
Sebanyak 162 pembunuhan berkaitan ilmu sihir direkodkan pada tahun lalu di 13 buah negeri di India dengan 32 kes berlaku di Orissa, menurut perangkaan terbaharu pihak berkuasa.
Angka itu tidak banyak berubah sepanjang beberapa tahun lalu. Sejumlah 2,300 orang, kebanyakan mereka wanita, maut dalam serangan berkaitan sejak 2000.
Isu itu menjadi tajuk utama media antarabangsa pada Ogos lepas apabila lima wanita diseret dari kediaman mereka dan dibelasah sampai mati. Kejadian berlaku di negeri Jharkand yang berjiran dengan Orissa.
Seramai 27 orang ditangkap kerana terlibat dalam pembunuhan kejam tersebut. Mereka dibunuh kerana dituduh menggunakan ilmu hitam yang menyebabkan sebilangan penduduk kampung menemui ajal oleh seorang pengamal perubatan tradisional.
“Pembunuhan seperti ini berterusan kerana penduduk di pedalaman percaya sebarang penyakit, kerosakan tanaman atau kerugian peribadi berlaku kerana ilmu hitam atau kalajaadu,” kata seorang pegawai polis kanan di Orissa, Bijay Kumar Sharma.
Bijay diberi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang khas yang diperkenalkan di Orissa pada 2014 bagi menangani selain mengurangkan jenayah terhadap individu yang dituduh mengamalkan sihir.
Di bawah undang-undang tersebut, sesiapa yang melabel seseorang sebagai ahli sihir dan terlibat menyerang mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
Kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan ilmu hitam ialah wanita. Mereka boleh dikenakan pelbagai hukuman kejam oleh penduduk kampung termasuk dirogol dipukul atau dipaksa makan najis.
0 comments:
Catat Ulasan