Suasana di Felda Kota Gelanggi 3, di sini yang biasanya tenang digemparkan dengan kehadiran seekor harimau dahan di bawah rumah seorang penduduk di tanah rancangan itu hari ini.
HARIMAU dahan yang berteduh di sebuah rumah di Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut, Pahang, semalam.
Harimau jantan seberat 60 kilogram daripada spesis Neofelis Nebulosa itu dipercayai dari hutan berhampiran dan berada di bawah rumah seorang penduduk tersebut untuk berteduh serta mencari makanan.
Seorang peneroka, Ramli Othman, 60, berkata, dia dimaklumkan tentang kemunculan haiwan itu oleh seorang cucunya kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
“Cucu saya memberitahu ada kucing besar, saya pun keluar rumah untuk melihatnya dan saya ternampak seekor harimau sedang duduk di bawah rumah jiran. Ini kali pertama saya melihat haiwan jenis ini.
“Kemungkinan ia hendak makan ayam peliharaan. Saya terus menghubungi rakan-rakan dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, anak pemilik rumah tersebut, Fauziah Zakaria, 32, berkata, semasa kehadiran haiwan itu disedari, dua adik dan seorang anak saudaranya berada di dalam rumah manakala ibunya melawat kakaknya di Felda Jengka 15.
“Saya pula berada di rumah ibu mentua yang terletak di kawasan berhampiran. Selepas diberitahu jiran ada harimau di bawah rumah emak, saya terus menelefon adik dan anak saudara meminta supaya jangan keluar rumah sehingga semuanya selesai kerana bimbangkan keselamatan mereka.
“Berita tentang kehadiran haiwan ini cepat tersebar menyebabkan penduduk berpusu-pusu datang ke sini untuk melihatnya sendiri secara lebih dekat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zaide Mohamed Zin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi dan sekumpulan anggota jabatan berkenaan segera diarahkan ke lokasi.
Bagi mengelakkan haiwan berkenaan melarikan diri, katanya, pihaknya memasang jaring di sekeliling bawah rumah tersebut dan haiwan berkenaan berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali pada pukul 2.05 petang.
“Haiwan sepanjang 101 sentimeter ini dianggarkan berusia dalam lingkungan lima hingga enam tahun. Tiada kecederaan luaran dikesan pada haiwan berkenaan namun ia berada dalam keadaan sangat tertekan.
“Haiwan ini akan dilepaskan di Rizab Hidupan Liar Krau, Kuala Krau setelah sedar dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan