Kota Kinabalu : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah terus membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan terbabit gegaran bagi memastikan tiada mangsa cedera atau terperangkap.
Antara kawasan terbabit gegaran ialah sekitar daerah Ranau, Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang dan Kudat.
Ketua Perhubungan Awam JBPM Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, gegaran yang kuat berlaku di daerah Ranau mengakibatkan keretakan pada sebahagian bangunan kerajaan dan premis perniagaan.
"Pasukan Bomba bertindak memantau dan membuat rondaan sekitar pekan Ranau bagi memastikan tiada mangsa yang cedera atau yang terperangkap.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) sudah mengarahkan jentera Bomba di setiap daerah yang mengalami gegaran membuat pemantauan dan rondaan bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal," katanya.
INFORMASI PALSU - Tiada sebarang cuti umum diumumkan kerajaan negeri akibat gempa bumi yang berlaku jam 7.15 pagi tadi.
Pejabat Akhbar dan Penerbitan Jabatan Ketua Menteri dalam satu kenyataan mengesahkan berita yang tersebar di laman sosial adalah palsu.
"Berita yang tersebar menyatakan cuti umum di Sabah melalui laman sosial sejak pagi tadi akibat gegaran gempa bumi adalah palsu.
"Justeru pihak kami meminta agar penyebaran berita palsu ini dihentikan," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan