TURKI : Dua jet pejuang F-16 milik Turki menembak jatuh sebuah pesawat tempur Sukhoi-24 buatan Rusia yang menceroboh ruang udara negaranya berhampiran sempadan Syria semalam, kata seorang pegawai Turki.
Insiden itu akan mencetuskan ketegangan terbaharu apabila sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menembak jatuh jet Rusia buat kali pertama sejak tahun 1950-an.
Imej stesen penyiaran swasta Turki, Haberturk TV menunjukkan pesawat Sukhoi-24 itu terhempas dan terbakar di kawasan pergunungan Turkomen.
Agensi berita Anadolu turut menyiarkan imej yang menunjukkan dua juruterbang pesawat Rusia itu keluar dari pesawat dengan menggunakan payung terjun sebelum ia terhempas.
Bagaimanapun, Rusia mendakwa pesawat tersebut masih berada di ruang udara Syria dan bukannya Turki.
“Sebuah pesawat Sukhoi-24 milik tentera Rusia terhempas di Syria. Ia berada pada ketinggian 6,000 meter ketika ditembak,” menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia.
0 comments:
Catat Ulasan