Empat ekor gajah, termasuk dua ekor anaknya, telah terbunuh gara-gara disambar kilat di utara Sri Lanka melakar satu tragedi hidupan liar yang paling teruk melanda negara itu.
Menurut pegawai rasmi negara itu, seekor gajah betina berusia lingkungan 25 tahun bersama dua anaknya yang berumur 10 bulan dan dua tahun dan seekor lagi gajah betina berusia lapan tahun ditemui mati pada Ahad di luar kawasan perlindungan hidupan liar Wilpattu.
"Penduduk kampung dari kawasan tersebut memaklumkan mengenai tragedi berkenaan kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan bedah siasat mendapati kematian disebabkan dipanah kilat," kata doktor veterinar hidupan liar Chandana Jayasinghe.
Dilaporkan ketika kejadian, Mahavilachchiya yang terletak di utara Colombo dilanda hujan kilat.
Ia adalah bencana alam yang paling teruk yang melibatkan gajah sejak kejadian empat ekor anak gajah lemas dalam banjir besar di timur laut negara ini pada Februari 2011.
Gajah adalah haiwan yang sangat dihormati di negara tersebut terutamanya penganut Buddha dan merupakan spesies yang sangat dilindungi. Kematian gajah wajib disiasat dan sijil kematian perlu dikeluarkan sebelum melupuskan bangkai.
Namun begitu, di sebalik undang-undang yang ketat oleh persatuan haiwan di sana, hamper 200 ekor gajah dibunuh setiap tahun oleh penduduk kampung setelah haiwan itu secara tidak sengaja sesat ke ladang.
Manakala spesis itu sendiri menyebabkan kira-kira 50 manusia terbunuh setiap tahun. Setakat ini, populasi gajah di Sri Lanka telah berkurangan kepada hanya 7,000 ekor dalam bancian yang diadakan lima tahun lalu, dari populasi 12,000 ekor pada permulaan abad ke-20.
0 comments:
Catat Ulasan