Seorang pemandu jentolak bertindak melampau apabila tergamak merakam aksi bogel dua anak saudaranya yang sedang mandi dan memakai pakaian, sebelum memaksa dua beradik itu mengadakan hubungan seks dengannya.
Kejadian rogol itu beberapa kali berlaku terhadap dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun itu di rumah nenek mereka di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, antara Ogos dan November lalu.
Kejadian berlaku jam 7 pagi sekitar Ogos lalu, ketika pengadu yang berusia 16 tahun berada di dalam bilik didatangi bapa saudaranya berusia 42 tahun dan memaksa dia melakukan hubungan seks.
Sekiranya enggan, suspek mengugut akan menyebarkan gambar bogel berkenaan.
Takut dengan ugutan itu, mangsa mengikut kehendak lelaki terbabit dan kejadian berulang dua kali pada November. Suspek menggunakan modus operandi sama dengan masuk ke dalam bilik mangsa ketika semua penghuni rumah sedang tidur.
Kejadian sama turut berlaku terhadap adik perempuan mangsa yang dirogol, masing-masing tiga kali dalam kejadian pada Ogos, September dan Oktober oleh lelaki sama. Sebelum kejadian rogol itu, mereka kerap kali diganggu secara seksual oleh suspek yang bertindak meraba payudara mereka.
Dua adik-beradik kandung itu tinggal bersama datuk dan nenek sejak kematian bapa pada Julai akibat kencing manis, manakala ibu mereka bekerja kilang dan tinggal di Pulau Pinang. Turut menghuni rumah berkenaan, suspek bersama isteri dan anak mereka.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad berkata, suspek ditahan penduduk kampung pada jam 1 pagi, semalam, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, sejurus laporan dibuat dua beradik itu, suspek bertindak melarikan diri dan usaha pihak berkuasa menjejakinya berhasil dengan bantuan orang awam.
“Sebelum ini, suspek yang dikehendaki itu sukar dikesan kerana kerap bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.
“Suspek kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu hingga 20 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan