Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label MYVI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MYVI. Papar semua catatan

26 Ogos 2015

SPESIS MYVI BUAT GILA LAGIIII..!!


SEBUAH video yang dirakam oleh seorang pengguna lebuh raya mengejutkan pelayar laman sosial hari ini selepas menyaksikan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu melawan arus.

"Lebuhraya Utara-Selatan... peristiwa menakutkan terjadi," kata pengguna lebuh raya yang memuatnaik video tersebut ke laman Facebook, Raymond Loh.

Difahamkan, kejadian yang berlaku semalam menunjukkan pengguna berkenaan memandu di laluan kanan sebelum terpaksa mengelak sebuah Myvi yang datang dari arah depan.

Beberapa pengguna lebuh raya yang lain juga pantas mengelak Myvi berwarna kelabu tersebut.

Raymond yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur semasa kejadian bagaimanapun tidak ditimpa sebarang masalah.

"Nasib baik tidak terjadi apa-apa," tulisnya.

Video tersebut kini sudah ditonton lebih 130,000 pelayar laman sosial.
Share:

18 Mei 2015

KELAB MYVI FMC KETAKUTAN KERANA TERIMA UGUTAN BUNUH?


Lebih 100 ahli Familia Myvi Club (FMC) mendakwa diancam keselamatan termasuk menerima ugutan bunuh berikutan insiden kemalangan membabitkan ahli mereka awal bulan lalu.

Dalam kejadian tersebut, tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) membabitkan ahli FMC pada 2 Mei.

Sehubungan itu, ahli jawatankuasa FMC membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan 278 ahlinya, selain bertujuan membersihkan nama kelab bagi mengelak sebarang tohmahan yang memudaratkan.

Setiausaha FMC Asrul Hanif Mohamad berkata, sehingga hari ini ahli FMC yang tidak terlibat dalam kejadian itu masih diancam keselamatan, difitnah dan diugut pukul.

Selain dilemparkan kata-kata kesat, dua kereta ahli FMC dirosakkan. Ada juga mendakwa mereka menerima ugutan bunuh kerana tidak berpuas hati dengan FMC.

Selain ahli FMC dalam keadaan trauma dan ketakutan, keselamatan keluarga mereka juga terancam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.

Asrul berkata, ahli FMC yang merasa diri terancam turut dinasihat segera membuat laporan polis.

Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi seperti mana digambarkan selain tidak pernah menganjurkan perlumbaan haram.

Bahkan akaun Facebook rasmi FMC ditutup sejak 2 Mei lalu dan sebarang kenyataan dimuat naik menggunakan nama FMC adalah palsu,” katanya.

Kemalangan 2 Mei lalu, mengorbankan Fairuz Nizam Husain, isterinya Nova Safitri Azhari dan anak bongsu mereka Nur Fizura Annisa, tujuh bulan.

Dalam kejadian pada jam 1.05 pagi itu, kereta Pajero Sport dinaiki mangsa berlanggar dengan dua Myvi sebelum terbalik.

Mangsa meninggalkan dua anak iaitu Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4.
Share:

4 Mei 2015

BUKTI GENG `MYVI` MEMANG SAH BERLUMBA

Rakaman CCTV Plaza Tol Duke

Sebuah rakaman litar tertutup didakwa merakam tindak tanduk pemandu Myvi yang berlumba di Lebuhraya Duke, Sabtu lepas telah dimuat naik ke laman Facebook, hari ini.

Melalui rakaman berdurasi 29 saat berkenaan, mendapati beberapa buah kenderaan termasuk beberapa buah Myvi dipandu dengan laju berbanding kenderaan-kenderaan lain.

Video tersebut yang telah dikongsi hampir 7,000 pelayar dan ditonton lebih 130,000 pelayar lain dikatakan mampu menjadi bahan bukti untuk siasat pihak polis.

Kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia enam bulan di Lebuhraya Duke  awal pagi Sabtu lalu, mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Fairuz Nizam yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, kejadian pada jam 1.05 pagi di laluan dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila Pajero itu yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas di sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri.

“Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan,” katanya.

Sebagai tanda simpati, ramai yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyuarakan perasaan sedih di laman sosial.

Tidak kurang juga marah dengan kecuaian pemandu Myvi dipandu secara melulu sebelum merempuh kenderaan dipandu Allahyarham Fairuz Nizam.

Kedua-dua pemandu kereta Myvi itu, seorang daripada mereka seorang wanita berumur 35 tahun, cedera ringan manakala seorang lagi pemandu lelaki berumur 31 tidak cedera.

Laman Facebook dipenuhi spekulasi bahawa kejadian itu berpunca daripada enam kereta Myvi yang sedang berlumba sekitar jam 1 pagi.

Malah akaun Facebook Familia Myvi Club diserang dengan kritikan daripada pengguna laman sosial itu yang berang dengan perbuatan ahli kelab tersebut.

Pemilik akaun dengan nama Faizul Rahimi dalam komennya berkata, kelab tersebut perlu dipersalahkan atas kejadian itu.

“Kalau sebuah saja yang berlumba, salah individu. Tapi kalau dah sampai beberapa buah kereta dari kelab ini terlibat, terpaksalah tuding jari dekat kelab ini.

“Yang berlumba kau orang serah dekat polis. Minta maaf secara terbuka dan bubar terus lagi elok,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna dipercayai ahli keluarga mangsa, Azeera Rahmat berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan dua orang lagi anak pasangan itu menjadi yatim piatu.

“Kau orang telah menyebabkan anak buah aku jadi yatim piatu,” katanya.

Rata-rata komen juga mendesak agar Familia Myvi Club menasihatkan ahli mereka yang terlibat dalam kemalangan itu agar menyerah diri kepada polis.

“Minta presiden serah semua suspek. Semoga kelab ini bertanggungjawab dengan apa yang menimpa keluarga ini,” tulis pengguna dengan nama Nizam Giler-Giler Rider.

Terdapat juga akaun Facebook yang baharu diwujudkan bernama Familia MurderMyvi Club–FMC tanda kemarahan kepada pemandu Myvi terlibat.

Setakat jam 7 petang semalam, laman tersebut mendapat 1,135 like. 

Bagaimanapun, tersebar satu mesej yang dikatakan berasal daripada wakil Familia Myvi Club, iaitu Yana, menafikan enam pemandu Myvi itu berlumba.

“Itu memang budak kelab Yana. Semua yang terlibat selamat dan apa yang tersebar tidak betul. Mereka bukan berlumba.

“Tolong jangan percaya pada viral yang tersebar. Mereka hanya jalankan tugas sedangkan tak tahu perkara sebenar.

“Kami satu kelab kena hentam dengan kelab lain, tetapi kami di tempat yang terlibat tahu perkara sebenar.

"Harap semua jangan sebarkan berita yang bukan-bukan kalau tak tahu pangkalnya,” kata mesej itu.
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI