HATYAI : Adik kepada ahli perniagaan Malaysia yang ditembak berpuluh-puluh kali sehingga mati di Hatyai Jumaat lalu mahu Polis Thailand mengemukakan bukti berhubung dakwaan abangnya dibunuh kerana berhutang 35 juta baht (RM4.11 juta).
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lee, 50, berkata beliau amat terkejut apabila membaca laporan beberapa akhbar pada Ahad yang menyatakan abangnya, Lee Ah Han, mati dibunuh kerana perselisihan perniagaan.
Ia melibatkan hutang berjumlah 35 juta baht (RM4.11 juta) kepada seorang ahli perniagaan dari Malaysia.
Bernama yang melaporkan berita itu pada Sabtu memetik sumber Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Vichapan Chantraporn sebagai mengesahkan maklumat perisikan polis.
Berdasarkan maklumat itu, polis mendapati bahawa mangsa ada masalah hutang sebanyak 35 juta bath yang dibayar menggunakan cek tendang dan telah berlanjutan selama enam bulan.
"Kenyataan itu silap, sebab abang saya tak pernah hutang kepada sesiapapun, kalau betul sebab cek tendang, polis mesti tunjuk cek itu sebagai bukti," katanya dalam sidang media pada Ahad.
Jelasnya, laporan itu telah menyebabkan nama abangnya tercemar dan beliau mahu siasatan mengenai kes tersebut dibuat dengan segera bagi mengetahui dalang di sebalik kejadian tersebut.
Lee Ah Han, 54, ditembak Jumaat lalu di daerah Hatyai ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai bersama isterinya Mayuree Thipmani, 42.
0 comments:
Catat Ulasan