Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan kerajaan yang membekukan pengambilan semua pekerja asing ke Malaysia, termasuk dari 1.5 juta dari Bangladesh.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan itu perlu disusuli dengan inisiatif kerajaan untuk menguar-uarkan kekosongan tenaga kerja yang diperlukan pihak industri kepada rakyat tempatan berikutan banyak peluang pekerjaan hanya dimaklumkan terus kepada ejen pekerja asing.
“Kami amat mengalu-alukan dan bersetuju dengan langkah kerajaan itu. Dalam masa sama, kerajaan perlu memaklumkan kekosongan yang diperlukan industri mengikut bidang tertentu, selama ini tak pernah diberitahu (kepada rakyat tempatan).
“Apa salahnya industri ini beritahu kerajaan, iklan berapa ramai nak pakai, saya yakin mereka akan datang, tetapi perkara ini sebenarnya tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang membuat keputusan untuk menangguh pengambilan pekerja asing ke negara ini termasuk 1.5 juta dari Bangladesh, berkuatkuasa serta-merta.
Beliau berkata, majikan kini digalakkan lebih mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding pekerja asing.
Mengulas lanjut, Azih juga mendakwa keengganan pemain industri mengiklankan jawatan kosong dalam tiga bidang iaitu bahaya, kotor dan sukar secara terbuka menjadi punca sebenar rakyat tempatan dipinggirkan dan dimonopoli orang asing.
“Kalau nak ambil pekerja tempatan, dia kena buat iklan, kena buat tapisan, kena temubual, jadi semua ini remeh kepada mereka, ini punca sebenarnya, bukan sebab orang tempatan tak nak bekerja, industri sendiri tak ambil orang tempatan.
“Kita minta supaya kerajaan di bawah program melatih orang tempatan ini untuk memasuki bidang yang diperlukan (industri),” ujarnya.
Dalam pada itu, Azih berkata lagi, pemain industri didakwa lebih gemar mengambil pekerja asing berbanding rakyat tempatan supaya mereka boleh mengaut keuntungan tinggi dari segi mengekalkan bayaran upah yang minimum setiap tahun.
“Bila kerajaan melaksanakan penswastaan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamed melibatkan Alam Flora dan syarikat perkhidmatan kutipan sisa pepejal lain di seluruh negara, yang bekerja dalam sektor ini telah berubah dari 100 peratus orang kita kepada pekerja asing.
“Kita nampak (industri) nak untung lebih banyak, sebab orang asing gajinya kecil, dia boleh bayar kecil, habis setahun, dia tukar orang baru, gaji asal balik, ini nak mengekalkan keuntungan.
''Kemudian dia tahu sifat-sifat orang tempatan susah sikit (tindas) berbanding orang asing ini,” katanya lagi.
Penggantungan pengambilan pekerja asing itu berkuatkuasa sementara kerajaan mengkaji semula program levi dua peringkat untuk pekerja asing.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pekerja asing tanpa izin yang sedia ada di negara ini akan ditahan dan dihantar pulang.
Kelmarin, Bangladesh dan Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.
0 comments:
Catat Ulasan