
Seorang lelaki kurang siuman yang cuba menetak anggota bomba dan penyelamat menggunakan parang sebaliknya terpelanting dilanggar sebuah kereta.
Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, suspek yang tidak memakai baju dikatakan mengamuk di hadapan stesen minyak berhampiran Pusat Komersial TSB, di sini.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Rosdi Hainan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi berhubung kejadian itu sebelum beberapa anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, lelaki terbabit ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan memegang sebilah parang,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba kemudian bertindak memasang hos air bertujuan membuat semburan air ke arah suspek.
“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila lelaki itu bertindak mengejar anggota bomba yang sedang memasang hos.
“Anggota bomba terpaksa bertindak menyelamatkan diri daripada diserang lelaki itu,” katanya.
Rosdi berkata, lelaki itu kemudian bertindak berlari ke arah jalan raya sebelum dirempuh sebuah kereta yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
“Lelaki itu tercampak dan mengalami luka ringan manakala kereta terbabit terbabas di tepi jalan,” katanya.
Dia berkata, anggota bomba segera memberi bantuan kepada lelaki berusia 40-an itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
0 comments:
Catat Ulasan