Seorang warga emas terperangkap dalam lumpur selama 12 jam ketika cuba mengutip botol air untuk dijual.
Dalam kejadian di Sunfu, Xuancheng di wilayah Anhui, lelaki berusia 70 tahun itu yang dikenali sebagai Ren mencari rezeki dengan mengutip barangan boleh dikitar semula.
Malangnya dia terperangkap di dalam dasar sungai berlumpur ketika cuba mencapai satu botol kosong dan ditemui pada keesokannya oleh orang ramai yang ternampak dua tangannya terjulur.
Menurut saksi, badan dan wajahnya tidak dapat dilihat, tetapi dua tangannya bergerak perlahan seolah-olah meminta bantuan.
Pihak berkuasa mengambil masa sejam dengan dibantu dua orang awam untuk mengeluarkannya dari dalam lumpur. Selepas berjaya dibawa ke darat, Ren dikeringkan sebelum dibawa ke hospital.
Seorang anggota polis yang memberi bantuan berkata: “Lelaki itu hanya mampu terbaring dan menggeletar. Dia langsung tidak boleh bercakap.”
Keadaannya kini dilaporkan stabil. Pihak berkuasa berkata, Ren amat bernasib baik kerana ketika itu tiada hujan yang boleh menyebabkan paras air naik dan memenuhi sungai berkenaan.
0 comments:
Catat Ulasan