
ZOO JOHOR : Singa biasanya digelar raja hutan, namun berdasarkan sebuah video yang dipercayai diambil dari sebuah zoo di Johor menunjukkan seekor singa yang lemah dan tidak berupaya.
Keadaan singa yang kelihatan lemah dan cedera di kaki itu mengundang perhatian pengguna Twitter.
"Pihak berkuasa zoo, sila lakukan sesuatu. Singa itu kelihatan lemah dan perlukan rawatan perubatan," tweet Nardnazeer individu yang memuatnaik video berkenaan.
Dalam rakaman 30 saat itu, haiwan itu dilihat lemah dan tidak mampu untuk berjalan malah fizikal singa itu juga kelihatan kurus.
Video ini telah mendapat perhatian pengguna Internet yang prihatin dan marah dengan keadaan haiwan yang seolah-olah terabai.
Video yang dimuatnaik sejak semalam telah menerima lebih 18,544 ulang tweet.
Dalam pada itu, keadaan haiwan itu turut mendapat perhatian anakanda Sultan Johor, Tunku Aminah.
Melalui laman rasmi Instagramnya, kerabat diraja itu memuatnaik print screen perbualannya dengan seorang individu dan mengarahkan agar tindakan segera diambil untuk merawat haiwan itu.
"Sila periksa dengan pihak zoo mengenai singa tersebut. Kenapa lukanya tidak berbalut dan kelihatan kurus," tulisnya.
Tunku Aminah turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberitahu mengenai perkara tersebut dan mengharapkan ada tindakan yang akan diambil.
0 comments:
Catat Ulasan