Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

5 Jun 2015

TUN BERANG NAJIB LARI DARI SELESAI MASALAH


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa lari dari peluang berharga apabila beliau gagal muncul pada program dialog untuk menjelaskan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika Najib hadir  dan menjelaskan isu tersebut, beliau dapat memulihkan sokongan rakyat terhadapnya termasuk ahli parti.

"Dia (Najib) hilang peluang untuk memenangi semula sokongan kepada dirinya sendiri, jelaskan semua perkara, tiada duit yang hilang, apa yang hilang itu benar, sini peluangnya, tapi dia hilang peluang itu," katanya kepada pemberita selepas Dialog PM bersama NGO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ketidakhadiran Najib pada program berkenaan skandal pelaburan oleh 1MDB anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mendakwa kegagalan Bank Negara Malaysia dalam menjelaskan 'kehilangan' dana RM42 bilion menguatkan andaian bahawa 1MDB merahsiakan sesuatu.

"Semua ini berlaku secara pelik, disembunyi, rahsia, termasuk Bank Negara berasa tidak dapat menjelaskan perkara ini kerana rahsia.

"Semua ini nampak sangat pelik, orang yang buat laporan, orang itu yang kena siasat, bukan subjek itu disiasat, orang yang buat laporan itu dianggap sebagai penjenayah. Ini pelik di negara kita tak patut berlaku," ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Dr Mahathir lagi, kegagalan Najib itu juga tidak membantu memulihkan keyakinannya terhadap Presiden Umno itu malah jauh sekali untuk menyokongnya.

"Saya datang ke sini untuk mendengar penjelasan, saya harap penjelasan dia bagus supaya kita boleh terus sokong dia.

"Oleh kerana dia tak datang dan menjelaskan (1MDB), saya tak boleh sokong dia," jelasnya.

Ketika ditanya jika Dr Mahathir diberi peluang sekali lagi untuk bersemuka dengan Najib secara berdebat, beliau berkata, ia peluang terbaik kepadanya.

"Kalau saya diberi peluang (debat), saya amat berbesar hati," katanya lagi.


"BELIAU AKAN DI LABEL SEBAGAI PENGECUT"

Lebih 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri Program Dialog Bersama PM hampa apabila program tersebut dibatalkan saat akhir.

Seawal jam 8 pagi, peserta mendaftarkan diri di kaunter sebelum pintu dewan Tun Hussin Onn, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) yang dikawal anggota Rela.

Tidak lama kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twiternya memaklumkan program itu dibatalkan atas faktor keselamatan.

Status Khalid itu kemudiannya tersebar di dalam dewan dan pengacara majlis, Fiza Shabjahan dan Saiful Nizam Ismail cuba menenangkan peserta yang hadir.

Pada jam 10 pagi, penganjur Pengerusi Sukarelawan Guaman, Datuk Khairul Anwar masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status program tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya dijadualkan tiba pada jam 9 pagi tidak kelihatan.

Sekitar 10.20 pagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memasuki dewan diiringi oleh media dan penyokongnya yang melaungkan "Hidup Tun".

Ahli Gabungan Bekas Pemuda Umno, Noorfaadi Ahmad Din berkata, dia hampa program itu dibatalkan.

"Saya tidak dapat masuk ke dalam dewan kerana ada kekecohan yang berlaku," katanya.

Menurutnya, sepatutnya program ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendengar penjelasan daripada Najib.

"Bagi beliau peluang untuk bercakap supaya isu yang timbul dapat diterangkan," katanya.

Dia berkata, Najib seharusnya diberi peluang untuk mentadbir negara.

"Sekiranya beliau ada melakukan kesalahan, Najib perlu betulkan," katanya.

Presiden Kelab Belia Bintang Terbaik Kajang, Devendran berkata, tujuannya hadir adalah untuk berjumpa dan bertanyakan beberapa soalan kepada Najib.

"Saya kecewa beliau tidak datang kerana majlis ini dibatalkan," katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Zaini Zakaria berkata, ketidakhadiran Najib ke majlis itu boleh menimbulkan tanggapan negatif.

"Beliau akan dilabel pengecut. Tindakan ini membuatkan masyarakat tidak percaya kepadanya," katanya.
Share:

Related Posts:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI