Kemunculan Diana Danielle bersama anaknya, Muhammad yang kini berusia sembilan bulan pada majlis sidang media Tayangan Amal Khas & Mini Karnival filem animasi SuperSquad di UNITAR International University, Kelana Jaya, baru-baru ini, menarik kehadiran ramai.
Awalnya jurugambar media sendiri tidak melepaskan peluang merakam gambar mereka. Bagaimanapun, selepas tidak selesa dengan keadaan itu, Diana segera mengarahkan adik iparnya, Fadzil Zahari membawa Muhammad keluar.
Diana, 23, akui sedar mengenai kehadiran pihak media pada majlis berkenaan, bagaimanapun dia tiada pilihan kerana pengasuhnya bercuti pada hari itu.
“Pengasuh saya bercuti pada Sabtu dan Ahad membuatkan saya terpaksa membawa Muhammad bersama. Sepatutnya Farid menjaganya tapi dia pula demam.
“Nak tak nak saya kenalah bawa anak saya bersama. Terus terang saya akui kurang selesa apabila Muhammad jadi tumpuan media. Saya nak gambar yang keluar itu biarlah menerusi persetujuan bersama dengan Farid.
“Bukan sengaja saya tak benarkan, tapi apa yang dibuat berdasarkan pengalaman saya. Ada setengah media yang faham dan ada juga yang susah bertolak ansur. Inilah yang membuatkan saya kadangkala rasa serba salah,” katanya dengan jujur.
Diana yang berkahwin dengan Farid pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo Ampang memberitahu, mereka sememangnya merancang untuk memperkenalkan Muhammad secara rasmi kepada media apabila sampai masa.
Bagaimanapun perkara itu masih tertangguh kerana Diana masih belum menyelesaikan proses khatam al-Quran seperti yang dijanjikan.
“Jadi saya tak dapat lagi anjurkan majlis itu. Kalau ikutkan jadual, sepatutnya ia sudah habis tapi saya yang belum sempat khatam lagi. Apabila sudah sempurna semuanya, barulah kami bersedia untuk bawa Muhammad kepada media,” katanya.
Nafi dikongkong suami
Melihatkan bentuk fizikalnya yang semakin kurus, ia menimbulkan persoalan apakah dia berdepan sebarang masalah.
“Saya kurus sebab anak kami sangat aktif. Memang betul Farid pernah larang saya makan nasi, tapi dia buat begitu kerana mahu saya kekal sihat. Saya cepat letih dan mengantuk apabila banyak makan nasi.
“Sekarang saya tukar pemakanan kepada nutrisi dan ambil beras yang tiada protein. Sejak buat begini saya memang ada lebih tenaga. Farid banyak tahu dalam soal ini,” katanya.
Mengulas lanjut Diana berkata, dia kembali aktif dalam karier bermula bulan ini dan Farid tidak pernah pun mengongkongnya.
“Saya tidak pernah dikawal. Saya masih keluar dengan kawan-kawan untuk tengok wayang, makan-makan tapi banyak masa lebih dihabiskan dengan anak.
“Walaupun bekerja, saya minta had tertentu kerana nak cepat balik tengok dia. Saya menjaganya sendiri sehingga usia tujuh bulan dan baru sekarang Muhammad nampak mula selesa dengan orang lain.
“Saya baru saja dapat pengasuh dari Filipina. Dia ada kelayakan untuk jaga bayi. Saya sendiri pernah dijaga pengasuh Filipina ketika kecil dulu. Walaupun bayarannya mahal sedikit, saya puas hati dengan khidmat yang diberikan,” katanya yang sanggup melakukan apa saja demi kebaikan Muhammad.
Diana mengakui adat berumah tangga ada kalanya tercetus juga salah faham kecil dengan Farid. Bagaimanapun, sejak adanya Muhammad perkara ini tidak berlarutan.
“Kami sama-sama ‘cool’. Apabila dia marah saya ‘cool’ dan begitulah sebaliknya. Apabila sudah anak, kami akan berfikir panjang dulu untuk bertekak.
“Buat masa ini fokus saya untuk besarkan Muhammad terlebih dulu sebelum tambah anak. Lagipun saya banyak juga jadi duta produk dan kena berbincang dulu sekiranya mahu menambah anak.
“Saya akui baru faham susah sebenarnya menjadi ibu muda. Justeru saya banyak buat rujukan menerusi Internet, buku dan rakan-rakan sebaya yang menjadi ibu muda. Malah saya juga berkongsi pengalaman ibu yang lebih matang,” katanya.
Sementara itu, Diana mengakui teruja meminjamkan suaranya untuk watak Elly menerusi filem animasi SuperSquad.
“Kami buat proses ‘dubbing’ dulu sebelum karakter dilakarkan oleh pakar animasi. Jadi saya kena pelbagaikan nada suara saya supaya pakar animasi dapat menghasilkan karya terbaik.
“Saya ada pengalaman ‘dubbing’ dan perkara ini bukan masalah sangat. Cuma untuk bentukkan suara bagi karakter kebudak-budakan agak susah kerana ia semakin hilang daripada diri saya,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan