SEORANG pengguna Facebook mengajak masyarakat antarabangsa agar bersimpati dengan mangsa insiden serangan bom di Ankara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 34 orang Isnin lalu.
James Taylor mengingatkan Ankara bukannya bandar yang sedang bergelut dengan krisis perang saudara seperti negara majoriti Muslim lain yang sering dipaparkan di media.
“Ankara bukan zon perang, ini bandar moden yang sentiasa sibuk, sama seperti ibu negara Eropah yang lain, dan Kizilay terletak betul-betul di tengah bandar ini,” jelasnya dalam status Facebook yang setakat ini telah dikongsi lebih 102,000 kali.
James yang telah menetap di Ankara selama 18 bulan turut meminta pembaca agar membayangkan andai tragedi itu berlaku di tempat masing-masing.
“Mampukah anda bayangkan berada di sana? Bayangkan tempat yang anda lalui setiap hari, stesen bas yang anda singgah, jalan yang anda lintas, semuanya hancur binasa,” soal James.
Penutup status James dilihat sebagai sindiran dan seruan, terutamanya terhadap masyarakat Eropah yang sebelum ini menunjukkan simpati besar-besaran terhadap insiden di Paris.
“Anda pernah menjadi Charlie, anda juga Paris, sekarang sanggupkah anda menjadi Ankara?”
Isnin lalu, serangan yang dipercayai berpunca daripada bom kereta meledak di Dataran Ataturk Bulvari dekat pusat bandar Ankara dan mencederakan 125 orang.
0 comments:
Catat Ulasan