Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

28 Mac 2014

Jersey Boys Bakal Gegar Pentas Istana Budaya


Kehebatan teater muzikal Jersey Boys sememangnya diketahui ramai. Bahkan Jersey Boys sudah dipentaskan di 33 negara dan ditonton oleh 18 juta orang. Naskhah ini pernah memenangi 54 anugerah termasuk Tony, Oliver dan Grammy.

Justeru sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Istana Budaya membawakan naskah hebat ini buat peminat tempatan pada 15 hingga 27 April nanti. Selain itu, teater muzikal anjuran Milestone Production Sdn Bhd dijangka menarik perhatian 2,000 penonton daripada pelancong asing. 

Ketua Pegawai Ekskutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif, berkata pihaknya menjangka sambutan yang diterima daripada penonton pasti menggalakkan kerana ia julung kali dipentaskan di negara kita. 

“Hanya Malaysia yang mementaskannya kerana Jersey Boys tak dibawa ke negara Asia Tenggara lain. Fokus kami sudah tentunya menarik pelancong asing untuk hadir namun pada masa sama turut menyeru peminat tempatan sama-sama menyaksikannya.

“Teater ini berasal daripada New York, Amerika Syarikat dan kami yakin mendapat perhatian pelancong sebagai salah satu aktiviti untuk dilakukan sepanjang berada di negara ini,” katanya.


Pengarah Urusan Milestone Production Sdn Bhd Grace Lee pula berkata, pihaknya akan membawa pengalaman sebenar teater muzikal ini untuk dirasai oleh peminat tempatan. 

“Pihak produksi akan membawa semua kelengkapan asal dari New York pada persembahan nanti. Ia bertujuan memastikan penonton merasai kehangatan persembahan ini. Secara tak langsung, ia dapat memberikan kepuasan maksima kerana diketahui Jersey Boys sememangnya produksi yang hebat. 

“Mereka boleh merasai pengalaman yang sama tanpa perlu ke luar negara. Dalam masa sama, kami juga ingin memperkenalkan produksi muzikal Broadway kepada masyarakat tempatan disamping meningkatkan industri pelancongan negara,” katanya dengan bangga. 

Jersey Boys dicetuskan oleh Marshall Brickman dan Rick Elice yang pernah menang Anugerah Akademi, manakala lirik ditulis oleh Bob Crewe dan muzik oleh Bob Gaudio. Ia diarahkan oleh Des McAnuff, manakala koreografi dibentuk oleh Sergio Trujillo. 

Ron Melrose pula bertindak selaku penggubah muzik dan pengatur vokal. Mereka turut dibantu oleh pereka bentuk pengeluaran Klara Zieglerova, pereka scenic, Jess Goldstein, pereka kostum, Howell Binkley, penataan lampu, Steve Orich dan ramai lagi. 

Jalan cerita Jersey Boys mengisahkan mengenai persahabatan, kesusahan, pergaduhan dan kejayaan yang terhasil dari New Jersey. Persembahan ini mula membuka pentas di Broadway pada 2005 dan berikutnya 3,000 pementasan yang diadakan berjaya menggamit kehadiran penonton yang memenuhi ruang yang disediakan. 

Jersey Boys berjaya mencipta sejarah persembahan yang paling lama diadakan memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Hello, Dolly ! 

“Pementasan itu dijamin memberikan kepuasan kepada penonton kerana Jersey Boys adalah sebuah produksi yang hebat. Ia pasti mengimbau kenangan penonton dengan irama 60-an dan Rock 'n' Roll menerusi pelbagai lagu daripada Frankie Valli dan The Four Seasons,” katanya. 

Grace berkata, menerusi sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penaja, usaha membawa Jersey Boys kepada peminat tempatan dapat direalisasikan. 

Tiket untuk menyaksikan persembahan hebat itu dijual pada harga serendah RM200 hingga RM680 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.


Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI