SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar menyegerakan ekstradisi blogger kontroversi Alvin Tan ke Malaysia.
Abdul Rani berkata, dengan cara itu sahaja membolehkan polis membuat tangkapan terhadap Alvin, sekaligus membolehkan dibicarakan mengikut undang-undang negara.
"Kalau pihak berwajib hendak menangkap Alvin ia boleh dilakukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya mempunyai hubungan baik dengan Interpol Amerika Syarikat , jadi sudah tentu tangkapan Alvin boleh dilakukan," katanya kepada Sinar Online.
Dalam pada itu, Abdul Rani berkata, kalau dia diberi kesempatan dia sanggup ke Amerika Syarikat untuk menjejaki Alvin.
"Jangan sampai ayah ke AS cari Alvin," katanya seloroh.
Sementara itu, Abdul Rani berkata MJMM akan membuat satu laporan polis terhadap Alvin pada esok hari.
"MJMM akan buat laporan polis di Ibu Pejabat Dang Wangi, isu Alvin menghina kalimah ALLAH, pada 8 September ini (esok) jam 11:30 pagi," katanya.
Terdahulu Exco Pemuda Umno bersama NGO Pemikir Muda Malaysia baru-baru ini telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan meminta kerajaan mengekstradisi segera Alvin Tan ke Malaysia.
Selain itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Alvin sebelum ini. Namun sehingga kini Alvin masih bebas di Amerika Syarikat.
0 comments:
Catat Ulasan