![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSkiSQ4bJWOy92Jgo-Mvq8hmURvO4YMVIiaodkNuabpqrcQ2cjQ6Hu_2B8lop0XaFUn-q2rG6H_B6aKnumvlcCj7J_FN-vI2zatQGW3-SpVnIPb1Eo_klADdXoXLwP0k-iSaIe_NP1K77Y/s400/image.jpg)
Seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dipukul di Jalan Gombak berhampiran sebuah restoran makanan segera, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 29 tahun ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di tepi jalan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Ruslan Lokk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.47 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di lokasi kami dapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di muka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, mangsa mendakwa dia diserang dari belakang dan tidak sempat mengecam wajah penyerangnya.
“Anggota segera memberikan rawatan kepada mangsa. Mangsa turut mengadu mengalami kesakitan di badan akibat dipukul,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan.
0 comments:
Catat Ulasan