CRISTIANO Ronaldo sekali lagi gagal membantu Portugal mencatat kemenangan pertama dalam kempen kali ini apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Austria.
Lebih malang apabila Ronaldo gagal menyempurnakan penalti yang dianugerahkan pada minit ke-79, yang sepatutnya menjadi gol kemenangan untuk skuad Selecao pulang dengan tiga mata penuh dari Paris.
Ronaldo berjaya memperdaya penjaga gol, Robert Almer, namun sepakannya sekadar mengenai tiang gol kiri Austria.
Segalanya serba tidak kena buat Portugal walaupun menguasai 59 peratus permainan dan 23 percubaan, berbanding Austria hanya tiga percubaan sepanjang 93 minit masa permainan.
Ia bermula dengan percubaan Nani yang sebelum itu menggelecek bola melepasi dua pemain pertahanan, berjaya ditepis Almer pada minit ke-11, sebelum sekali lagi gagal menemui sasaran apabila tandukannya hanya mengenai tiang gol pada minit ke-29.
Namun sebelum itu, Austria terlebih dahulu hampir mengejutkan Portugal dengan percubaan tandukan Martin Harnik pada minit kedua permainan tetapi tersasar.
Kejayaan Austria mengekang kemaraan Portugal turut dibantu dengan aksi cemerlang Almer yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya jentera serangan yang dikepalai Ronaldo.
Satu lagi saingan kumpulan F menyaksikan Iceland hampir melakar kemenangan ke atas Hungary, namun hampa selepas pemainnya Birkir Saevarsson tertampan bola masuk ke gawang sendiri ketika perlawanan berbaki dua minit.
Iceland mendahului pada babak pertama menerusi Gylfi Sigurdsson yang merembat kemas penalti pada minit ke-40 menewaskan Gabor Kiraly selepas Tamar Kadar melakukan kekasaran terhadap Aron Gunnarsson.
Cubaan Iceland yang mengikat Portugal dalam perlawanan pertama untuk menjarakkan kedudukan tidak berjaya apabila Hungary turut menggandakan usaha dalam mencari gol penyamaan sehingga pada minit ke-88.
Saeversson yang cuba menyelamatkan bola hantaran lintang leret Nemanja Nikolic bertukar tragedi selepas menerima tekanan daripada penyerang gantian Hungary, Daniel Bode.
Ia bermakna hanya Hungary yang pernah mencatat kemenangan daalm kumpulan F sementara Portugal kini berada di tangga ketiga di bawah Hungary dan Iceland dengan hanya dua mata selepas dua perlawanan.
Belgium pula menang bergaya dengan Lukaku menjaringkan dua gol bersama tandukan Axel Witsel untuk mengutip tiga mata ke atas Republik Ireland.
Kemenangan tersebut cukup bermakna untuk Belgium yang kini melonjak ke tangga kedua kumpulan E di bawah Itali selepas tewas kepada negara itu dua gol tempoh hari, mencerahkan peluangnya untuk mara ke peringkat kalah mati.
Gol hanya mula dijaringkan pada babak kedua, apabila Lukaku yang kurang menyerlah musim lalu bersama kelabnya Everton merembat kencang bola dari luar petak penalti selepas menerima hantaran Kevin De Bruyne pada minit ke-48.
Axel Witsel kemudian menjarakkan kedudukan pada minit ke-61 hasil hantaran silang Thomas Meunier, menjadi gol antarabangsa pertamanya sejak 2014.
Lukaku sekali lagi menewaskan penjaga gol Darren Randolph dengan menyempurnakan lorongan Eden Hazard bagi melengkapkan kemenangan 3-0, 20 minit sebelum tamat permainan.
0 comments:
Catat Ulasan