AMPANG : Majoriti pemilik dan penyewa kompleks beli-belah Ampang Park mahu terus kekal beroperasi di bangunan berusia 42 tahun itu atau diberikan pampasan sekurang-kurangnya RM5 juta bagi setiap lot jika pengambilalihan bangunan itu mahu terus dibuat.
Penasihat Persatuan Peniaga 1Malaysia Ampang Park (Penyewa & Pemilik), Dr Dzulkhaini Hussain berkata, hasil perjumpaan bersama pihak pengurusan dan MRT, semalam, rata-rata pemilik mempertikaikan tindakan untuk merobohkan Ampang Park untuk projek Mass Rapid Transit (MRT).
Bagaimanapun katanya, sekiranya tiada pilihan, mereka terpaksa akur, namun tidak mahu ada campur tangan daripada pihak swasta.
“Jika kerajaan ada hasrat untuk jaga penyewa dan pemilik dengan baik, mesti beri kami tawaran dengan nilai yang tinggi.
“Tapi sebenarnya kami tidak mahu satu sen pun, kami mahu Ampang Park kekal. Tapi jika mahu juga, beri minimum RM5 juta setiap lot. Senang kira,” katanya ditemui selepas perjumpaan yang dianjurkan Ampang Park Management Corporation (APMC), bersama pihak MRT, di sini, semalam.
Dzulkhaini berkata, pihaknya mewakili 150 pemilik dan penyewa di Ampang Park juga mahu perkara ini diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani untuk penyelesaian yang mampu membela nasib mereka.
Katanya, mereka kini mempunyai tempoh yang singkat sebelum proses pengambilan tanah dilaksanakan.
“Kami ada masa yang sangat singkat sedangkan kami dapat tahu perkara ini telah diketahui oleh pihak pengurusan sejak tahun lepas lagi.
“Jadi kami akan berjumpa dengan ahli parlimen agar bawa perkara ini kepada kerajaan untuk diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden, Wan Kamal Izzuddin Wan Kassim berkata, pemilik dan penyewa rasa teraniaya dengan keadaan yang berlaku kini dan menyifatkan mereka seperti tidak mempunyai pilihan.
“Setinggan pun ambil masa untuk dipindahkan, inikan pula kami yang telah mempunyai hak milik strata. Jadi kami akan lantik peguam untuk perjuangkan hak kami,” katanya.
Terdahulu berlangsung sesi pertemuan antara pihak pengurusan, MRT, dan pemilik berhubung rancangan pengambil alihan pusat beli-belah terletak di Jalan Ampang itu.
Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan masuk bagi mendengar secara terperinci perkara yang dibangkitkan.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah menjelaskan pihaknya hadir pada pertemuan itu bagi memberi taklimat kepada semua pihak yang berkepentingan di Ampang Park.
Jelasnya, MRT Corp tidak terlibat sebagai pembuat keputusan sebaliknya hanya menerangkan mengenai projek MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang bakal dijalankan kelak.
“Jadi kami menjelaskan bagaimana Ampang Park merupakan satu-satunya stesen integrasi yang boleh menghubungkan MRT SSP dan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.
“Oleh itu kami harapkan selepas taklimat ini mereka lebih faham kepentingan projek yang akan dilaksanakan tersebut,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan