyerang mereka dan dijejaki menggunakan GPS telefon bimbitnya.
De Leon meninggal dunia di hospital manakala sepupunya masih dirawat kerana kecederaan akibat ditembak pada kakinya.
Ibu de Leon, Rosalinda berkata: “Saya tidak tahu kenapa dia keluar rumah. Setahu saya, dia sudah masuk tidur, tetapi sepupunya menghantar mesej pesanan ringkas memintanya keluar dan memuat turun permainan beberapa blok dari kediaman kami.”
Pokemon Go menyebabkan beberapa masalah di beberapa negara sejak dilancarkan.
Selasa lalu, anggota penyelamat dipanggil membantu 20 remaja yang terkandas di tengah tasik selepas mencuri bot ketika bermain permainan itu. - Agensi
0 comments:
Catat Ulasan