Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 17 hari lalu akhirnya terjawab apabila pesawat tersebut disahkan terhempas di tengah Lautan Hindi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesawat malang itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal terhempas di kawasan barat Perth, Australia di Lautan Hindi.
Menurut beliau, pengumuman tersebut dibuat berdasarkan rumusan Cawangan Siasatan Udara United Kingdom (AAIB).
"Malam tadi saya telah diberi penerangan oleh wakil AAIB bahawa syarikat pengendali satelit Inmarsat telah membuat perkiraan terhadap data menggunakan kaedah analisis yang pertama kali dilakukan.
"Berdasarkan analisis tersebut, AAIB dan Inmarsat telah membuat kesimpulan bahawa MH370 telah terbang melalui Koridor Selatan dan lokasi terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi yang tidak memungkinkan ia mendarat kerana tidak terdapat sebarang landasan kapal terbang.
Keluarga mangsa MH370 meraung
BEIJING - Ahli-ahli keluarga penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di China meraung dan meratap kesedihan selepas dimaklumkan kapal terbang yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di Lautan Hindi, lapor Sky News semalam.
Seorang ahli keluarga penumpang dilihat menangis selepas mengetahui berita itu diumumkan di televisyen dan dia juga terpaksa dipapah keluar oleh orang ramai.
Seorang lagi waris penumpang yang sedang menangis terjatuh di eskalator selepas mendengar berita tersebut di Hotel Lido di sini di mana semua ahli keluarga penumpang berkumpul.
Seorang saksi berkata, dia melihat beberapa waris penumpang menangis dan ada antara mereka menenangkan ahli keluarga masing-masing serta ada seorang wanita yang meraung selepas mendengar berita itu.
Pihak MAS menyatakan, ia kini membuat rumusan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa pesawat MH370 telah hilang dan tiada mangsa yang terselamat.
Pengumuman itu yang dihantar kepada anggota keluarga penumpang dan kru MH370 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dilihat oleh wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Penerbangan MH370 milik MAS yang membawa 239 orang hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Seorang wanita pengsan dan melutut sambil menangis dengan berkata: "Anak saya! Anak saya".
Anggota-anggota pasukan perubatan tiba di hotel tersebut dengan beberapa pengusung.
Seorang lelaki tua turut dibawa keluar dari bilik persidangan setelah pengumuman menerusi televisyen tersebut manakala muka lelaki itu ditutup dengan jaket.
Beberapa minit kemudian seorang wanita pertengahan usia dibawa keluar dengan dengan satu lagi pengusung, mukanya pucat dan mata wanita itu merenung ke arah lain.
Ramai di antara mereka enggan bercakap dengan wartawan yang berkumpul di hotel berkenaan.
Sebahagian ahli keluarga memarahi petugas media yang merakam situasi di situ.
Beberapa pengawal keselamatan menghalang seorang lelaki yang menendang seorang jurukamera televisyen dan menjerit: "Jangan rakam, aku pukul sampai mati!"
Dalam satu kenyataan yang dikirim MAS kepada keluarga menyatakan: "Kami terpaksa membuat andaian pesawat itu telah hilang."
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang yang menaiki kapal terbang itu.
Bagaimanapun, ketiadaan bukti kukuh telah mencetuskan banyak spekulasi dan teori konspirasi serta menyebabkan keluarga mangsa merana.
Beberapa teori utama termasuklah rampasan, sabotaj oleh juruterbang atau krisis di udara yang menyebabkan kru penerbangan tidak sedarkan diri dan menyebabkan pesawat itu terbang menggunakan alat automatik sehingga kehabisan minyak.
0 comments:
Catat Ulasan