PADAH BERMAIN MERCUN, seorang pelajar, Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah,14, dikejarkan ke Hospital apabila mengalami kecederaan parah akibat terkena letupan mercun yang tidak sempat dilemparkan, dalam kejadian di Kampung Tok Kah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.00 malam, remaja berkenaan dikatakan keluar dari rumah neneknya selepas berbuka puasa untuk bermain mercun seorang diri di kawasan yang tidak jauh dari situ.
Bagaimanapun, mercun yang dicucuh tidak sempat dilempar dan meletup menyebabkan mangsa cedera di bahagian leher serta melecur di dada.
Kejadian itu disedari oleh nenek mangsa yang mendengar letupan kuat dan melihat cucunya itu dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah.
Terkejut dan tergamam melihat mangsa cedera parah , nenek mangsa menghubungi ibu saudara pelajar itu yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.
Ibu saudara mangsa, Noriah Awang, 41, berkata, ketika kejadian dia turut mendengar letupan kuat dari arah rumah nenek mangsa tetapi tidak dapat melihat apa-apa kerana keadaan sekeliling gelap.
"Saya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan telefon mengatakan anak saudara cedera teruk.
"Melihat keadaannya yang agak teruk saya terus membawanya ke Unit kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita.
Katanya, sepanjang perjalanan ke hospital anak sulung dari enam beradik itu tidak berhenti mengerang kesakitan.
"Saya panik melihatnya berlumuran darah sambil memegang lehernya dan hanya terfikir untuk membawanya ke hospital sahaja.
"Saya hanya mampu menyuruhnya bersabar dan beristighfar banyak-banyak apabila dia tidak henti mengadu sakit," katanya.
Mangsa yang dilapor berada dalam keadaan stabil kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menjalani pembedahan segera bagi merawat keadaan leher yang cedera teruk.
0 comments:
Catat Ulasan