Bukit Kayu Hitam: Seorang wanita warga Thailand sanggup membayar RM300 untuk mendapatkan cop keselamatan imigresen palsu melalui ejen bagi memudahkannya keluar dan masuk ke negara ini.
Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 28 tahun itu berjaya dikesan anggota imigresen yang bertugas ketika wanita terbabit melalui pemeriksaan untuk keluar ke Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (KIK), di sini, pada jam 4 petang kelmarin.
Pengarah Imigresen negeri Mohamad Yusri Hashim berkata, pihaknya mengesan terdapat keraguan pada cop keselamatan imigresen bertarikh 26 Oktober lalu yang dikeluarkan di KIK Bukit Kayu Hitam.
Menurutnya, semakan pada dokumen wanita itu mendapati dia keluar dari negara ini pada 24 Oktober sebelum kembali semula memandangkan tempoh pas lawatan yang dikeluarkan sudah tamat tempoh.
Katanya, wanita itu didapati berkahwin dengan warga tempatan dan menerima pas lawatan sosial jangka panjang.
“Dia mendakwa memperoleh cop keselamatan imigresen itu daripada seorang ejen yang menawarkan khidmat terbabit ketika berada di Thailand dengan hanya membayar sebanyak RM300.
“Wanita ini bersendirian ketika pemeriksaan dijalankan ditahan selepas mendapati terdapat cop keselamatan imigresen palsu pada dokumen perjalanan miliknya,” katanya.
Mohamad Yusri berkata, wanita itu akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut.
0 comments:
Catat Ulasan