PAPUA : Sejumlah 13 orang maut apabila sebuah pesawat pengangkutan ketenteraan Indonesia terhempas di timur negara itu pada Ahad, menambahkan lagi insiden seumpamanya yang melibatkan angkatan keselamatan republik itu.
Pesawat Hercules C-130 berlepas dari bandar Timika di Papua dengan membawa 12 anak kapal dan seorang penumpang, namun terhempas di wilayah pergunungan terpencil dekat Wamena ketika dijadualkan hendak mendarat, lapor AFP.
“Pemantau di daratan nampak pesawat itu pada jam 6.08 pagi waktu tempatan namun seminit kemudian ia hilang dari rangkaian perhubungan,” ujar Ketua angkatan tentera udara, Agus Supriatna.
Pesawat itu dijadual mendarat pada jam 6.13 pagi waktu tempatan.
Agus memperincikan, pesawat tersebut membawa tiga juruterbang, lapan juruteknik, seorang penunjuk arah dan seorang pegawai tentera, selain bekalan makanan dan simen.
Cuaca di kawasan tersebut memang sukar diramal, dan pesawat itu telah terbang masuk dan keluar daripada kepulan awan sebelum ia terhempas.
Pasukan pencari dan penyelamat berjaya mengesan lokasi nahas berdasarkan serpihan pesawat. Semua 13 mayat sudah ditemui, sementara Agus dan pasukan penyiasat sudah bergerak ke lokasi berkenaan.
Kejadian tersebut adalah yang terkini dalam siri nahas melibatkan tentera Indonesia.
November lalu, sebuah helikopter tentera yang terhempas mengorbankan tiga orang di Borneo, manakala pada Julai, tiga lagi maut selepas helikopter tentera menjunam ke kediaman awam di Pulau Jawa.
Kira-kira 12 orang terkorban pada Mac apabila sebuah lagi helikopter tentera terhempas dalam cuaca buruk di Sulawesi.
Namun, kejadian paling buruk adalah pada Jun 2015, apabila pesawat tentera udara Hercules C-130 terhempas ke kawasan kejiranan di Medan, hingga 142 nyawa terkorban selain menginggalkan kemusnahan teruk.
0 comments:
Catat Ulasan