Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Britain, British Airways melanggar objek dipercayai dron semalam semasa hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah, kata polis.
Satu siasatan dilancarkan berhubung insiden itu yang menyusul selepas beberapa kejadian serupa melibatkan dron. Pesawat Airbus A320 yang membawa 132 penumpang dan lima anak kapal itu berada dalam fasa akhir untuk mendarat di Terminal Lima lapangan terbang berkenaan apabila terlanggar objek tersebut.
“Seorang juruterbang dalam penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Heathrow dari Geneva melaporkan kepada polis bahawa dia percaya dron telah melanggar pesawatnya.
“Pesawat ini mendarat dengan selamat di Terminal Lima. Objek yang dipercayai dron itu melanggar bahagian hadapan pesawat,” kata seorang jurucakap polis London.
Pesawat itu kemudian diperiksa dan dibenarkan untuk membuat penerbangan seterusnya.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami dan pihak kami akan membantu polis dalam siasatan mereka,” kata seorang jurucakap British Airways.
Sebuah agensi keselamatan udara di Britain menyatakan, terdapat 23 insiden di mana dron hampir berlanggar dengan pesawat dalam tempoh enam bulan antara April hingga Oktober tahun lalu.
0 comments:
Catat Ulasan