Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

28 Mac 2014

25 tahun Datuk Ali Mamak perjuang karier seni


1951-2014 : Belasungkawa - 25 tahun Datuk Ali Mamak perjuang karier seni

Tiada siapa tahu penderitaan yang dilalui pelakon dan pelawak terkenal, Jantan Osman atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Ali Mamak, 63. Di sebalik kecerian wajahnya menghiburkan peminat, siapa tahu artis serba boleh ini menghidap komplikasi penyakit yang serius iaitu jantung, masalah buah pinggang, gout dan paru-paru berair.

Beliau yang mencipta populariti menerusi sitkom popular Santan Berlada pada era 80-an, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.20 pagi semalam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka ini menghambakan diri dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun. Sumbangannya dalam bidang seni mendapat pengiktifaran terbesar daripada Kerajaan Negeri Melaka yang menganugerahkan gelaran Darjah Seri Melaka (DSM) pada 2008 yang membawa gelaran Datuk. 

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dan dikebumikan sebelum solat Zuhur. Allahyarham meninggalkan isteri, dua anak lelaki dan seorang perempuan serta enam cucu.

Sememangnya, berita kematiannya mengejutkan ramai peminat kerana Allahyarham sentiasa nampak sihat dan bertenaga. Bahkan beliau juga masih aktif mengadakan persembahan di seluruh negara sebelum dimasukkan ke HUKM, baru-baru ini.


Rakan rapatnya, pelakon Shahrizan Ahmad atau Abon berkata, Ali asalnya dimasukkan ke HUKM pada Februari lalu akibat penyakit gout yang dihidapinya.

“Arwah masuk hospital kerana masalah gout, sukar buang air kecil dan demam. Doktor turut mengesan ada jangkitan kuman dalam darahnya dan ingin buat rawatan kimoterapi tapi malangnya arwah enggan menurunkan tandatangan borang persetujuan dan balik berubat secara kampung.

“Keadaannya nampak pulih selepas itu dan dia kembali meneruskan aktiviti seni seperti biasa. Bagaimanapun seminggu lalu dia dimasukkan kembali ke HUKM akibat kesihatannya merosot. Kali ini keadaannya benar-benar nampak serius,” katanya.

Ketika di hospital, Ali tidak putus-putus menerima kunjungan rakan-rakan. Bagaimanapun, dia sukar bercakap dan hanya menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi. 

“Kami sempat buat persembahan bersama sebelum dia sakit. Bagaimanapun selepas dia sembuh seketika, Ali bergerak sendirian dan kami tak sempat buat persembahan bersama. Berita kematiannya memang mengejutkan tapi saya terima sebagai ketentuan takdir,” kata Abon. 

Berita pemergian Ali juga disambut hiba oleh pelakon Santan Berlada, Fauziah Samad yang membawakan watak Monaliza. Baginya Ali seorang pelakon yang baik dan menghormati orang lain.

“Ali datang uji bakat dan diterima berlakon oleh penerbit ketika itu, Hasiah Ariffin. Pengalamannya memang tiada langsung dan dia tanpa berselindung beritahu bekerja untuk TELEKOM (ketika itu) dan kerjanya panjat tiang. Kami menjalani penggambaran di studio Sound Stage Filem Negara, Petaling Jaya dan hubungan semua pelakon sangat rapat seperti adik beradik.

“Dia seorang yang lurus bendul dan suka berlawak. Pernah penggambaran dibuat pada bulan puasa dan ketika rehat dia akan menyanyi untuk menghiburkan kawan-kawan. Ali juga tak suka mengata orang dan tiada musuh,” katanya.

Pertemuan mereka kali terakhir ialah semasa majlis hari raya Seniman di FINAS tahun lalu. Ketika itu Fauziah melihat Ali nampak sihat.

“Seperti biasa kami sempat berbual mesra. Tak nampak langsung macam dia ada sakit. Saya terkejut apabila menerima berita dia meninggal. Apapun saya mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang mukmin,” katanya hiba.

Fauziah Nawawi yang melakonkan watak Timah Lawa pula sempat melawat Ali ketika kali pertama dimasukkan ke hospital. Mereka sempat berbual mesra seperti biasa.

“Kami bergurau mengenai kisah dulu-dulu. Walaupun umurnya tua daripada saya, Ali lebih suka panggil saya kakak seperti watak Kak Ti dalam Santan Berlada. Selepas itu Ali keluar hospital dan difahamkan dia kembali masuk hospital dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

“Saya melihat Ali seorang yang sangat menghormati orang lain. Setiap kali berbual, dia akan bercerita mengenai dirinya tanpa kaitkan orang lain. Walaupun sedih, saya menerima berita kematiannya dengan tabah kerana ini sudah ketentuan takdirnya,” katanya.

Fauziah berkata, Ali seorang yang berjasa terhadap negeri kelahirannya Melaka. Dia menganggap arwah berjaya dalam hidupnya. 

“Daripada kerja TELEKOM, Ali berjaya mencipta nama dalam bidang seni. Kejayaannya dapat dilihat oleh kita. Sesuatu yang saya tahu, dia seorang yang serius ketika bekerja. Dia begitu menjaga jadual kerja dan pasti akan buat latihan untuk menjayakan sesuatu acara,” katanya.

Al - Fatihah buat rohnya moga dicucuri rahmat...
Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI