Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

Memaparkan catatan dengan label DUBAI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DUBAI. Papar semua catatan

4 Ogos 2016

DETIK-DETIK CEMAS PESAWAT EMIRATES MENDARAT CEMAS DAN MELETUP


Dua rakyat Malaysia antara penumpang pesawat Emirates dari India yang mendarat cemas di LapanganTerbang Antarabangsa Dubai.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, bagaimanapun Konsul Jeneral Malaysia di Dubai belum dapat menghubungi mereka kerana semua yang terbabit dalam insiden itu sedang ditempatkan dalam bilik kawalan kecemasan.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang bekerjasama dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti warganegara Malaysia lain yang terbabit.

"Kawasan kejadian sudah dikawal rapi oleh pihak berkuasa tempatan dan kebanyakan operasi penerbangan dijangka mengalami kelewatan,"katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar melalui Konsulat JeneralMalaysia di Dubai akan terus memantau situasi semasa dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada warganegara Malaysia yang terbabit.

Dalam kejadian 1.245 tengah hari waktu tempatan itu, (4.45 petang waktu Malaysia), sebuah pesawat penerbangan Emirates dari India mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dengan asap tebal dilihat berkepul-kepul dari pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, semua 282 penumpang dan 18 anak kapal dilaporkan selamat.

Pesawat EK521 dari Thiruvananthapuram, India, itu adalah jenis Boeing 777-300 dan digunakan penerbangan Emirates sejak Mac 2003.

Pihak berkuasa Dubai dan Emirates yang mengesahkan kejadian itu melalui Twitter, menyatakan belum ada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa.

Share:

10 Februari 2016

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI LELONG NOMBOR TELEFON BIMBIT DENGAN HARGA JUTA-JUTA?


DUBAI : Syarikat Gabungan Telekomunikasi Emiriah atau DU menjual nombor telefon bimbit istimewa - 052-1111111 dengan harga Dh2.55 juta (RM2.91 juta) di satu acara lelong kelmarin.

Dalam satu kenyataannya, syarikat berkenaan berkata, satu lagi nombor - 052-5000000 - pula dijual dengan harga Dh1.01 juta (RM1.15 juta).

Satu sumber berkata, nombor 052-12222222 dibeli seorang penduduk dengan harga Dh435,000 (RM496,000).

Secara keseluruhan, jumlah lelongan nombor telefon bimbit itu mencecah Dh7.114 juta (RM8.11 juta).

Naib Presiden Eksekutif DU, Ahmed Aburahima berkata, sebahagian hasil lelongan itu akan didermakan kepada Yayasan Al Jalila yang bertanggungjawab terhadap usaha meningkatkan sektor perubatan dan rawatan kesihatan di negara itu.

Lelongan berkenaan dianjurkan oleh OnLine Auctions.

Pada April tahun lalu, syarikat berkenaan melelong nombor 052-2222222 dengan harga Dh8.1 juta (RM9.19 juta). Ia dibeli seorang ahli perniagaan Dubai. - Agensi

Share:

2 Januari 2016

TERGANTUNG DI ARAS 48 KETIKA HOTEL MEWAH DUBAI SEDANG MARAK TERBAKAR


Seorang jurugambar menyangkakan dia mungkin tidak dapat menyaksikan kehadiran tahun 2016 apabila dia ‘tergantung’ daripada balkoni tingkat 48 Hotel Address Downtown, Dubai.

Sejam sebelum itu, jurugambar tersebut memasuki hotel berkenaan untuk mencari sudut terbaik demi mendapatkan gambar sambutan tahun baru.

Menyedari kebakaran di bangunan itu, dia bergegas untuk turun, namun melihat asap yang semakin banyak memasuki ruang bangunan dan memikirkan cara untuk menyelamatkan diri. 

Dengan pantas, dia mengikat diri dengan tali sepanjang 100 kaki dari platform yang digunakan untuk mencuci tingkap yang diikat ke tingkap.

Bercerita kepada AFP, jurugambar yang enggan dikenali itu memberitahu, dia mula menghubungi keluarga dan rakan-rakan untuk memaklumkan apa yang berlaku.

Dia kemudiannya dihubungi Jabatan Pertahanan Awam yang membantu menenangkannya.

Nasibnya baik apabila dia diselamatkan pasukan penyelamat kira-kira setengah jam selepas itu.

“Tali itu ‘penyelamat’ saya. Rasanya hanya saya yang ‘tergantung’ selama itu di luar balkoni,” katanya.
Namun di sebalik pengalaman ngeri itu, dia tetap menyambut kehadiran 2016 dengan perasaan teruja.

“Ini tahun baru, dan saya bersemangat untuk melaluinya,” beritahunya.
Share:

9 November 2015

AKSI MANUSIA BERSAYAP KEJAR PESAWAT AIRBUS A380 DI DUBAI


Dua manusia 'bersayap' (JETMAN) terbang berdampingan dengan pesawat Airbus A380 milik penerbangan Emirates di Dubai dalam sebuah video komersil kini menjadi trending di media sosial.

Aksi dua individu itu mengejar pesawat superjumbo tersebut pada ketinggian 4,000 kaki atau kira-kira 1.2 kilometer dari aras laut mencatat kelajuan 190 km/jam.

Mereka yang mengenakan pakaian jetpack itu ialah Yves Rossy dan Vince Reffet yang mereupakan ahli stunt profesional.

Share:

23 Mac 2015

DUBAI CIPTA BURGER TERMAHAL DI DUNIA!


