Blog Yang Memaparkan Isu Isu Semasa Yang Tular (Viral)

28 Januari 2016

KU SANGKAKAN KAYU, RUPA-RUPANYA BUAYA MELINTANG DI TENGAH JALAN


SARAWAK : Seekor buaya seberat 150 kilogram (kg) mengejutkan penduduk Rumah Panjang Mancha Tawang Hulu di sini, apabila ditemukan berkeliaran di te­ngah jalan raya di perkampungan itu semalam.

Buaya sepanjang kira-kira 4.5 meter itu dijumpai di perkampungan masyarakat Iban berkenaan pada pukul 9.15 malam.

Penemuan tersebut amat mengejutkan kerana sebelum ini penduduk dari rumah panjang berkenaan tidak pernah terserempak dengan reptilia ganas itu di atas jalan raya.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Halley, 40-an, berkata, dia hampir melanggar buaya tembaga itu ketika sedang menunggang motosikalnya menuju ke rumah panjang berkenaan.

“Pada mulanya, saya ternampak satu objek kaku di atas jalan raya seperti sebatang kayu besar yang menghalang jalan.

“Apabila dihampiri dan melihat betul-betul, saya terkejut mendapati objek itu rupa-rupanya seekor buaya dewasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Halley memberitahu, dalam keadaan panik, dia masih sempat terfikir menghubungi rakannya untuk tindakan lanjut.

Katanya, sebaik sahaja rakannya tiba, mereka mengambil keputusan untuk menghalau reptilia itu ke Sungai Batang Lupar yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan di situ.

Menurutnya, mereka mengambil masa hampir sejam menghalau sang bedal itu menggunakan sebatang kayu sebelum dapat membawanya ke sungai.

“Kami amat bersyukur kerana buaya itu tidak bertindak agresif dan menyerang kami semasa cuba dihalau,” katanya.

UPDATE!

BUAYA TERBABIT BERJAYA DI TANGKAP!
Seekor buaya seberat 150 kilogram (kg) yang me­ngejutkan penduduk Rumah Panjang Mancha Tawang Hulu, Tanjung Bijat apabila ditemukan berke­liaran di tengah jalan raya kelmarin ditangkap setelah terperangkap dalam parit semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan, operasi menangkap sang bedal tersebut melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bersama empat pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC), tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dua anggota polis.

Kata beliau, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung pada pukul 5.22 petang dengan mengambil masa kira-kira 35 minit ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk menjinakkan buaya tembaga dengan panjang kira-kira 4.5 meter yang terperangkap dalam sebatang parit berhampiran Sungai Batang Lupar itu.

“Pegawai SFC turut memberikan penerangan kepada petugas tentang cara-cara menangkap reptilia ganas itu dengan bertindak mengikat mulut dan mata buaya ber­kenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan seorang penduduk Rumah Panjang Mancha Tawang Hulu yang menaiki sebuah motosikal terserempak dengan seekor buaya yang merangkak di atas jalan raya di situ ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada pukul 9.15 malam.

Insiden itu mencetuskan suasana gempar apabila ramai penduduk rumah panjang di situ keluar untuk melihat reptilia itu.

Mereka mengambil masa kira-kira sejam menggunakan kayu untuk menghalau buaya itu ke Sungai Batang Lupar yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan raya.

Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata, operasi ditamatkan pada pukul 7 petang dan dipercayai buaya ditangkap itu adalah reptilia sama yang ditemukan penduduk rumah panjang itu pada malam Selasa lalu.

Katanya, buaya berkenaan di­serahkan kepada pihak SFC untuk dihantar ke Sanctuari Hidupan Liar Semenggoh di Kuching.


Share:

Related Posts:

0 comments:

Page Views

Viral Vision Media Co.. Dikuasakan oleh Blogger.
Propellerads

FEMES BLOG

KISAH SERAM !

TONTON INI