JERMAN : Sepuluh orang maut termasuk suspek dalam satu insiden tembakan melibatkan seorang penembak di sebuah kompleks beli-belah di Munich, Jerman.
Insiden pada jam 6 petang waktu Jerman itu turut mengakibatkan 10 orang tercedera. Menurut polis, suspek telah menembak mati sembilan mangsa sebelum menembak dirinya sendiri.
Sebelum itu, sistem transit dalam bandar dihentikan buat sementara dalam usaha menjejaki suspek. Orang ramai juga telah dinasihatkan untuk mengelakkan daripada berada di tempat awam.
Sebuah rakaman video yang tersebar di internet menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam bertindak menembak berdekatan sebuah restoran McDonalds.
Dalam satu kenyataan, polis Munich berkata sehingga kini, masih belum dapat dipastikan sejauh mana mangsa cedera dalam insiden terbabit.
Suspek insiden tembakan di sebuah pusat beli belah di bandaraya itu merupakan seorang remaja lelaki Jerman kelahiran Iran.
"Suspek merupakan remaja berumur 18 tahun berbangsa Jerman-Iran dari Munich. Motif atau penjelasan tentang kejadian jenayah ini masih tidak jelas," kata ketua polis Munich, Hubertus Andrae.
Menurutnya, suspek telah melepaskan tembakan di pusat beli belah dan restoran makanan segera McDonald's berhampiran sebuah stadium Olimpik sebelum menembak mati dirinya sendiri.
Andrae berkata, suspek yang mempunyai dua kerakyatan itu tidak mempunyai rekod jenayah. Mayat suspek juga dijumpai kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Dalam insiden pada 6 petang waktu Jerman itu, seramai 10 orang maut, termasuk suspek manakala 23 lagi cedera dalam insiden melibatkan seorang penembak.
Menurut polis lagi, 16 masih dirawat di hospital dan tiga mengalami cedera parah.
0 comments:
Catat Ulasan