UAE: Satu hidangan burger mencipta rekod sebagai burger paling mahal di dunia apabila dijual pada harga mencecah AS$7,000 (RM25,976) dalam satu acara lelongan amal di sini, kelmarin.

Acara lelongan amal yang berlangsung di pusat beli-belah Dubai Mall di sini, itu dianjurkan bagi mengutip dana untuk sebuah pertubuhan mencegah kanser payudara, Pink Caravan.

Burger istimewa itu disediakan Pengerusi Jabatan Statistik dan Pembangunan Komuniti Sharjah, Sheikh Mohammed Bin Abdullah Al Thani juga duta Pink Caravan.

Hidangan burger paling mahal sebelum ini djual pada harga AS$5,000 (RM18,554) dalam satu acara lelongan di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Beberapa lagi duta pertubuhan itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyediakan hidangan burger mereka sebelum melelongkan kepada pembida.

Bagaimanapun, identiti pembida yang membeli hidangan burger paling mahal di dunia itu tidak didedahkan.

Jawatankuasa penganjur Pink Caravan mengumumkan bahawa aktiviti amal itu berjaya mengutip dana AS$19,650 (RM72,921).

Pengasas Pertubuhan Rakan Pesakit Kanser, Ameera Bin Karam berkata, beliau sangat bangga dengan sokongan yang diberikan penderma dan duta Pink Caravan pada program berkenaan.

“Tanpa sokongan mereka ini (penderma dan duta) Pink Caravan tidak dapat mencapai misi mereka,” katanya.

Menurutnya, Pink Caravan menyediakan beberapa pusat perubatan bergerak untuk menjalankan pemeriksaan terhadap wanita bagi mengesan tanda awal kanser payudara.

Share:

23 Disember 2014

KERANGKA KELULI BURJ KHALIFA BUATAN MALAYSIA?


DUBAI - Bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa menjadi mercu tanda pembangunan moden di Dubai malah puncaknya setinggi 830 meter boleh dilihat hampir di setiap sudut bandar ini.
   
Banyak yang teruja dengan kehebatan bangunan yang mula dibina pada 2004 dan siap pada 2010 itu namun tidak banyak yang menyedari bahawa sebuah syarikat Malaysia turut menyumbang kepada pembinaan bangunan pencakar langit itu.
   
Eversendai Corporation Berhad (Eversendai) melalui anak syarikatnya Eversendai Engineering LLC adalah syarikat yang terbabit dalam pembinaan kerangka keluli bagi bangunan setinggi 163 tingkat yang kini menjadi antara tarikan utama pelancong ke Dubai, sebuah kota termoden di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
   
Sejarah dan pencapaian kumpulan Eversendai itu diceritakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eversendai Offshore RMC FZE, Narish Nathan kepada delegasi Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) ke syarikat yang telah bertapak kukuh di UAE itu baru-baru ini.
   
Delegasi yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamalullail selaku Canselor Unimap melawat syarikat itu bagi mendedahkan para pelajar Unimap dengan teknologi kejuruteraan syarikat berkenaan.
   
Di Malaysia, Eversendai turut terbabit dalam pembinaan menara kembar Petronas yang turut menjadi mercu tanda pembangunan di Kuala Lumpur melalui pembinaan kerangka keluli.    
Burj Khalifa dan Menara Kembar Petronas adalah antara 10 bangunan mercu tanda di beberapa negara yang pembinaannya turut dijayakan oleh Eversendai.
   
Eversendai yang diasaskan pada 1982 dengan ibu pejabatnya di Rawang, Selangor kini turut memberi tumpuan kepada kegiatan pembangunan dalam industri minyak dan gas melalui anak syarikatnya, Eversendai Offshore RMC FZE yang kini bertapak kukuh di UAE.
   
Beliau berkata Eversendai Offshore RMC FZE yang merupakan syarikat fabrikasi marin serta minyak dan gas (O&G) memiliki kepakaran dalam projek di darat dan luar pesisir.
   
Menurut Narish, syarikat yang diterajuinya itu memberi tumpuan kepada kegiatan pembinaan kerangka besi bagi industri minyak dan gas seperti pembinaan bahagian atas pelantar, pengubahsuaian dan penyelenggaraan pelantar.
   
Selain UAE, Eversendai turut mencipta nama di beberapa negara lain termasuk Qatar, India dan Singapura melalui kegiatan-kegiatannya.
   
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin memberitahu Bernama lawatan delegasi universiti itu ke Eversendai bukan sekadar menyaksikan kehebatan syarikat Malaysia di UAE tetapi mendedahkan kepada para pelajar tentang teknologi dan kepakaran syarikat itu.
   
Unimap yang kini sedang melonjak namanya di persada dunia terutama melalui kegiatan penyelidikan telah mengeluarkan lebih 10,000 ahli teknologi berkemahiran tinggi dan menyumbang kebolehan mereka termasuk di syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa.
   
Beliau berharap para pelajar yang terdiri daripada kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap sesi 2013/2014 itu memanfaatkan lawatan ke Eversendai yang telah membina identiti tersendiri dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan.
   
Universiti itu yang kini sedang berusaha untuk berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020 yakin syarikat itu dapat menyuntik semangat para pelajar tentang bagaimana penguasaan teknologi yang berkembang akan terus membuka ruang perniagaan yang besar.
   
Untuk menuju ke arah itu Unimap kini sedang melakar kerjasama dengan kelompok 200 universiti terbaik dunia bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran termasuk dalam kegiatan penyelidikan. - Bernama
Share:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI