Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

24 Jun 2016

IBU BAPA JANGAN TERLALU NAIF MENGENAI KEBAIKAN VAKSIN DIFTERIA - PM NAJIB


Seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kuala Muda, Sungai Petani meninggal dunia semalam dan menjadi mangsa terbaharu bakteria difteria.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nurhizan Ismail berkata, kanak-kanak terbabit bersama enam adik-beradiknya yang berusia 11, 10, 8, 4, 3 tahun dan bayi berusia 10 bulan dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 21 Jun lalu selepas disyaki dijangkiti bakteria berkenaan.



“Kanak-kanak berusia dua tahun itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan meninggal dunia semalam.



“Daripada tujuh kes tersebut, empat kes iaitu yang membabitkan kanak-kanak berumur 10 bulan, dua, tiga dan empat tahun itu tidak mendapat pelalian difteria,” katanya di sini hari ini.



Tambah beliau, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dari Taman Nilam Langkawi turut disyaki dijangkiti difteria dan menerima rawatan di HSB.



“Mangsa merupakan kanak-kanak wargan asing yang tidak mendapat pelalian difteria. Kanak-kanak itu dalam keadaan stabil.



“Kesemua lapan kes itu sedang menunggu pengesahan laporan makmal dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur,“ katanya.

PESANAN PERDANA MENTERI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka diberi vaksin imunisasi sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit berbahaya.


Beliau berkata tindakan segelintir ibu bapa enggan memberi suntikan vaksin atau mengikuti program imunisasi bukan sahaja membawa mudarat kepada anak mereka, malah berupaya membawa kepada penularan semula penyakit berjangkit yang telah lama berjaya dikawal daripada merebak di Malaysia.

Menurutnya Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan Kementerian Kesihatan, yang diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu, diberikan secara percuma dan bersandarkan kepada syariat Islam di dalam konsep Maqasid Syariah iaitu Hifz Al-Nafs, atau pemeliharaan jiwa.

"Alhamdulillah, melalui program imunisasi ini, kita telah berjaya mengatasi dan membendung penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit

"Tetapi segala usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya ada dalam kalangan kita yang menyebarkan berita-berita dan khabar angin yang menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin atau imunisasi ini," kata beliau dalam blognya, NajibRazak.com, hari ini.


Perdana menteri berkata adalah lebih malang lagi apabila berita-berita palsu itu disebarkan dengan menggunakan alasan agama Islam oleh orang Islam sendiri.

"Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, mafhumnya, '... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan'...Wallahu'alam."

"Sebagai umat Islam, sememangnya hanya kepada Allah SWT kita berharap, tetapi pada masa sama harapan itu harus kita sertakan dengan usaha, seperti firman Allah SWT dalam Surah Ar Ra'd ayat 11, 'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.' Wallahu'alam."

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa terutamanya yang beragama Islam tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita dan khabar angin itu.

"Utamakan kesihatan anak-anak anda dan jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab," kata Najib.

Perdana menteri juga meminta mereka yang menyebarkan berita dan khabar angin itu dengan menggunakan alasan agama supaya tidak memandai-mandai dan berhenti daripada berbuat demikian.

Beliau berkata mereka sepatutnya merujuk kepada pihak yang lebih tahu mengenai perkara berkenaan.

Najib mengulas kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka pada Selasa lepas dan satu lagi kematian akibat kes sama di Kedah semalam.

Sambil melahirkan kesedihan belau di atas kematian kanak-kanak itu, beliau berkata difteria adalah sejenis jangkitan "yang telah lama berjaya kita tangani dan mudah dicegah dengan penggunaan vaksin dalam program imunisasi."

Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa kedua-dua kanak-kanak itu tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan.

Share:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI