INSIDEN kematian membabitkan enam remaja ekoran dipercayai mengambil dadah sintetik secara berlebihan di konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu menggemparkan negara.
Selain enam remaja berkenaan, tiga individu lain juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pengambilan bahan terlarang tersebut.
Jumlah mangsa yang menerima rawatan di beberapa hospital sekitar ibu negara juga dilaporkan meningkat kepada 14 orang dengan sembilan daripadanya warga Singapura manakala empat lagi masing-masing rakyat Malaysia, Taiwan, Iran dan Myanmar.
Dadah baharu
Berikutan kejadian tersebut, polis membatalkan serta-merta kemuncak konsert berentak disko itu yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu lalu.
Kes sebegini turut dilaporkan berlaku di luar negara.
Di Britain, lebih 100 remaja terpaksa menerima rawatan ketika penganjuran konsert DJ Hardwell yang berlangsung pada 6 Februari lalu di Royal Highland Centre di Edinburgh, Belfast.
Rata-rata mangsa jatuh sakit berpunca daripada penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Menurut portal berita The Herald, konsert yang dijangka menerima 7,500 pengunjung itu turut dibatalkan atas faktor keselamatan.
Selain itu, festival muzik Electric Zoo yang berlangsung pada di Randall's Island, New York, Amerika Syarikat (AS) turut dibatalkan pada hari terakhir penganjurannya berikutan kematian dua pengunjung akibat pengambilan dadah secara berlebihan.
Empat individu lain turut dimasukkan ke hospital atas sebab yang sama.
Datuk Bandar Manchester, Ted Gatsas menerusi portal The Boston Globe berkata, kematian dua individu terbabit dikaitkan dengan pengambilan pil ekstasi dan dadah dalam bentuk serbuk putih yang dipanggil ‘Molly’.
Ia dipercayai dadah campuran ekstasi dengan bahan kimia lain seperti amphetamine dan kokain.
Empat lagi dimasukkan ke hospital atas sebab yang sama.
Dalam insiden yang berlaku di FMFA, siasatan polis mendapati beberapa jenis dadah disyaki dibawa masuk dari luar negara dan diagihkan ketika konsert berlangsung.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dadah baharu itu didapati baru saja berada dalam pasaran Malaysia dipercayai awal tahun ini dan kemungkinan masih dalam peringkat ujian oleh sindiket dadah.
“Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis ekstasi, methampetamine dan amphetamine.
“Kami sedang menunggu laporan kimia untuk dibandingkan dengan pil ekstasi yang ada di negara ini sama ada ia mempunyai kandungan ekstasi yang sama atau menggunakan bahan-bahan baharu,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber polis, tindak balas dadah baharu itu boleh membawa maut apabila dicampur dengan dadah-dadah lain seperti eramin 5, ekstasi dan ketamin.
Menurutnya, mereka yang mengambil dadah itu juga dikatakan akan mengalami peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga boleh mengakibatkan tidak sedarkan diri di samping keluar darah menerusi hidung dan telinga.
“Kesan dadah ini di kawasan yang sesak seperti di stadium menyebabkan badan menjadi panas, kekejangan, mulut berbuih dan mangsa-mangsa mati dalam keadaan mata terbeliak.
“Pun begitu, kesan pengambilan dadah baharu itu terhadap individu berbeza-beza kerana bergantung kepada tahap kesihatan seseorang,” ujarnya.
Pencegahan
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye meminta para penganjur menitikberatkan langkah pencegahan penyalahgunaan dadah ketika menganjurkan konsert bertaraf antarabangsa.
“Saya memandang serius terhadap apa yang berlaku pada FMFA 2014 dan meminta para penganjur konsert untuk mengambil iktibar daripada kejadian ini.
“Setiap pihak penganjur perlu ambil berat mengenai kawalan penyalahgunaan dadah pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan insiden sedemikian berlaku pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara langkah yang akan diambil ialah mengadakan program khidmat masyarakat bagi menangani penyalahgunaan dadah.
“Tidak ada kewajaran untuk menyekat konsert sebegini pada masa akan datang, kita kena faham walaupun tahap penguatkuasaan dan keselamatan ditingkatkan namun perlu ada kesedaran dalam diri sendiri terlebih dahulu.
“Penonton konsert juga boleh mengambil dadah di luar premis sebelum ke konsert. Jadi kita perlu mengajar dan mendedahkan anak-anak muda kepada bahaya penggunaan dadah,” jelasnya.
Petikan Dari Akhbar Tempatan.
0 comments:
Catat Ulasan